PETALING JAYA: Kira-kira 144,395 panggilan kecemasan diterima Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) dalam tempoh 10 bulan pertama tahun ini.
Jumlah itu dilihat meningkat sebanyak 37.4 peratus berbanding tahun lalu iaitu sebanyak 105,091 kes.
Bercakap kepada Utusan Malaysia, Pengarah Bahagian Operasi Kebombaan dan Penyelamat JBPM, Datuk Nor Hisham Mohammad berkata, panggilan penyelamatan meningkat sebanyak 19 peratus iaitu daripada 58,275 bagi tahun lalu kepada 69,348 panggilan.
Beliau berkata, antaranya melibatkan operasi menyelamat bagi mangsa lemas, terperangkap ketika mendaki, kes banjir, menyelamatkan haiwan dan lain-lain.
Selain itu, jelasnya, sebanyak 42,923 panggilan tugas-tugas khas diterima dalam tempoh tersebut.
“Ia meningkat sebanyak 274 peratus. Faktor ini disebabkan operasi-operasi sanitasi awam termasuk melibatkan Covid-19 selain perlu bersiap sedia untuk tugas ketika perayaan, majlis tertentu atau lain-lain.
“Bagi kebakaran pula, kira-kira 31,986 panggilan diterima dan ia menunjukkan penurunan sebanyak 8.9 peratus iaitu 35,111 pada tahun lalu,” katanya ketika dihubungi di sini semalam.
Dalam pada itu, menurut Nor Hisham, sebanyak 138 panggilan palsu diterima bagi tahun 2021.
Menurut beliau, ia menurun kira-kira 39.7 peratus berbanding tahun sebelumnya dengan jumlah 229 panggilan.
“Bagi tempoh 10 bulan ini, kita telah menyelamatkan 7,559 individu melibatkan operasi kebakaran dan penyelamatan.
“Selain itu, seramai 4,510 orang didapati cedera manakala 1,317 lagi maut bagi kedua-dua operasi (kebakaran dan penyelamatan).
Tambahnya, sebanyak RM7.84 bilion nilai harta benda yang berjaya diselamatkan. – UTUSAN ONLINE











