PETALING JAYA: Cadangan pelaksanaan dasar penggubalan Rang Undang-Undang (RUU) sumbangan politik perlu dibentangkan selewat-lewatnya pada sesi Parlimen Oktober ini.
Pengerusi Jawatankuasa Khas Mengenai Rasuah (JKMR), Tan Sri Rais Yatim berkata, ini kerana sidang Parlimen Oktober ini merupakan sesi terakhir pada tahun ini, memandangkan terlampau awal untuk diadakan pada sesi Julai depan.
Justeru, kata beliau, JKMR memohon supaya gerak kerja mahupun jadual dibuat dengan kadar segera bagi mengelakkan pelaksanaan akta tersebut dari terus tercicir sekiranya dibawa ke tahun hadapan.
“Macam-macam boleh berlaku tahun depan, isu Pilihan Raya Umum, jadi Parlimen tahun ini selesai bulan Oktober sebab itu terbaik draf RUU itu dibentangkan di Parlimen selewat-lewatnya Oktober.
“Jika dibawa ke tahun depan mungkin berlaku sidang Parlimen nanti lewat lagi, maka draf ini mungkin tercicir dan tidak selari dengan akta-akta transformasi Parlimen yang kita mahu buat.
“Jadi kami berharap jawatankuasa penggubalan terdiri daripada pelbagai pihak yang diwakili parti politik utama dan diawasi Peguam Negara,” katanya ketika dihubungi Mingguan Malaysia, semalam.
Kelmarin, media melaporkan, Jawatankuasa Khas Kabinet Mengenai AntiRasuah (JKKMAR) secara dasarnya bersetuju dengan cadangan pelaksanaan dasar penggubalan RUU sumbangan politik.
Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, keputusan itu dibuat dalam mesyuarat yang dipengerusikan beliau dan ia perlu dibawa untuk perbincangan dalam Kabinet sebelum sesi libat urus dengan parti-parti politik.
Dalam pada itu, Rais mengucapkan tahniah kepada JKKMAR yang bersetuju dengan cadangan melaksanakan akta Sumbangan Politik tersebut.
Katanya, ini kerana usul itu sudah dibuat semenjak 20 tahun lalu dan tidak pernah mendapat perhatian serius, cuma selalu menjadi buah butir ungkapan serta cakap politik.
Sementara itu, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang), Datuk Seri Dr. Wan Junaidi Tuanku Jaafar berkata, proses menggubal undang-undang sumbangan politik memerlukan kajian mendalam dan tidak boleh tergesa-gesa memandang perkara itu masih baharu di negara ini.
Beliau menyifatkan undang-undang itu satu perkara positif untuk memantau pembiayaan sumbangan dana politik yang akhirnya boleh dimanipulasi oleh pihak tertentu.
Jelasnya, terdapat 10 negara untuk melaksanakan undang-undang tersebut dan bertitik tolak daripada itu, kerajaan mahu menggubal undang-undang berkenaan.
“Secara asasnya, kita perlu kajian di peringkat dasar dan peruntukkan undang-undang bagi penggubalan undang-undang ini. Meskipun ada pihak mahu disegerakan, tetapi kita tidak boleh tergesa-gesa dalam soal ini,” katanya. – UTUSAN










