PUTRAJAYA: Tindakan sebuah operator televisyen satelit tempatan tidak memotong babak seorang guru besar sekolah menghisap cerut adalah menyalahi Akta Penapisan Filem 2002.
Bagaimanapun, syarikat berkenaan bebas menayangkan adegan itu kerana memiliki panel penapisan tersendiri tanpa tertakluk kepada bidang kuasa Lembaga Penapis Filem (LPF).
Sumber Kementerian Komunikasi dan Multimedia berkata, keadaan tersebut meskipun pelik, namun itulah berlaku selama ini sehingga wujud situasi seolah-olah ada isu dwistandard penapisan.
“Mungkin ramai pun tidak tahu bahawa semua program disaring oleh badan penapis stesen itu sendiri, bukan LPF di bawah Kementerian Dalam Negeri,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia.
Kelmarin, dilaporkan ramai warganet berang kerana terdapat drama televisyen memaparkan babak pengetua sekolah berasrama penuh elit merokok di hadapan pelajarnya.
Walaupun cereka bersiri genre komedi itu sudah berakhir, adegan tersebut didakwa menghina imej profesion guru kerana kawasan sekolah diwartakan zon larangan merokok sejak 1997.
Malah paparan pelakon itu merokok cerut juga adalah kesalahan di bawah Peraturan Kawalan Hasil Tembakau 2004 kerana tiada sebarang tanda amaran peringatan penonton disiarkan.
Mengulas lanjut, sumber itu memberitahu, adegan tersebut melanggar Perkara 3 akta berkenaan yang menetapkan babak sedemikian wajib dipotong tidak kira produk tembakau, shisha atau vape.
“Ini bukan isu baharu sebab pernah berlaku di stesen televisyenyang terpaksa tukar drama atau filem tertentu kerana banyak babak sensitif dibuang LPF,” jelasnya.
Ironi ujarnya, perkara ini hanya meliputi 18 saluran terrestrial digital percuma yang disaksikan 6.2 juta isi rumah, tetapi tidak kepada 5.7 juta pelanggan siaran berbayar satelit berkenaan.
Selain itu katanya, penonton mungkin menyedari ada dialog berunsur kesat atau lucah mudah ditayangkan pelbagai saluran dimiliki operator berkenaan atas alasan konon ia cuma lakonan.
Padahal ungkapan jelik sedemikian, tambah sumber, perlu dipadam atau dibisukan walaupun program itu diklasifikasi bukan tontonan umum dan cuma penonton berusia 18 tahun ke atas.
Larangan ini ada dinyatakan dalam Garis Panduan Penapisan Filem diterbitkan oleh Bahagian Kawalan Penapisan Filem dan Penguatkuasaan, Kementerian Dalam Negeri sejak 2010 lalu.
“Anehnya, operator penyiaran itu sendiri turut terlibat dalam penyediaan bahan peraturan LPF dengan lima individu yang mewakili kepentingan syarikat tersebut pun ada dilantik,” katanya. – UTUSAN ONLINE











