Jangan terlalu ketat, jangan terlalu longgar - Utusan Malaysia

Jangan terlalu ketat, jangan terlalu longgar

WAN JUNAIDI TUANKU JAAFAR
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Dalam kesibukan Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka, diam tak diam di Sarawak juga gelombang yang sama sedang menanti masa.
Soalnya, bersediakah Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) dan Gabungan Parti Sarawak (GPS) menghadapi kemaraan pembangkang di negeri Bumi Kenyalang itu? Khabarnya, pembangkang beria-ia mahu monopoli undi anak muda 18 tahun di Sarawak nanti, jadi apa persiapan blok GPS di sana?
Berkongsi perspektif dengan Mingguan Malaysia, ialah Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-undang) yang juga anggota Majlis Tertinggi PBB, DATUK SERI WAN JUNAIDI TUANKU JAAFAR.
Selain mengulas perkembangan PRN Sarawak yang bakal berlangsung sedikit masa lagi, beliau turut menyentuh isu perundangan membabitkan kegiatan lompat parti, ketelusan dana politik serta isu Perjanjian Malaysia 1963 (MA63).
Ikuti wawancara wartawan FAHMI FAIZ , di pejabat Wan Junaidi di Parlimen, Selasa lalu.

MINGGUAN MALAYSIA: Bagaimana persediaan Sarawak menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN)?
WAN JUNAIDI: PRN Sarawak terbahagi kepada beberapa persediaan. Pertama dari sudut parti, orang yang akan bertanding dalam PRN itu nanti. Sama ada setiap parti telah bersedia atau tidak. Kedua, berhubung persediaan kerajaan. Terakhir adalah persediaan pihak Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR).

Agaknya, bila PRN Sarawak akan dibuat?
Kalau kita lihat kronologi, selepas Yang di-Pertuan Agong menarik semula darurat di Sarawak pada 3 November, selepas itu pada hari yang sama pengisytiharaan pembubaran Dewan Negeri Sarawak oleh Yang di-Pertua Negeri Sarawak, Tun Abdul Taib Mahmud.
Maknanya, dari peringkat itu kita ada 60 hari mesti diadakan PRN, itu yang penting. Mengikut Perlembagaan dan Peraturan Negeri Sarawak, itu mesti dilaksanakan. Maksudnya hujung Disember ini, mesti sudah dibuat pilihan raya. Jadi dengan sendirinya, tak perlu tanya lagi sebab ia mesti diadakan pada penghujung November atau selewatnya penghujung Disember.

Bagaimana persiapan Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) dan Gabungan Parti Sarawak (GPS) menghadapi kemaraan pembangkang yang kini jadi sebahagian daripada Kerajaan Pusat hasil rundingan MOU?
Dari sudut parti, kalau di Sarawak ini, saya dengan GPS cukup yakin. Sebab dari segi PBB itu sendiri, ia boleh dianggap tulang belakang kepada GPS. PBB ini berfungsi sepanjang masa, bukan parti yang tunggu pilihan raya semata-mata, bukan parti yang muncul hanya semasa pilihan raya. Saya selalu ditanya sepanjang beberapa penggal pilihan raya yang saya terlibat, jawapan saya mudah. Baru habis pilihan raya lepas, saya dan parti dah buat persediaan untuk pilihan raya akan datang. PBB sentiasa macam itu. Jentera kami sentiasa bersedia.

PENGUNDI 18
Ada suara nakal kata, PBB dan GPS takutkan pengundi 18 tahun dalam PRN kali ini?
Tidak semua pengundi 18 tahun akan memihak kepada pembangkang atau mana-mana blok politik tertentu. Jadi maknanya tiada satu parti yang boleh memonopoli sokongan daripada pengundi 18 tahun. Kedua dalam kawasan saya sendiri, Datuk Dr. Abdul Rahman Junaidi misalnya dan Dr. Hazland Abang Hipni, mereka kuat dengan pemuda. Perhubungan mereka sangat akrab dan intim dengan anak muda di kawasan masing-masing. Dalam keadaan sedemikian bermaksud, anak muda bukan golongan yang asing dari PBB. Jadi dalam keadaan ini, saya tidak melihat bahawa anak muda ini boleh dimonopoli oleh mana-mana pihak termasuk pembangkang.

