BARU-BARU ini, saya berbual dengan Koh Yok Hwa, rakan keturunan Teochew yang berasal dari Yong Peng, Johor. Perbualan kami turut berlegar sekitar sistem Kangchu yang pernah popular dalam kalangan peladang kaum Cina di Johor pada 1850-an.
Saya pernah membaca sedikit mengenai sokongan Sultan Abu Bakar kepada peladang Cina semasa di sekolah dahulu. Perbualan dengan Koh Yok Hwa menimbulkan minat untuk mengetahui lebih mendalam dan menyeluruh perihal budaya dan komposisi sosiopolitik baharu yang muncul menerusi sistem itu.
Kita biasa mendengar tentang ‘kongsi’ yang popular dalam kalangan pelombong bijih timah keturunan Hokkien, Kantonis dan Hakka di Negeri-negeri Melayu Bersekutu pada masa silam. Sistem Kangchu pula popular dalam kalangan orang Teochew di Johor.
Perkataan kangchu membawa makna ketua tebing sungai. Gelaran lain ialah kapitan iaitu ketua. Ketua kaum Cina keturunan Teochew diberi kebenaran khas oleh Temenggong Daeng Ibrahim dan kemudian oleh Sultan Abu Bakar untuk memulakan ladang gambir dan lada hitam di sepanjang sungai-sungai di negeri berkenaan.
Para kapitan yang biasanya berasal dari Singapura diberi kebenaran khas menerusi dokumen yang dipanggil Surat Sungai. Di bawah sistem Kangchu, kapitan boleh membuka ladang dan penempatan baharu di tebing sungai yang berhutan dan belum diterokai.
Hasil tanaman gambir dan ladang hitam di ladang perlu dibayar cukai kepada sultan. Antara kawasan baharu yang diteroka melalui sistem Kangchu ialah Skudai diikuti Tebrau, Plentong dan Stulang.
Kemudian ladang gambir dan ladang hitam serta kawasan penempaan baharu turut dibuka di Mersing, Yong Peng, Batu Pahat, Endau, Kota Tinggi, Benut dan Muar.
Walaupun tidak banyak maklumat tentang sistem Kangchu sempat dibaca dalam buku teks sekolah dahulu, ada beberapa artikel jurnal dan bahan arkib yang menjadi rujukan saya bagi menimba pengetahuan. Misalnya, tulisan A.E. Coope di Journal of the Malayan Branch of the Royal Asiatic Society (Disember 1936) dan tulisan Carl A. Trocki di jurnal sama pada 1976.
Menerusi catatan di akhbar The Straits Times (30 September 1953), ahli politik Singapura, Yap Pheng Geek menceritakan tentang kampung asalnya, Wah Peng Kang di tebing Sungai Kambau. Beliau menghuraikan bahawa kawasan penempatan baharu yang diteroka di bawah sistem Kangchu dipanggil kangkah bermaksud kaki sungai.
Kalau kita perhatikan, ada beberapa tempat di Johor bernama Kangkar iaitu berasal daripada kangkah. Di bawah sistem Kangchu, setiap kangkah (kampung atau penempatan) ada twachu iaitu rumah besar yang menjadi tempat tinggal kapitan.
Setiap penempatan yang dihuni puluhan atau ratusan penduduk terletak di bawah kuasa penuh kapitan. Biasanya ada kedai dan kemudahan lain tersedia bagi para pekerja yang hampir tidak ada hubungan dengan dunia luar. Hal ini boleh dibandingkan dengan buruh Tamil dari India yang dibawa ke ladang getah di Malaya di bawah sistem Kangani.
RUMAH PELACURAN
Dalam sistem Kangchu, kapitan perlu melaporkan apa-apa perkembangan dan membayar cukai kepada wakil Melayu yang dilantik sultan. Kapitan diberi kuasa membawa masuk buruh untuk meneroka hutan, membuka ladang dan mengusahakan ladang berkenaan.
Di bawah sistem Kangchu, setiap kapitan turut diberi peluang menambah hasil dengan lima cara di kangkah yang dikuasainya. Dia diberi lesen untuk mengendalikan pusat perjudian, menjual arak, menjual candu (opium), rumah pelacuran serta kebenaran menyembelih dan menjual daging babi.
Barang-barang keperluan dibawa oleh kapitan dari Singapura untuk dijual kepada penduduk di kangkah. Kedai di Singapura pula biasanya milik keluarga kapitan itu sendiri.
Surat Sungai yang pertama diberi kepada seorang kapitan di bawah sistem Kangchu pada 9 Oktober 1844 untuk meneroka kawasan di tebing Sungai Skudai. Surat kedua bertarikh 22 Oktober 1844 bagi Sungai Tebrau. Sehingga Mac 1862, sekitar 40 Surat Sungai dikeluarkan dan sejumlah 32 kangkah dibuka.
Sistem Kangchu dihapuskan oleh penjajah British pada 31 Disember 1917. Bukan hanya kerana ladang gambir dan ladang hitam mula diganti ladang getah, elok juga jika kita mengetahui dan memahami apa puncanya.
Sistem Kangchu memulakan hubungan rapat antara pemerintah Melayu (sultan) dengan Kongsi Ngee Heng. Misalnya, kongsi itu terlibat secara langsung dalam merangka Kanun Kangchu yang menggariskan bidang tugas dan kuasa kapitan. Kanun itu mula dilaksanakan pada 1873.
Nama lain yang lebih kita kenali bagi Kongsi Ngee Heng ialah Kongsi Ghee Hin yang popular di Singapura dan Malaya sejak 1820-an. Kita mungkin ingat perang antara Ghee Hin dan Hai San di Taiping, Perak. Walaupun kongsi itu didominasi keturunan Kantonis dan Hokkien, orang Hakka, Hainan dan Teochew juga menjadi ahli.
Mulai 1846, hampir 4,000 peladang yang juga ahli Kongsi Ngee Heng di Singapura dilaporkan berpindah secara berperingkat ke Johor (Singapore Free Press, 26 Mac 1846). Carl A. Trocki dalam tulisannya menyebut, kebanyakan kapitan yang menguasai kangkah di Johor merupakan ketua kongsi gelap di Singapura.
Penjajah British memang sejak awal kurang menyenangi Kongsi Ngee Heng. Memandangkan kapitan ada kaitan dengan pertubuhan itu, British bimbang kesan negatif yang boleh dibawa. Sekitar 1890, Cecil Clementi Smith selaku Gabenor Negeri-negeri Selat menasihati Sultan Abu Bakar supaya mengharamkan Kongsi Ngee Heng tetapi usul Ordinan Pertubuhan ditolak sultan.
Bagaimanapun, Enakmen 1899 yang diguna pakai di Negeri-negeri Melayu Bersekutu berjaya dilaksanakan di Johor pada 1915. Pada tahun seterusnya, kongsi itu diisytiharkan pertubuhan haram. Menjelang waktu itu juga hasil perdagangan gambir dan lada hitam sudah berkurangan. Ladang getah sedang rancak mengambil alih tempatnya.
Sistem Kangchu dihapuskan terus pada 31 Disember 1917. Mungkin generasi baharu tidak diberitahu dan tidak berminat untuk mengambil tahu tentang sistem Kangchu yang semakin terlindung dalam catatan sejarah negara. Namun begitu, sejarah berkaitan asal-usul kenapa begitu banyak bandar di Johor akan terus menyimpan kisah silam.
PENULIS ialah pengasas Kumpulan Sasterawan Kavyan.










