Bigfoot wujud, bukan mitos - Penduduk - Utusan Malaysia

Bigfoot wujud, bukan mitos – Penduduk

TAPAK kaki didakwa kaki Bigfoot berbanding tapak kaki manusia yang ditemukan di Kota Tinggi, Johor pada Februari 2007. - GAMBAR FAIL
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KOTA TINGGI: Kisah Bigfoot yang menggemparkan negara kira-kira 20 tahun lalu di Johor masih dianggap wujud dalam kalangan penduduk Kampung Mawai di sini, terutama yang mendakwa pernah terserempak dengan haiwan tersebut.

Walaupun kewujudannya dianggap mitos, ramai penduduk mempercayai kewujudan haiwan terbabit yang sehingga kini belum dapat dibuktikan secara nyata melainkan sekadar dakwaan.

Penduduk kampung tersebut yang hanya mahu dikenali sebagai Man, 55, berkata, dia antara yang beruntung apabila pernah melihat haiwan tersebut kira-kira 20 tahun lalu.

Bercakap kepada Utusan Malaysia, Man mendakwa berdepan pengalaman tersebut sebanyak dua kali yang masih segar dalam ingatannya sehingga kini meskipun telah berlalu terlalu lama.

“Kejadian pertama ketika itu saya dan seorang rakan sedang memburu di hutan Mukim Ulu Sedili, rakan berada di depan dan perasan dahulu kelibat Bigfoot atau kami di sini kenali dengan panggilan ‘hantu bantung’.

“Fizikalnya berbadan besar, berbulu penuh satu badan seperti orang hutan dan baunya pula sangat busuk seperti tandan kelapa sawit. Ketika itu terdapat dua ekor haiwan terbabit sedang mencangkung.

“Masa itu kami hanya fikir untuk selamatkan diri sahaja dan lari dari kawasan itu kerana saya pernah dengar cerita orang lama bahawa meskipun kita gunakan peluru satu pinggang pun tidak berjaya mematikannya,” katanya ketika ditemui di sini, semalam.

Tambahnya, kejadian kedua pula berlaku ketika dia memancing bersama-sama rakan di Sungai Sedili, ketika itu hasil tangkapan mereka diletak di dalam jaring yang diikat kemas.

Namun, katanya ikan-ikan itu semuanya hilang dengan ikatan jaring masih elok selain ternampak kesan tapak kaki dipercayai milik Bigfoot di kawasan berhampiran mereka memancing.

“Bagi saya Bigfoot di Kampung Mawai ini bukan mitos kerana ia wujud dipercayai semasa zaman sebelum perang, pihak tentera pernah menembak mati haiwan itu dan difahamkan bangkainya diawet dan diletak di sebuah muzium di Singapura,” katanya.

Bagi Zamhizul Ariffin, 40, pula berkata, cerita berkenaan Bigfoot bermula dari mulut ke mulut yang difahamkan ia adalah haiwan mawas.

Katanya binatang tersebut memiliki ketinggian kira-kira tujuh kaki, badan berbulu dan besar tubuh badannya.

“Mawas ini jarang kita dengar dari orang tua dapat bertembung betul-betul kerana kebiasaannya yang menceritakan kisah itu hanya mendakwa dapat melihat dari jarak kira-kira 50 ataupun 30 meter dari tempat dilihat.

“Bekas Ketua Kampung Mawai, Allahyarham Mansor Ariffin ada menceritakan dia sendiri adalah orang yang pernah melihat kelibat mawas ketika ingin menjalankan kerja-kerja persempadanan.

“Namun yang penduduk percaya bukan Bigfoot tetapi adalah mawas. Bagi mereka yang lahir sekitar 1980-an apercaya mawas adalah binatang yang wujud yang mana haiwan mawas ini ada hubung kait juga dengan asal usul nama Mawai.

“Namun bagi kita orang muda anggap Bigfoot dengan mawas ini sama cuma orang tua faham mawas itu tetap mawas. Bagi saya sendiri saya percaya haiwan ini wujud kerana ia makhluk hutan,” katanya.

Tambahnya, difahamkan kali terakhir penduduk pernah terserempak dengan mawas adalah pada tahun 2005 di kampung tersebut sehingga mendapat liputan meluas pihak media pada ketika itu termasuk dari luar negara. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×