Selaku Menteri Undang-undang yang bertanggungjawab meneliti hal pengundi 18, bagaimana persiapan kerajaan mematangkan kumpulan itu dengan kecelikan politik dan kenegaraan, sedangkan mereka cenderung berfikiran anti golongan berkuasa?
Dalam konteks sikap belia, saya ingat sikap belia ini universal bukan di Malaysia saja. Di mana-mana, sama ada di Amerika Syarikat, Eropah, Asia malah di negara Arab pun, belia memang bersikap sebegitu. Sikapnya, pertama mereka ini non-conformist. Kedua, memang anti-golongan berkuasa, memang sentiasa tak bersama mana-mana kerajaan. Ketiga, mereka bersikap kalau mahu perubahan, ia mesti berlaku dengan cepat, sangat progresif. Mereka juga lebih liberal daripada golongan konservatif. Dalam zaman moden ini, zaman komunikasi yang intrusive, mereka lebih menyerlah sebab akses kepada ilmu, maklumat, pandangan dan idea baharu, semua boleh diperoleh di hujung jari. Namun, pada saya ini tak jadi masalah sebab akhirnya mereka tetap akan berubah.

Tak berisikokah buka peluang mengundi kepada belia seawal usia 18 tahun? Mungkin mereka akan dieksploitasi oleh parti liberal?
Itu memang ada kemungkinan, tapi kalau kita lihat daripada nisbah, pada masa sekarang pun nisbahnya hanya 1.3 juta berbanding seluruh populasi yang layak mengundi. Jadi kalau kita lihat dari sudut angka, jumlah itu masih terkawal. Kedua, antara 1.3 juta itu, bukan semua anti-golongan berkuasa, bukan semua radikal dan liberal. Banyak juga konservatif, yang berpegang kepada budaya tradisional malah mungkin lebih konservatif berbanding kita.

Bila pengundi 18 tahun boleh mula memangkah?
Bila undi-18 dilulus pada 2019, perancangan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) mahu pergi ke sekolah-sekolah seluruh negara, yang pelajarnya berusia 16, 17 dan 18 tahun. Ada beribu sekolah dan universiti hendak dilawati SPR untuk memberi penjelasan tentang tugas dan tanggungjawab belia sebagai pengundi. Tapi oleh kerana keputusan hakim mahkamah di Sarawak ini mengubah semua perkara, sebab undi 18 ini sepatutnya berkuatkuasa pada 2023, bukan untuk sekarang. Jadi yang kita mahu desak sekarang, tak akan SPR sempat mahu buat persediaan? Jadi itulah kenapa, kalau Sarawak adakan PRN bulan Februari, Mac atau April 2022, kita kelam kabut berhubung dengan senarai undi semata-mata. Masalah besar yang akan dihadapi, adalah ketidakstabilan kerajaan akan berlaku, jadi mintalah mana-mana negeri kalau mahu buat pilihan raya, jangan diadakan pada awal 2022. Sebab persediaan SPR untuk mengemaskini senarai (pengundi baharu) adalah pada September 2022.

JANGAN TERLALU KETAT, JANGAN TERLALU LONGGAR
Budaya lompat parti baik atau tidak?
Apapun, saya tak mahu sebut ia sebagai budaya, sebab amalan ini baru bermula, belum jadi budaya lagi. Sebenarnya, lompat parti ini berlaku di negeri-negeri tertentu khususnya di Sabah dan Sarawak pada awal 1970-an. Pada waktu itu, ramai buat sedemikian. Pertama, mereka memulakan fenomena juga apabila bertanding guna parti bebas dalam pilihan raya. Selepas ahli bebas ini menang, mereka akan pilih mana-mana parti untuk mereka masuk. Jadi, itu hampir sama dengan amalan lompat parti seperti sekarang.
Soal lompat parti ini telah dibincangkan di peringkat antarabangsa. Saya pernah menghadiri satu perbincangan Commonwealth Parliamentary Association (CPA) tahun 2003, di New Delhi. Pada masa itu, India membawa usul yang mirip kita sekarang, tapi mereka tak guna akta antilompat parti, sebaliknya disebut the right to recall, bermaksud pengundi boleh memecat mana-mana ahli politik yang dipilih melalui undian sebelum penggal mereka tamat, atau boleh bertanding balik di satu-satu kawasan.
The right to recall ini membawa makna lebih besar lagi, bukan semata-mata soal lompat parti. Ia berkisar kepada soal pemimpin politik yang culas dalam memberi perkhidmatan kepada pengundi masing-masing. Jadi soal lompat yang pertama, yang kedua adalah soal ahli politik yang tidak berkhidmat. Saya bersama dengan empat, lima negara yang bercakap semasa persidangan itu, yang mana kami tak setuju dengan akta the right to recall itu.

