KUALA LUMPUR: Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) benar global diunjurkan meningkat kepada 5.5 peratus pada tahun ini, namun menyederhana ke paras 4.2 peratus pada 2022, selepas turun kepada 3.4 peratus 2020.
Menurut IHS Markit, perkembangan ekonomi global berkembang secara tidak sekata dengan keadaan pasang surutnya berbeza-beza mengambil kira gelombang wabak Covid-19.
Katanya, kesan lembapan daripada wabak serantau terhadap aktiviti ekonomi kemudiannya disebarkan secara global melalui hubungan perdagangan.
“Dengan dasar fiskal dan monetari yang mengembang menyokong permintaan, implikasinya ialah kekurangan bekalan yang meluas dan harga meningkat,” katanya dalam kenyataan.
IHS Markit berkata, dengan beberapa kekurangan bekalan kritikal dan kesesakan penghantaran berterusan sehingga 2022 dan seterusnya, tekanan inflasi akan berkurangan secara beransur-ansur.
Data Indeks Pengurus Pembelian Pembuatan (PMI) IHS Markit menunjukkan, masa penghantaran pembekal memanjang ke tahap paling tinggi pada Oktober, membawa kepada pecutan mendadak dalam kos input dan harga output.
Pengarah Eksekutif Ekonomi Global IHS Markit, Sara Johnson berkata, pertumbuhan ekonomi global akan berterusan, walaupun pada kadar yang sederhana dalam tempoh tiga tahun akan datang.
Beliau berkata, virus Covid-19 kekal sebagai punca gangguan kepada ekonomi serantau, tetapi kesan ekonomi akan berkurangan dengan kemajuan dalam vaksinasi dan rawatan wabak berkenaan.
“Apabila keadaan bekalan bertambah baik, kadar inflasi hiliran akan mula berkurangan pada separuh pertama 2022.
“Pengetatan dasar monetari yang diukur akan membantu mengekang jangkaan inflasi dan inflasi sebenar,” katanya.
Johnson berkata, inflasi harga pengguna global diunjurkan meningkat daripada 2.2 peratus pada 2020 kepada 3.7 peratus2021, kadar tertinggi sejak kenaikan lima peratus pada 2008.
“Apabila harga komoditi pertanian dan perindustrian menurun, inflasi harga pengguna akan berkurangan kepada 3.5 peratus pada 2022, 2.7 peratus 2023 dan 2024,” katanya. – UTUSAN










