Jangan sampai makan diri sendiri - Utusan Malaysia

Jangan sampai makan diri sendiri

PILIHAN Raya Negeri (PRN) Melaka bukanlah satu indikasi yang baik untuk menyatakan Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) nanti bakal menjadi milik mutlak Barisan Nasional (BN). – UTUSAN/AMIR KHALID
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SELESAI sudah Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka yang memperlihatkan Barisan Nasional (BN) kembali merampas Melaka dengan majoriti kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) cukup selesa, iaitu memenangi 21 daripada 28 kerusi dipertandingkan. Kemenangan ini sudah pasti memulihkan dan mengembalikan semangat para pemimpin dan ahli parti BN bahawa rakyat sudah kembali menyokong parti itu serta mempunyai akar umbi yang kukuh dan mampu menang dengan bergerak solo padak Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) nanti.

Baru-baru ini, Timbalan Pengerusi BN, Datuk Seri Mohamad Hasan menyatakan pendapat beliau kepada Perdana Menteri agar menyegerakan PRU15 dengan alasan ia masa sesuai untuk mengembalikan semula mandat rakyat. Namun, beberapa perkara perlu diberi perhatian oleh pimpinan BN dan perlu melihat PRN Melaka bukanlah satu indikasi yang baik untuk menyatakan PRU15 nanti bakal menjadi milik mutlak BN. Malah beberapa pemimpin BN seperti Datuk Seri Mahadzir Khalid dan Khairy Jamaluddin turut mendesak PRU15 tidak dilaksanakan segera dan BN bergerak secara solo perlu difikirkan secara mendalam oleh parti.

Hal ini ada kebenarannya. PRN Melaka tidak boleh dianggap mewakili kekuatan sebenar BN dan dijadikan sebagai asas kepada negeri-negeri lain serta pengundian di peringkat Persekutuan. Ibarat pepatah, lain padang, lain belalangnya. Pada PRN umumnya, jentera parti dari seluruh negara berkampung dan boleh memberi fokus di segenap kerusi DUN dipertandingkan.

Peratusan keluar mengundi perlu memberi pandangan serius. Peratusannya cukup rendah, iaitu kurang 65 peratus walaupun ia memberi kelebihan kepada BN kali ini.

Sebahagian besar pengundi luar tidak pulang mengundi disebabkan beberapa faktor mungkin mempengaruhi seperti mood yang bukan dalam PRU sebenar, protes senyap serta kelesuan politik berpanjangan mendorong sebahagian besar pengundi luar mengambil tindakan tidak pulang mengundi.

SOP

Selain itu, wujud dalam kalangan pengundi masih gusar dengan penyebaran virus Covid-19 dan prosedur operasi standard (SOP) yang terlalu ketat.

Hal ini menjadikan 10 daripada 21 kerusi dimenangi BN majoritinya kurang daripada 1,000 undi dengan yang terendah 79 undi di DUN Serkam. Pada kali ini, pertembungan tiga penjuru sedikit sebanyak memberi kelebihan pada BN dan yang pasti kelompok penyokong kerajaan di peringkat Pusat terbahagi dua, terutama Pas iaitu yang menyokong Muafakat Nasional (MN) dan Perikatan Nasional (PN).

Malah, pecahan undi popular dengan pesaing terdekat BN, iaitu Pakatan Harapan (PH) tidak begitu ketara, hanya 38 peratus manakala PN juga tidak boleh diabaikan walaupun memenangi dua kerusi tetapi mendapat undi popular sebanyak 24 peratus. Jelas di sini, tiada satu pun mampu mendapat undi popular melebihi sekurang-kurang 40 peratus dan pastinya pengundi masih lagi memerhatikan prestasi gabungan ini.

Justeru, walaupun BN berjaya mendapat majoriti kerusi dua pertiga, situasi ini bukanlah satu keadaan selamat dan selesa untuk BN. Di pihak PH, sudah pasti untuk menyusun strategi ampuh bagi memberi tekanan yang lebih kepada BN.

Kehadiran PN pada pilihan raya kali ini pula tidak boleh dipandang mudah. Berdasarkan pada kedudukan dan pecahan undi diperoleh, PN mampu mencipta satu kejutan.

Malah keputusan sebegini boleh dianggap sebagai wake up call kepada pihak lawan untuk memperkemaskan lagi strategi.

BERSIH

Bagi berhadapan PRU15 kelak, BN perlu membawa imej bersih terutama dalam kalangan pucuk pimpinan yang sedang berhadapan tuduhan mahkamah. Di PRN, kebiasaan isu-isu tempatan adalah dominan berbanding isu sebegini.

Dalam situasi sebegini, BN perlu melihat pilihan yang ada untuk mengharungi PRU15 selepas pemilihan UMNO dijangka pada awal 2023, iaitu membawa pasukan kepimpinan yang baharu untuk mengetuai PRU15 kelak. Sudah pasti sekiranya berlaku perubahan yang besar pada pucuk pimpinan UMNO memberi satu nafas dan imej baharu untuk ditawarkan kepada pengundi.

Tidak dinafikan, imej bersih seperti ketokohan Timbalan Presiden UMNO sedikit sebanyak memberi impak kepada keputusan PRN tempoh hari. Walaupun ada pihak menyatakan aura bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak turut memberi impak, tetapi tidak boleh dijadikan sandaran kukuh disebabkan kes-kes mahkamah yang sedang dihadapi.

Pilihan seterusnya adalah untuk mengadakan kerjasama dengan parti politik yang lebih jelas dan kukuh. BN yang wujud ketika ini tidak boleh dianggap seperti dahulu dengan perpecahan parti-parti gabungannya sebelum ini terutama dari Sabah dan Sarawak.

Di Semenanjung pula, kerjasama MN perlu diperjelaskan sebaik mungkin. Hal ini penting bagi menjaga kepentingan dan sosioekonomi terutama orang Melayu. Pengalaman ketidakstabilan politik yang dilalui rakyat sejak 2018 tidak seharusnya berulang.

Kesimpulannya, BN tidak boleh menjadikan PRN Melaka sebagai indikasi utama untuk menyatakan mereka bakal memenangi PRU15. Sejarah mencatatkan sebelum PRU14, BN memenangi dengan selesa di Pilihan Raya Kecil (PRK) Sungai Besar, Teluk Intan dan Kuala Kangsar, namun akhirnya tumbang pada PRU14.

Sebaiknya, BN tetap melakukan pascanilai kemenangan yang diperoleh kali ini. Para pemimpin dan ahli BN perlu terus bekerja lebih keras dan membuktikan segala janji pada PRN kali ini dapat ditunaikan sebaiknya. Sekiranya masih berada dalam meraikan kejayaan ini berpanjangan, dikhuatiri kemenangan hanya menjadi false flag yang akan memakan diri sendiri.

DR. Muhammad Azwan Sulaiman ialah pemerhati politik dari Universiti Teknologi Mara (UiTM) Shah Alam.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×