Kenapa?
Ada tiga sebab. Pertama, akta sebegitu sangat memusnahkan. Kedua, ia mendorong ketidakstabilan, dan ketiga ia memakan kos tinggi. Dari sudut kemusnahan yang akan dibawa, sebab kita tak tahu siapa mahu menilai berapa peratusan pengundi dari satu-satu kawasan untuk membolehkan seseorang itu dipanggil balik untuk bertanding.
Jadi, soalan nisbah dan peratusan ini, penilaian nisbah peratusan ini siapa yang mahu buat? SPR? Sedangkan tiada dalam akta mereka sekarang untuk perkara itu. Maknanya, undang-undang kena dibuat dan dipinda, kalau perkara ini mahu diserah kepada SPR. Kalau diserah kepada pihak lain pula, timbul pula persoalan ketelusan, sebab hanya SPR saja yang boleh dipercayai sebab mereka badan bebas. Misalnya, kalau diserah kepada pihak ketiga, mereka boleh buat tinjauan, tapi hasil dapatan mungkin tak betul, bias dan sebagainya.

Maksudnya dalam konteks akta lompat parti di Malaysia, Datuk Seri tak setuju?
Secara prinsipnya, saya setuju dengan undang-undang itu sebab kalau kita menjiwai semangat perundangan, kita akan jelas bahawa jika satu-satu masyarakat itu tiada disiplin, maka undang-undang perlu diwujudkan untuk mendisiplinkan masyarakat. Itu falsafah undang-undang dari dulu. Ini kerana setiap orang tak boleh buat peraturan sendiri, kerana kalau sekadar ikut naluri, semua orang memang mahu kebebasan. Jadi kerajaan kena menguatkuasakan undang-undang. Di sini kalau kita lihat keadaan yang berlaku dalam masa dua, tiga tahun ini, jelaslah ada keperluan berkehendakkan kepada membendung ketidakstabilan politik akibat orang politik berpindah-randah ini.

Tapi bagaimana pula dengan hak ahli politik itu sendiri untuk tukar landasan jika parti sudah seleweng, misalnya tidak tunai janji manifesto atau mengkhianati Perlembagaan apabila melaksanakan dasar-dasar seperti ICERD?
Contoh yang kamu beri ini memang betul. Hakikatnya memang banyak perdebatan berhubung soalan ini. Banyak yang persoalkan, apa sebenarnya maksud lompat parti? Apakah parameter untuk istilahkan satu-satu tindakan itu sebagai melompat? Jadi soalan-soalan ini kementerian saya akan jawab dan berbincang dengan Peguam Negara, untuk menentukan supaya akta itu nanti tak terlalu membendung pihak berpolitik, maknanya tak terlalu membendung demokrasi.
Kedua, ia tidak boleh terlalu bebas sangat sehingga orang politik boleh berpindah-randah sesuka hati mereka. Mereka mesti ada halangan dan rintangan. Jadi keperluan undang-undang sebegitu memang ada, tapi parameternya adalah jangan terlalu membendung dan jangan pula bebas sangat. Macam contoh soalan kamu ini, ia memang relevan. Misalnya, ahli parti tertentu yang melihat pemimpin parti sudah lari dari landasan dan trajektori, dan pengikutnya tiada cara lain kecuali keluar ke parti lain. Jadi adakah mereka ini diistilahkan sebagai lompat parti? Sebab di sini, yang sebenarnya menyelewengkan keadaan adalah pemimpin parti itu. Jadi, ini adalah satu perkara yang sangat subjektif.

