Lewat Jumaat ‘diboikot’ malaikat - Utusan Malaysia

Lewat Jumaat ‘diboikot’ malaikat

KINI masa datangnya majoriti jemaah solat Jumaat sudah kembali seperti asal sebelum dilanda Covid-19 iaitu ketika azan kedua dikumandangkan atau ngam-ngam ketika imam di rakaat kedua solat. – UTUSAN/ZULFADHLI ZAKI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ALHAMDULILLAH, negara kita sudah mencapai imuniti kelompok dalam berhadapan wabak Covid-19. Dalam masa sama, tindakan memberi vaksin penggalak juga sedang giat dijalankan dalam usaha mencegah penyebaran Covid-19.

Begitu juga, masjid-masjid yang suatu ketika dahulu dihadkan bilangan jemaah solat Jumaat dan solat fardu, kini sudah beransur-ansur ditambah bilangannya.

Di Wilayah Persekutuan misalnya, kapasiti jemaah bagi solat Jumaat dan fardu adalah mengikut kapasiti saiz masjid dengan pematuhan prosedur operasi standard (SOP) antaranya penjarakan fizikal satu meter sejak 30 September lalu.

Selangor juga menyusul sejak 31 Oktober lalu. Kini masjid-masjid di negeri itu boleh diisi dengan jemaah lebih ramai. Masjid Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah, Shah Alam sebagai contoh, boleh menerima sehingga 3,500 jemaah berbanding 2,000 orang sebelum ini.

Masjid-masjid daerah pula dinaikkan kepada antara 700 hingga 1,000 jemaah bergantung kepada jumlah kapasiti masing-masing. Masjid-masjid institusi pula ditambah antara 500 hingga 1,200 jemaah, manakala masjid pengurusan antara 400 hingga 700 orang.

Apa yang mendukacitakan, masjid-masjid masih dikunjungi orang dan jemaah sama. Tidak ada peningkatan ketara kedatangan jemaah baharu terutama dalam solat fardu lima waktu.

Yang hadir solat Jumaat pun kini ramai yang mula datang lambat. Tidak seperti dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dahulu. Semasa PKP, ramai yang menunggu di masjid seawal pintu masuknya dibuka. Ada yang mula dibuka seawal 11.30 pagi dan ada mulai 12 tengah hari.

NGAM-NGAM

Nampaknya kini, masa datangnya majoriti jemaah sudah kembali seperti asal. Sebagaimana sebelum dilanda pandemik Covid-19. Ada yang tiba di masjid ketika azan kedua. Ada juga yang datang ngam-ngam ketika imam di rakaat kedua solat.

Dengan nikmat berjemaah yang dikurniakan Allah sekarang, sudah ada yang lupa untuk menghargainya. Walhal suatu ketika dahulu, ramai yang merayu supaya bilangan jemaah solat jemaah dinaikkan. Malah, ramai juga yang sanggup berdiri tengah panas untuk memastikan dapat masuk masjid ketika bilangan jemaah dihadkan 50 atau 100 orang.

Antara ciri khas manusia yang sering diulang-ulang di dalam al-Quran adalah sifat pelupa. Memang kita mudah lupa. Lupa kita pernah ditarik nikmat untuk solat berjemaah di masjid dan surau masa PKP.

Apabila sudah bebas untuk solat jemaah di masjid, kita tidak ambil peluang. Sebaliknya ramai yang disibukkan atau menyibukkan diri dengan hal-hal dunia yang tidak ada pengakhirannya.

Tentu kita sama-sama tahu sebab yang mengeluarkan bapa kita, Nabi Adam a.s dari surga adalah lupa. Ini dijelaskan menerusi firman Allah SWT yang bermaksud: Dan sesungguhnya telah Kami perintahkan kepada Adam dahulu, maka ia lupa (akan perintah itu), dan tidak Kami dapati padanya kemauan yang kuat. (Taha: 115).

Bapa kita diciptakan dengan sifat lupa, demikian juga kita sebagai anaknya.

Dalam hal ini, Nabi SAW bersabda yang bermaksud: Adam mengingkari, maka anak cucunya pun mengingkari. Adam dijadikan lupa, maka anak cucunya dijadikan lupa; dan Adam berbuat salah, maka anak cucunya berbuat salah. (Riwayat Tirmidzi)

Begitulah manusia memiliki tabiat pelupa. Bahkan ada yang menyebutkan manusia disebut insan, kerana sifat nisyan (pelupa) yang melekat padanya.
Kehadiran lebih awal untuk solat Jumaat sangat diutamakan. Sebabnya ada malaikat yang mencatatkan kehadiran kita ketika itu.

MALAIKAT MENCATAT

Mereka menulis kedatangan setiap orang. Ia bermula daripada orang yang mula tiba hinggalah waktu imam naik mimbar membaca khutbah. Ketika itu malaikat berhenti menulis, lalu melipat surat catatan mereka dan datang mendengar khatib membaca khutbah.

Ini bermakna orang yang datang selepas imam naik mimbar tidak tercatat antara yang mendapat fadilat susunan kehadiran walaupun mendapat fadilat solat Jumaat.

Ini dijelaskan sabda Nabi SAW yang bermaksud: Apabila tiba Jumaat, ada pada tiap-tiap pintu masjid – malaikat yang ditugaskan menulis orang yang datang sembahyang Jumaat seorang demi seorang; kemudian apabila imam duduk di atas mimbar, malaikat itu melipat lembaran surat yang ditulisnya serta mereka datang mendengar khutbah. (Riwayat Bukhari)

MIMBAR

Sepatutnya, umat Islam memanfaatkan peluang dan waktu keluar pejabat awal hari Jumaat untuk datang awal ke masjid. Bukannya ibarat melepas batuk di tangga. Datang ketika imam sudah naik mimbar atau bilal sudah iqamat.

Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: Sebaik-baik saf barisan lelaki adalah yang paling depan, dan yang terburuk ialah yang paling belakang… (Riwayat Muslim)
Apabila sampai awal, banyak amalan sunat yang boleh kita lalukan pada hari Jumaat. Antaranya, membaca surah al-Kahfi.

Membaca surah al-Kahfi antara surah yang menjadi pilihan kerana mempunyai pelbagai kelebihan. Antaranya dapat menghindarkan diri kita daripada fitnah dajjal dan pelbagai lagi.

Nabi SAW bersabda: Sesiapa yang membaca surah al-Kahfi pada hari Jumaat, nescaya akan diterangkannya dengan satu cahaya di antara dua Jumaat. (Riwayat al-Nasaei)

Kedua, berselawat.

Setiap kali khutbah Jumaat, khatib akan mengingatkan jemaah agar berselawat ke atas Nabi SAW. Ini kerana ada kelebihan berselawat dan juga tanda kecintaan kita kepada baginda. Selain itu, dengan membanyakkan selawat kita berharap akan beroleh syafaat baginda di akhirat kelak.

Rasulullah SAW bersabda: Perbanyakkanlah membaca selawat padaku pada malam dan hari Jumaat, maka siapa yang membaca selawat untukku satu kali, Allah akan berselawat kepadanya 10 kali (Allah akan memberinya rahmat 10 kali). (Riwayat Al-Baihaqi)

Ketiga, perbanyakkan zikir dan doa.

Pada hari Jumaat terdapat waktu mustajab berdoa. Ini menurut pendapat majoriti ulama iaitu makbulnya doa yang dibaca di antara dua khutbah, iaitu ketika imam sedang duduk antara khutbah pertama dan khutbah kedua.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×