Tak mahu senasib PH Terengganu - Utusan Malaysia

Tak mahu senasib PH Terengganu

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MUKADIMAH

SEJAK puluhan tahun lalu, tradisi politik di Terengganu hanya membabitkan Pas dan UMNO. Keadaan itu berterusan hingga kini berikutan pemikiran orang Melayu di sana yang dikatakan sudah didoktrinkan untuk menyokong hanya dua parti tersebut.

Situasi itu tentunya memberi cabaran kuat buat parti baharu seperti Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang) untuk menempatkan diri dalam gelanggang yang didominasi Pas dan UMNO.

Ketua Pejuang Terengganu, DATUK IR. WAN NAZARI WAN JUSOH berkata, jika terpalit isu rasuah, salah guna kuasa dan penyelewengan sekalipun, Pas dan UMNO tetap diterima kebanyakan rakyat negeri itu.

Kepada wartawan Utusan Malaysia, ROSALINDA MD.SAID dan jurufoto, PUQTRA HAIRRY ROSLI di Kuala Terengganu, baru-baru ini, Wan Nazari mengupas mengenai perancangan Pejuang Terengganu dalam menghadapi Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).

PELUANG PEJUANG DI TERENGGANU

Presiden Pejuang, Datuk Seri Mukhriz Tun Mahathir pernah bertanyakan soalan sama, bagaimana saya mahu mengukuhkan parti di Terengganu? Saya kata, masalah utama di sini ialah pemikiran orang Melayu sudah didoktrinkan untuk hanya menyokong UMNO atau Pas. Situasi ini sama seperti fasa peralihan Covid-19 dari pandemik kepada endemik kerana masyarakat sudah boleh hidup bersama kedua-dua parti itu walaupun mungkin ada dalam kalangan pemimpinnya terpalit kes rasuah, salah guna kuasa, menyeleweng, menunggang agama dan lain-lain.

Bagi saya, peluang Pejuang ada. Sebab itu kita kena tambah bilangan ahli dan fokus kepada orang muda bagi mengubah minda masyarakat.

TIDAK TERGUGAT DENGAN NASIB PH

Ramai yang ragu-ragu dengan kemampuan Pejuang susulan nasib Pakatan Harapan (PH) yang masih malap di Terengganu. Puncanya kerana PKR dan Parti Amanah Negara (Amanah) mengetengahkan seorang sahaja ketua. Berbeza dengan Pejuang kerana saya memberi fokus kepada siapa pewaris saya kelak.

PENGUNDI 18

Pejuang Terengganu tidak mahu membuang masa berkempen kepada pengundi berusia 40 tahun ke atas kerana kepala mereka sudah disetkan untuk menyokong Pas atau UMNO sahaja. Jadi, sasaran kita ialah kelompok generasi muda yang tidak pernah tahu tentang perselisihan antara Tun Dr. Mahathir Mohamad dengan Datuk Seri Anwar Ibrahim mahupun tentang amanat Haji Hadi (Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang). Saya difahamkan di setiap Parlimen di Terengganu kini mempunyai antara 15,000 hingga 20,000 pengundi baharu dan mereka inilah keutamaan kita dalam PRU15.

KEAHLIAN

Pendaftaran kita diluluskan pada 8 Julai lalu dan jumlah ahli sudah melebihi 4,000 orang dengan kebanyakannya tertumpu di Besut sebab kebetulan saya bertanding sebagai calon PH di sana semasa PRU14.

TAMBAH JENTERA

Sehingga akhir tahun ini, saya menyasarkan sekurang-kurangnya 10,000 ahli dengan masing-masing 1,000 orang di setiap lapan daerah. Bagi saya, bilangan itu sudah mencukupi untuk membolehkan kita bertanding di setiap Parlimen dengan kekuatan jentera yang ada.

KERUSI PRU15

Sebagaimana yang diumumkan Dr. Mahathir, Pejuang akan bertanding di 121 kerusi Parlimen dan lebih 400 DUN terutama di kawasan milik UMNO dan majoriti orang Melayu. Di Terengganu, insya-Allah kita akan bersaing secara solo di lapan kerusi Parlimen dan 32 DUN.

CALON

Senarai belum dikemukakan ke Pusat tetapi buat masa ini hampir 80 peratus calon sudah dikenal pasti dengan kesemuanya mempunyai latar belakang akademik termasuk peguam, jurutera dan doktor. Bukan kita menolak calon tidak berpelajaran tetapi sudah sampai masanya setiap ahli Parlimen mestilah berperwatakan profesional dan kelayakan akademik yang baik bagi memudahkan kita berhadapan rakyat.

TUMPU CALON MUDA, WANITA

Daripada 80 peratus calon yang dikenal pasti setakat ini, sejumlah 70 peratus merupakan calon muda dan wanita. Pejuang memfokuskan kepada orang muda dan profesional kerana kita mahu mereka menjadi ketua dan bukan sekadar pengikut sebagaimana pendekatan parti lain. Sudah sampai masanya perlu anjakan paradigma sedemikian.

KEKAL BERTANDING DI PARLIMEN BESUT

Pada PRU14, saya tewas di Parlimen Besut. Jadi, untuk pilihan raya akan datang, saya akur dengan apa jua keputusan Pusat. Saya masuk Pejuang bukan kerana jawatan atau kuasa sebaliknya sebagai ketua, saya bertanggungjawab menguruskan organisasi di peringkat negeri.

PEMBAHARUAN PEJUANG

Keutamaan kita adalah dari segi pendidikan dan peluang pekerjaan. Pejuang berharap Terengganu dapat memiliki sistem terbaik dari segi penawaran pekerjaan. Jika ada mana-mana pelabur asing mahu melabur di sini, usahlah terlalu banyak birokrasi hingga menghalang usaha tersebut.

TERENGGANU RUGI RM2 BILION

Kalau dikira kos Taman Ilmu, Tasik Kenyir, Bandar Baharu Kuala Nerus di samping projek air Chukai dan Kuala Nerus mencecah hampir RM2 bilion. Sedangkan duit kerajaan negeri itu boleh dimanfaatkan dan disalurkan kepada rakyat yang memerlukan. Saya ada melaporkan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) tetapi tiada sebarang tindakan.

KELEMAHAN BEKAS MB UMNO

Datuk Seri Idris Jusoh
Pembinaan Taman Ilmu di Tembila, Besut oleh Idris adalah baik bagi menempatkan universiti. Malangnya, projek berkenaan tidak diteruskan oleh pemimpin selepas beliau.

Datuk Seri Ahmad Said
Selepas menghentikan pembangunan Taman Ilmu, beliau melaksanakan projek zon bebas cukai di Tasik Kenyir yang memakan kos berbilion-bilion. Malangnya jadi pembaziran kerana tidak siap-siap.

Datuk Seri Ahmad Razif Abdul Rahman
Bagi saya, beliau merupakan yang paling teruk antara kesemua tiga menteri besar (MB)Terengganu daripada UMNO. Ahmad Razif mengabaikan projek Tasik Kenyir manakala Taman Ilmu pula diserahkan kepada pihak yang tidak tahu tentang pembinaan hingga kerajaan negeri disaman. Malah, cetusan ideanya mewujudkan projek mega bandar baharu di samping bekalan air di Chukai dan Kuala Nerus menyebabkan banyak pembaziran terpaksa ditanggung kepemimpinan kerajaan negeri baharu.

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×