Masa depan pemimpin digital - Utusan Malaysia

Masa depan pemimpin digital

SEBELUM diperkenalkan Facebook, Kodak telah pun membangunkan sebuah platform untuk berkongsi foto pada 2001 dinamakan Ofoto tetapi tidak berjaya. – AFP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ARTIKEL saya kali ini menyentuh soal pemimpin digital. Apa yang dimaksudkan dengan pemimpin digital? Untuk menjelaskan perkara ini, saya merujuk kepada tulisan Scott D. Anthony bertajuk Kodak’s Downfall Wasn’t About Technology dalam Harvard Business Review bertarikh 15 Julai 2016.

Suatu ketika dahulu, Kodak merupakan syarikat besar dan perniagaan utama mereka ialah menjual filem ke seluruh dunia. Tapi kini kita tidak nampak lagi syarikat Kodak.

Mengapa ini berlaku? Menurut Scott, ketika Kodak berada di puncak kegemilangan, mereka tidak dapat menerima pandangan orang lain mengenai kemunculan teknologi digital.

Sebenarnya, kamera digital pertama dicipta oleh Steven Sasson pada 1975. Beliau merupakan seorang jurutera yang berkhidmat dengan Kodak. Kamera ciptaannya pada ketika itu agak besar dan mengambil masa kira-kira 20 saat untuk merakam satu-satu gambar atau imej. Kualiti gambar yang dirakam juga tidak begitu bagus.

Menurut Sasson dalam The New York Time, beliau disindir oleh pihak pengurusan ketika itu. Pihak pengurusan berkata: “Ia comel dan jangan beritahu sesiapa pun mengenainya.” Tetapi hari ini, kamera ciptaan Sasson melenyapkan penggunaan filem di seluruh dunia dan syarikat Kodak telah gulung tikar.

Sebenarnya, sebelum Mark Zuckerberg memperkenalkan Facebook (FB), Kodak telah pun membangunkan sebuah platform untuk berkongsi foto pada 2001 dinamakan Ofoto tetapi tidak berjaya.

Ini berbeza dengan pendekatan diambil oleh FB. FB bukan hanya boleh berkongsi foto semata-mata tetapi juga berkongsi video, pengalaman, aktiviti, kisah suka duka serta lain-lain. Akhirnya, pendekatan yang diambil oleh FB menyebabkan ia berjaya mencatat keuntungan AS$25 juta (RM104.4 juta) pada April 2012.

FB seterusnya mengembangkan sayap mereka dengan membeli Instagram pada harga AS$1bilion (RM4.18 bilion) yang kini menjadi platform paling popular di dunia untuk berkongsi foto dan video.

Jika kita lihat daripada dua kisah ini, perbezaan antara kedua-duanya adalah dari segi kualiti pemimpin. FB mempunyai pemimpin berpandangan digital yang jauh ke hadapan dan berani melabur serta mengambil risiko.

Menurut Scott, pengajaran yang boleh diambil daripada peristiwa ini ialah Kodak mencipta teknologi digital kamera tetapi mereka tidak dapat memahami perkongsian gambar foto secara dalam talian merupakan satu cara hidup baharu dan amat menguntungkan.

Begitu juga Nokia yang suatu ketika merupakan syarikat pengeluar telefon terbesar di dunia tetapi tidak pada hari ini. Banyak kajian mengenainya dilakukan.

Antaranya oleh Tuomo Peltonen dari Universiti Aalto, Finland bertajuk Case Study 4: The Collapse of Nokia’s Mobile Phone Business: Wisdom and Stupidity in Strategic Decision Making dalam buku Towards Wise Management. Selain itu, makalah bertajuk Failure of Nokia: Lesson from loser ditulis oleh Ashok Panigrahi dan Vijay Joshi dalam buku Emerging Issues in Business Management dan banyak lagi.

