Keuntungan selepas cukai Petronas Chemicals meningkat kepada RM2 bilion - Utusan Malaysia

Keuntungan selepas cukai Petronas Chemicals meningkat kepada RM2 bilion

JS-SEZ merangkumi sembilan kawasan utama yang termasuk Wilayah Pembangunan Iskandar dan Pengerang, Johor. – GAMBAR HIASAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Petronas Chemicals Group Berhad (PCG) mencatatkan keuntungan selepas cukai (PAT) yang lebih tinggi pada suku ketiga tahun kewangan 2021 sebanyak RM2 bilion, berbanding RM452 juta yang dicatatkan pada suku sama tahun lalu.

Menurut PCG, pertumbuhan mendadak dalam pendapatan dan keuntungan pada suku tersebut didorong oleh harga produk petrokimia yang lebih tinggi dan kecemerlangan operasi kumpulan yang berterusan serta pengurusan kos yang berkesan.

Katanya, kenaikan harga minyak mentah yang berpanjangan dan persekitaran bekalan yang ketat secara berpanjangan telah menyebabkan harga produk yang lebih tinggi pada suku tersebut.

Prestasi yang lebih baik pada suku tersebut membolehkan pengeluar bahan kimia itu mengekalkan margin pendapatan sebelum faedah, cukai, susut nilai dan pelunasan (EBITDA) yang tinggi sebanyak 37 peratus dan PAT yang kukuh sebanyak RM5.3 bilion untuk sembilan bulan pertama 2021, berbanding RM1.1 bilion dalam tempoh sama tahun lalu.

SAZALI HAMZAH

Pengarah Urusan dan Ketua Pegawai Eksekutif PCG, Datuk Sazali Hamzah berkata, pihaknya menjangkakan pemulihan harga pasaran akan menjadi sederhana bermula suku ketiga 2021 tetapi harga produk kekal tinggi berikutan Taufan Ida pada Ogos.

“(Ia) mengganggu bekalan di Amerika Utara dan masa henti yang berpanjangan di loji urea Timur Tengah sewaktu pemulihan permintaan apabila sekatan Covid-19 semakin berkurangan.

“Walaupun harga polimer adalah lebih rendah sebanyak lima peratus berbanding suku kedua 2021, harga urea dan metanol meningkat dengan kukuh sebanyak kira-kira 25 peratus dan 10 peratus masing-masing.

“Melalui kecemerlangan operasi dan komersial, PCG mencatatkan prestasi yang baik dengan mengoptimumkan pengeluaran dan jualan berbanding pergerakan pasaran,” katanya dalam kenyataan semalam.

Selain PAT, PCG turut mencatatkan peningkatan pendapatan sebanyak 67 peratus kepada RM5.8 bilion berbanding RM3.5 bilion yang disumbang oleh harga purata produk yang lebih tinggi, didorong oleh peningkatan harga minyak mentah, permintaan global yang bertambah baik dan persekitaran bekalan yang ketat.

Sehubungan itu, syarikat itu mengisytiharkan dividen khas sebanyak 10 sen sesaham bagi tahun kewangan berakhir 31 Disember 2021. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×