Karma di PRN Melaka - Utusan Malaysia

Karma di PRN Melaka

EMPAT ADUN yang menarik sokongan terhadap kerajaan negeri Melaka, Oktober lalu. (Dari kiri) Datuk Noor Effandi Ahmad, Datuk Norhizam Hassan Baktee, Datuk Seri Idris Haron dan Datuk Nor Azman Hassan (berkerusi roda). – UTUSAN/RASUL AZLI SAMAD
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KEPUTUSAN Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka, Sabtu lalu menunjukkan Barisan Nasional (BN) berjaya mendapatkan mandat besar daripada pengundi (21 kerusi), manakala Pakatan Harapan (PH) terpaksa gigit jari dengan lima kerusi sahaja, dan malang sekali Perikatan Nasional (PN) dapat dua kerusi. Ketiga-tiga parti besar ini masing-masing meletakkan 28 calon, bertanding merebut 28 kerusi.

Ramalan sesetengah pihak, ramai pengundi tidak akan keluar mengundi nampaknya tepat sekali. Media melaporkan hanya 65 peratus pengundi berdaftar keluar mengundi pada Sabtu lalu. Andainya lebih ramai keluar mengundi, apakah keputusan PRN ini akan berbeza, menyebelahi Pakatan Harapan atau PN misalnya?

PRN Melaka, Sabtu lalu memberi peluang keemasan bagi BN melakukan political comeback begitu meyakinkan sekali, menguasai lebih daripada dua per tiga jumlah kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN). Ini bermakna jika perlembagaaan negeri perlu dipinda sekali pun, kerajaan baharu ini tidak akan berdepan dengan apa-apa masalah.

PN di bawah pimpinan Tan Sri Muhyiddin Yassin dengan gimiknya hendak melantik Ketua Menteri wanita pertama di negara ini, gagal meyakinkan pengundi negeri Hang Tuah itu. Calon PN untuk jawatan itu, Datuk Mas Ermieyati Samsudin hanya memperoleh 3,195 undi, ditewaskan oleh calon BN, Datuk Seri Ab. Rauf Yusoh yang memperoleh 3,558 undi.

Secara peribadi, saya mengalu-alukan pelantikan Ketua Menteri wanita pertama di negara ini. Sudah 64 tahun negara merdeka, sampai masanya kita bereksperimen dengan seorang ketua kerajaan negeri dalam kalangan kaum Hawa.

MANIFESTO

Mengikut laporan media pada Rabu lalu, BN melancarkan manifesto bertema Melaka Lima Tahun, manakala PH melancarkan manifestonya, Pelan Tindakan Maju Bersama Harapan, menggariskan tiga teras utama dan 32 inisiatif. Pada hari itu, pengundi Melaka tertanya-tanya, mana manifesto PN?

Seorang sahabat penyokong tegar PH memberitahu saya, Jumaat lalu bahawa dia yakin PH boleh menang dengan majoriti mudah, mengalahkan BN dan PN. Ramalan beliau nampaknya meleset. Sekali lagi membuktikan dalam mana-mana pilihan raya (sama ada di peringkat negeri atau nasional), sukar kita meramalkan dengan tepat, siapa akan menang.

Zaman calon boleh ‘beli’ pengundi telah lama berlalu. Ada juga sahabat lain yang bertanya, apakah kekalahan PN disebabkan parti itu lambat melancarkan manifesto atau ada sebab-sebab lain? Sahabat menyatakan, ada pengundi Melaka yang masih marah terhadap perbuatan lompat parti oleh tiga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) yang menyebabkan kerajaan negeri (pimpinan BN) tumbang dan penduduk negeri itu terpaksa menghadapi satu PRN dalam suasana wabak Covid-19 yang belum 100 peratus pulih.

KARISMA, REPUTASI SILAM

Saya sendiri menyangka tokoh veteran dan bekas Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Idris Haron (yang bertanding atas tiket PH di DUN Asahan) akan menang disebabkan pengalaman luas serta karismanya. Beliau juga ditewaskan oleh calon BN, Fairul Nizam Roslan yang memperoleh 4,939 undi berbanding Idris, 4,192 undi. Nyata sekali, gelombang besar BN menenggelamkannya.

Bagi Datuk Norhizam Hassan Baktee (bekas ADUN Pengkalan Batu), usahanya bertanding sebagai calon Bebas tidak mendatangkan hasil yang diharapkan. Beliau hanya mampu mendapat 1,218 undi berbanding calon BN, Datuk Kalsom Nordin, 4,830 undi. Reputasi warna-warni diri sahaja belum cukup untuk calon menang dalam pilihan raya. Pengundi Melaka cenderung melihat parti, lebih daripada personaliti calon.

Menyambut kemenangan BN dalam PRN Sabtu lalu, bekas Perdana Menteri dan beksa Presiden UMNO, Datuk Seri Najib Tun Razak berkata, BN perlu tunaikan segala janjinya melaksanakan urus tadbir yang cemerlang di negeri itu.

“Melaka telah banyak ketinggalan sejak Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) dan kita perlu kembalikan Melaka ke landasan pembangunan,” tegasnya lagi.

KAJIAN

Bercakap kepada media selepas mengakui kekalahan PN, Muhyiddin menyatakan, satu kajian mendalam akan dilakukan berkaitan keputusan PRN Melaka.

“Kita akan lihat jika ia ada kaitan dengan jumlah pengundi yang keluar, jentera PN atau ada masalah lain. Ini akan memberi panduan untuk langkah seterusnya terutama bagi menghadapi PRU akan datang,” ujarnya lagi.

Dalam komen awalnya, sebuah portal berita menyatakan bahawa kemenangan besar BN menunjukkan dua tokoh UMNO – Presidennya, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi dan Penasihat BN, Najib berjaya mengekalkan populariti mereka meskipun terpalit dakwaan rasuah.

Dalam siarannya yang lain, portal sama menyatakan, tiada seorang pun ADUN yang berpaling tadah sehingga membawa kepada jatuhnya kerajaan BN-PN, awal Oktober lalu kembali ke DUN Melaka.

Kata sahabat, ini adalah ‘karma.’

DATUK Salleh Buang pernah bertugas sebagai Peguam Persekutuan di Jabatan Peguam Negara dan Profesor Tamu di Universiti Teknologi Malaysia (UTM). Beliau kini konsultan bebas sepenuh masa, pengarang dan kolumnis akhbar.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×