Secara ringkasnya, kejatuhan Nokia kerana ketika berada di puncak kegemilangan, mereka tidak menerima pendapat tentang kemunculan telefon pintar. Seorang pekerja Nokia dalam bidang etnografi teknologi membuat kajian bagaimana teknologi boleh mempengaruhi masyarakat setempat.

SAMPEL

Beliau tinggal bersama masyarakat di China, menjadi peniaga jalanan, sentiasa berada di kafe siber dan berbual dengan orang muda. Akhirnya, beliau mendapati akan berlaku perubahan besar dalam teknologi telefon bimbit apabila telefon pintar menggantikan telefon Nokia sedia ada.

Kajian ini dibentangkan kepada pihak pengurusan. Malangnya ditolak kerana beliau hanya mempunyai sampel mengandungi 100 data sedangkan Nokia juga membuat kajian sama dan mempunyai saiz data berjuta-juta. Akhirnya, pada 2009 Nokia terpaksa memberhentikan beribu-ribu pekerjanya.

Jadi, di sini kita dapat lihat bahawa pemimpin ialah faktor terpenting dalam menentukan jatuh bangun sesebuah syarikat. Data yang dimiliki oleh Nokia sebenarnya merupakan data persepsi sahaja.

Pada era digital ini, untuk memberi cadangan mengenai teknologi baharu bukanlah mudah. Besar kemungkinan idea mereka itu bukan sahaja ditolak tetapi akan disindir.

Idea baharu itu akan dicari seribu satu kekurangan sebagai asas untuk menolaknya. Alasan utama yang selalu digunakan ialah dari segi kos.

Saya masih ingat sekitar 1980-an apabila komputer mula diperkenalkan, ramai yang menolak penggunaannya waktu itu. Ada menyatakan menaip dengan mesin taip adalah lebih cepat. Tapi hari ini kita boleh saksikan sendiri hampir tidak ada orang yang menggunakan mesin taip lagi.

Begitu juga penggunaan buku maya atau e-book berbanding buku fizikal. Dalam beberapa tahun nanti atau generasi akan datang, besar kemungkinan mereka tidak lagi menggunakan buku fizikal kerana untuk menyimpan memerlukan ruang atau bilik khas di samping kos lebih tinggi berbanding membeli e-book.

Selepas penggunaan e-book, teknologi terus berkembang untuk memperkenalkan buku audio. Dalam kesibukan masa, masyarakat akan datang lebih memilih untuk ‘mendengar’ berbanding membaca buku.

Seperti mana sebelum ini, kita hanya faham perkataan mendengar radio. Kalau ada yang berkata menonton radio waktu itu mungkin dikatakan tidak siuman tetapi kini kita boleh menonton radio secara langsung dalam talian.

Pemimpin digital ialah pemimpin yang mampu memandang jauh ke hadapan. Mereka sentiasa memikirkan apakah teknologi terkini yang boleh dijadikan medium agar misi dan visi organisasi tercapai. Bagi sektor bukan kerajaan, isu kelangsungan hidup mereka adalah penting.

Faktor utama pemimpin era digital ialah kemampuan untuk menjana pendapatan. Tanpa kepintaran ini, besar kemungkinan syarikat, institusi atau organisasi yang mereka terajui tidak dapat bertahan lama akibat masalah kewangan.

Akhir sekali, saya ingin memetik kata-kata Bediuzzama Said Nursi mengenai pemimpin: “Wahai diri yang tertipu, terpesona pada keagungan, terpikat pada kemasyhuran, menagihkan pujian dan egois tiada tandingan. Tugas anda bukanlah untuk memuliakan perbuatan diri sendiri tetapi untuk bersyukur. Perkara yang sesuai untuk anda bukanlah kemasyhuran tetapi kerendahan hati. Hak anda bukanlah pujian tetapi kembali dan mencari keampunan. Kesempurnaan anda tidak terletak pada egois tetapi menyedari kewujudan Tuhan.”

NOR Azaruddin Husni Nuruddin ialah Felow Kanan Institut Kefahaman Islam Malaysia (IKIM).

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×