PETALING JAYA: Sekolah dan institusi pendidikan dibimbangi menjadi pusat penularan kes Covid-19 berikutan beberapa kes positid dikesan di beberapa negeri sejak minggu lalu.
Walaupun jumlah institusi dan pelajar yang terlibat tidak begitu besar tetapi jika langkah membendung penularan itu tidak dilakukan dengan segera, ia boleh menjadi parah sehingga memaksa semua institusi berkenaan ditutup sekali lagi.
Justeru, Presiden Ikatan Guru Guru Muslim Malaysia (iGuru), Mohd. Azizee Hasan mahu pihak sekolah memainkan peranan dengan menjadi ‘polis’ bagi memastikan semua guru, kakitangan dan pelajar patuh kepada SOP ketika sesi pembelajaran seperti menjaga penjarakan dan memakai pelitup muka.
Menurut beliau, tiada kelemahan daripada sudut SOP yang ditetapkan Kementerian Pendidikan tetapi kelemahan daripada sudut pematuhan peraturan tersebut yang menjadi faktor penularan wabak dalam kawasan institusi pendidikan.
Ibu bapa pula meminta pihak sekolah supaya tidak merahsiakan sebarang kes jangkitan di sekolah masing-masing hanya kerana mahu menjaga imej sekolah.
Dalam kes terbaharu, 32 pelajar dan pensyarah Kolej Matrikulasi Negeri Sembilan (KMNS) di Kuala Pilah, Negeri Sembilan disahkan positif Covid-19 dan dihantar ke Pusat Kuarantin dan Rawatan Covid-19 (PKRC) Tampin semalam.
Pengerusi Jawatankuasa Keselamatan dan Pengurusan Bencana Daerah (JKPBD) Kuala Pilah, Mohd. Faizal Abdul Manap berkata, seramai 523 orang pelajar dan pensyarah menjalani ujian saringan Covid-19 sejak 18 November lalu sehingga kelmarin.
“Seramai 105 orang yang merupakan kontrak rapat sedang dikuarantin di kolej tersebut sehingga mendapat keputusan ujian saringan Covid-19,” katanya yang memberitahu jangkitan kes di situ dinamakan sebagai Kluster Intan Delima 2.0.
Di Alor Setar, 24 pelajar lelaki di Maktab Mahmud, Sik disahkan positif Covid-19 membabitkan kluster institusi pendidikan yang dikenali sebagai Kluster Dah Pelangi semalam.
Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan dan Kerajaan Tempatan negeri, Datuk Dr. Mohd. Hayati Othman berkata, kluster tersebut dikesan setelah beberapa pelajar di sekolah berasrama itu didapati mengalami gejala bermula pada 28 November lalu.
“Seramai 105 orang yang merupakan kontrak rapat sedang dikuarantin di kolej tersebut sehingga mendapat keputusan ujian saringan Covid-19,” katanya yang memberitahu jangkitan kes di situ dinamakan sebagai Kluster Intan Delima 2.0.
Di Mentakab, Pahang, Sekolah Menengah Jenis Kebangsaan (SMJK) Hwa Lian ditutup selama seminggu sehingga Khamis depan selepas enam orang guru di situ disahkan positif Covid-19.
Pengerusi Pengelola SMJK Hwa Lian, Datuk Hiang Ah Lee berkata, setakat semalam tiada pelajar yang direkodkan positif Covid-19 dan langkah menutup sekolah dan sanitasi diambil bagi mengekang penularan.
SMJKC Hwa Lian mempunyai lebih 800 orang pelajar yang telah lengkap mengambil dua dos suntikan vaksin.
Kelmarin, seramai 139 orang terdiri daripada 114 pelajar Sekolah Seri Puteri di Cyberjaya, 15 guru dan 10 petugas dikesan positif Covid-19 tetapi kesemua mereka dilaporkan stabil.
Kluster Covid-19 di sekolah tersebut ialah Kluster Persiaran Tasik yang diumumkan pada 29 November lalu melibatkan kes indeks merupakan seorang guru didapati bergejala pada 22 November dan disahkan positif Covid-19 pada 24 November.
Di Kuala Kangsar pula, enam pelajar Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) Sultan Azlan Shah (SAS) disahkan positif Covid-19 yang merupakan jangkitan daripada Kluster Jalan Kuala Kangsar Gerik yang dilaporkan pada 29 November lalu. – UTUSAN










