MENARIK sekali hal berkait Dr. Ahmad Idham Ahmad Nadzri yang dilantik sebagai Setiausaha Kebudayaan dan Datuk Seri Eizlan Yusof sebagai Perunding Kreatif kepada Menteri Luar. Menarik kerana berkemungkinan jarang sekali menteri dan lebih-lebih lagi Menteri Luar mempunyai pegawai berjawatan sedemikian rupa.
Penjelasan Datuk Saifuddin Abdullah bahawa pelantikan Ahmad Idham selaku Setiausaha Kebudayaan kepada Menteri Luar sebenarnya menggunakan peruntukan perjawatan sedia ada di Pejabat Menteri Luar yang setaraf Gred 54 di sektor kerajaan adalah manifestasi sememangnya ada keperluan dan kepentingan jawatan tersebut.
Ini kerana jawatan bergred 54 adalah penting yang mana pemegangnya dianggap sebagai penggubal dasar kementerian.
Ada kemungkinan Wisma Putra sedang memperkemaskan strategi diplomasi tersirat dalam memperkuatkan pengamalan dasar luar Malaysia. Ramai sedia maklum dengan kaedah diplomasi tersurat atau lazim seperti penggunaan faktor ketenteraan, ekonomi atau geopolitik ketika berurusan dengan negara lain.
Sementara diplomasi tersirat pula berkait pengamalan dasar luar mengguna faktor yang tidak lazim seperti pendidikan, gaya hidup, hiburan dan budaya. Hakikatnya, diplomasi tersirat ini terlaksana secara tidak langsung dan kesan terhadap kumpulan sasaran berlaku secara tidak nyata.
Contoh klasik adalah diplomasi tersirat melalui pendidikan yang diamalkan oleh Amerika Syarikat (AS) dan United Kingdom (UK). Kesan diplomasi ala pendidikan ini begitu ketara kerana kumpulan penggubal dasar kementerian sama ada yang mendapat pendidikan di AS atau UK sudah pasti mempunyai pengalaman berbeza dan perbezaan ini akan pasti mewarnai keputusan bakal dibuat.
Begitu jua dengan filem keluaran Hollywood sudah amat pasti membentuk pemikiran terhadap dunia Barat terutama AS, sebagaimana faktor K-Pop adalah unsur pengaruh penting bagi produksi filem Hallyuwood Korea Selatan. Malah sukar jua untuk menafikan pengaruh filem dari negara jiran terdekat kita, iaitu Indonesia terhadap hubungan dasar luar dua negara ini.
Jika dikaitkan dengan kepakaran yang dimiliki oleh Ahmad Idham dan Eizlan Yusof, maka sudah pasti Wisma Putra dijangka memperluaskan lagi penggunaan faktor hiburan, persekitaran gaya hidup dan budaya ketika melaksanakan diplomasi luar negara. Diplomasi tersirat sebegini walaupun kelihatan mudah tetapi memerlukan perancangan rapi, pintar dan masa agak panjang untuk menghasilkan kesan yang dirancang.
Lihat sahaja fenomena K-Pop, walaupun ramai yang menganggapnya sebahagian daripada dunia hiburan tetapi kesan di luar Korea Selatan adalah begitu hebat sekali.
Fenomena ini tidak tercetus secara tiba-tiba atau tidak sengaja tetapi memerlukan perancangan teliti terutama sekali daripada kerajaan Korea Selatan yang banyak membantu industri hiburan di negara tersebut untuk maju ke hadapan.
WONDER GIRLS
Apabila kumpulan K-Pop, iaitu BTS diberi peluang berucap di pentas Persidangan Agung Bangsa-Bangsa Bersatu (UNGA) ke-76, September lalu bagi mewakili suara anak muda, itu adalah manifestasi kejayaan besar diplomasi tersirat Seoul.
Memang benar industri hiburan Malaysia tidaklah segagah dan sehebat fenomena global K-Pop tetapi hakikatnya ialah K-Pop mengambil masa lebih dari dua dekad untuk sampai ke peringkat hari ini. Mungkin ramai sudah lupa kumpulan seperti Wonder Girls yang merintis K-Pop dikenali seluruh dunia kerana perjalanannya mengambil masa yang lama untuk sampai kemuncaknya.
Wisma Putra berhadapan dengan kekangan dalam pengamalan diplomasi tersirat kerana Malaysia sebagai sebuah negara kecil mempunyai pelbagai kekangan dalam pemilikan perkara tersohor dan unik yang boleh digunakan. Tetapi sebenarnya Malaysia adalah sebuah negara unik yang jarang dimiliki jua oleh negara lain.
Kepelbagaian bangsa, budaya, bahasa dan agama walaupun dianggap sebagai lumrah atau klise, tetapi itu adalah senjata ampuh kita bila mengamalkan diplomasi tersirat.
Beberapa bulan selepas Barack Obama dilantik Presiden AS pada 2009, ketika berucap di Universiti Kaherah, beliau menyebut Malaysia sebagai model negara Islam yang moden dan progresif.
Moden kerana pembangunan fizikal dan sosial adalah setara dengan negara maju lain. Sementara progresif dalam pemerhatian Obama adalah walaupun dengan kepelbagaian penduduk, keharmonian yang dipamerkan Malaysia adalah begitu menakjubkan.
Keunikan sebegini yang dimiliki Malaysia perlu diperguna secara seluas yang mungkin kerana tidak banyak negara boleh mendabik dada dengan kelebihan sebegini.
Keistimewaan ini merentas dunia hiburan dan budaya yang diamalkan kerana ia mencakupi segenap lapisan hidup rakyat.
Tidak keterlaluan jika diandaikan kebanyakan rakyat Malaysia amat berbangga dengan keunikan yang dimiliki oleh negara mereka dan apabila bercerita kepada pelancong asing umpamanya, naratif kebanggaan tidak dapat dipisahkan. Sebab itu penting bagi kedua-dua, Ahmad Idham dan Eizlan Yusof merangka strategi dan dasar bagaimanakah Wisma Putra dalam pengamalan diplomasi lazim, senjata keunikan yang dimiliki boleh digunakan secara maksimum.
Mungkin kita tidak mampu menunggu dua dekad seperti Korea Selatan kerana kesannya lagi cepat dirasai, lagi bermanfaat kepada negara.
Jangan hanya tumpukan negara jiran untuk menjual keunikan yang dimiliki, tetapi sasarannya mestilah global.
Bukan mustahil untuk mencapai hasrat ini jika kena dengan strategi yang digubal. Gabungan diplomasi tersurat dan tersirat sudah pasti memberi kesan yang maksimum dan positif kepada negara.
PENULIS ialah penganalisis politik dan geostrategis.