DANA POLITIK
Selepas banyak pendedahan dibuat berhubung tindakan pihak luar memayungi segelintir ahli politik, macam mana visi Kementerian untuk perkasakan akta dana politik?
Selagi kita tiada undang-undang, kita tak boleh menyibuk sangat soalan ini, sebaliknya kita kena keluarkan undang-undang, gubal dan pakai undang-undang, baru kita boleh bercakap. Selagi tiada halangan dari sudut perundangan, perkara ini masih berleluasa. Soal dana politik ini, kita kena wujudkan akta bagi mengawalnya kalau kita mahu elak perbelanjaan melampau, dan kalau mahu elak yang kaya mendominasi manakala yang miskin jadi makin teruk, maka kita kena wujudkan undang-undang mengawalnya. Juga ia penting demi mengelakkan sebarang sumbangan yang bakal membinasakan negara masuk ke dalam daripada pihak luar. Yang mana mereka ini sebenarnya bukanlah mahu memajukan demokrasi, sebaliknya untuk agenda lain yang terselit di sebaliknya.

Bermaksud Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram (AMLATFPUAA 2001) tidak cukup kuat cegah politik wang dan dana asing?
AMLA ini untuk kerja-kerja khusus sahaja, bukan untuk dana politik. Itulah sebabnya undang-undang dana politik ini penting kepada negara. Sebabnya, ia untuk mengatur dan mengawal penggunaan sumber kewangan politik. Kalau kita mahu elak politik wang, mahu elak sumbangan politik yang beragenda memusnahkan negara dari luar, kita kena ada undang-undang macam ini.

Adakah kerajaan telah mula merangka undang-undang tersebut?
Ya, itu memang salah satu daripada agenda Pusat Governans, Integriti dan Anti Rasuah Nasional (GIACC). Pihak GIACC sudah mengadakan pembentangan kepada saya, tapi oleh kerana saya sekarang sedang melaksanakan apa yang dipersetujui dengan PH di bawah MoU, maka kita kena laksanakan yang itu dulu. Jadi apa saja yang hendak dibuat itu, ia mestilah datang ke meja saya ini. Pun begitu, undang-undang sebegini walaupun bunyinya mudah, tapi sebenarnya kompleks.

PERJANJIAN MALAYSIA 1963
Apa perkembangan berhubung Perjanjian Malaysia 1963 (MA63)?
Dua perkara mesti datang bersama dalam isu MA63, iaitu pindaan terhadap Perkara 1 (2), dengan tafsiran di bawah perkara 160 (2). Dua perkara ini kena datang bersama, kalau dibuat satu saja tak mencukupi. Itulah sebabnya kenapa apabila zaman PH dibentangkan untuk meminda Perkara 1 (2), pada masa itu GPS berkecuali. Kita tidak bantah, tapi berkecuali. Kenapa tidak bantah? Sebab secara prinsipnya, kita setuju dengan pindaan yang dibuat. Tapi kita berkecuali sebab kita tak bersetuju kerana tak dimasukkan Perkara 160 (2) itu yang sepatutnya dipinda bersama.

Kenapa?
Bila Malaysia ditubuhkan dengan gabungan Sabah dan Sarawak pada 1963, Perjanjian Malaysia tiada dalam Perlembagaan. Ini sampai sekarang. Itulah sebab kita mahu Perjanjian Malaysia itu dimasukkan dalam Perlembagaan. Kamu pindalah apa benda sekalipun, kalau Perjanjian Malaysia itu tidak dimasukkan, bermakna Sabah dan Sarawak tiada dalam Perlembagaan. Saya ada bertanya dengan Hakim Negara, bilakah Hari Malaysia? Saya jawab terus, saya beritahu sebenarnya tiada istilah Hari Malaysia, sebab Perjanjian Malaysia tiada dalam Perlembagaan, jadi sebenarnya Hari Malaysia pun tiada. Tapi pada 16 September setiap tahun, kita raikan Hari Malaysia.

ARWAH ADIB
Macam mana perkembangan kes kematian arwah Adib?
Saya sudah tubuhkan jawatankuasa, ia telah dipersetujui oleh Kabinet. Yang tinggal sekarang hanyalah terma rujukan. Ini membabitkan tiga badan yang ditubuhkan, termasuk kes Allahyarham Muhammad Adib Mohd. Kassim, kes Pulau Batu Puteh dan kes buku bekas Peguam Negara, Tommy Thomas. Jadi terma rujukan itu telah dibuat, dan apabila ia lengkap nanti, mereka (ahli jawatankuasa) itu akan buat kerja. Sekarang ini agak pramatang kalau saya mengulasnya. – Mingguan Malaysia

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×