BENGALURU: Saham Filipina bergolak semalam, sementara baht Thailand menyusut ketika pasaran kewangan terjejas disebabkan kebimbangan varian baharu Covid-19, Omicron menghentikan pembukaan ekonomi di seluruh dunia yang baru bermula.
Saham di Manila merosot 3.8 peratus ketika dibuka semalam kepada paras terendah dalam tujuh minggu, namun kembali meningkat kemudiannya untuk didagangkan pada sekitar 1.5 peratus lebih rendah.
Pasaran negara lain seperti Malaysia, Taiwan dan Indonesia juga dibuka lebih rendah selepas niaga hadapan saham Amerika Syarikat (AS) meningkat satu peratus.
Sementara Korea Selatan, Indonesia dan negara Asia lain menghalang kemasukan individu dari lapan negara dari bahagian selatan Afrika disebabkan varian Omicron. Filipina melanjutkan sekatannya dengan memasukkan beberapa negara Eropah.
Malah, negara itu turut menghentikan rancangannya untuk membuka sempadan kepada pelancong asing minggu ini.
Ketua Ahli Ekonomi Union Bank Filipina, Ruben Carlo O Asuncion berkata, berbanding varian Delta, jenis dan ciri-ciri Omicron masih belum dapat dipastikan.
“Ia menyebabkan unjuran pasaran lebih tidak menentu sehingga petanda saintifik yang diyakini menyatakan sebaliknya,” katanya.
Saham Singapura jatuh satu peratus ke paras terendahnya sejak 13 Oktober sementara mata wangnya tidak berubah.
Secara keseluruhannya, pasaran agak tenang berbanding penjualan besar-besaran Jumaat lalu memandangkan pelabur menunggu lebih banyak data untuk menilai kesan Omicron dengan beberapa penganalisis memberi amaran bahawa dagangan sedikit berkocak pada beberapa minggu akan datang.
Baht Thailand menyusut 0.4 peratus dan mungkin jatuh untuk hari ketujuh berturut-turut memandangkan negara itu turut mengenakan sekatan sempadan, membangkitkan kerisauan ramai berkenaan ekonomi yang tertekan.
Ketua Serantau Penyelidikan Asia Pasifik di ING, Robert Carnell berkata, jika kerisauan berkenaan Omicron sebenarnya tidak munasabah, maka penjualan baht disifatkan sebagai tindakan berlebihan.
“Kita boleh jangkakan lantunan yang baik juga,” katanya. – AGENSI










