KUALA TERENGGANU: Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) hari ini kecoh apabila Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) UMNO lantang menyuarakan kerisauan tentang perpaduan Melayu-Islam di negeri ini yang bakal rapuh kembali susulan Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka.
Nawi Mohamad (BN-Hulu Besut) berkata, kerisauan itu berasas kerana tidak mahu kejadian solat berjemaah secara berasingan mahu pun kes dua imam mengetuai ibadah solat yang pernah berlaku dalam kalangan pengikut UMNO-Pas suatu ketika dahulu berulang lagi.
Katanya, keputusan Pas menyokong Perikatan Nasional (PN) dalam PRN Melaka jelas membuktikan muafakat yang terjalin antara parti itu dengan UMNO sudah terlerai.
“Pas mengkhianati perpaduan yang dibina menerusi Muafakat Nasional (MN), sedangkan sebelum ini dia yang mengajak orang Melayu-Islam bersatu, tetapi sampai masa tiba-tiba sudah tidak mahu berpakat molek.
“Jadi saya bimbang kejadian solat berasingan yang pernah berlaku di Terengganu semasa pentadbiran Barisan Nasional (BN) berulang kerana situasi itu sudah berjaya diatasi selepas Pas-UMNO bermuafakat, malah sesama kita tidak lagi berbalah demi perpaduan,” katanya ketika membahaskan Belanjawan Terengganu 2022 dalam Persidangan DUN di sini hari ini.
Kenyataan Nawi itu, bagaimanapun disanggah kalangan ADUN Pas termasuk Hishamuddin Abdul Karim (Tepuh), Muhammad Khalil Abdul Hadi (Batu Buruk), Ahmad Shah Muhamed (Bandar) dan Maliaman Kassim (Ajil).
Hishamuddin meminta Nawi memperhalusi isi kandungan piagam MN sebelum menuduh Pas melupakan perpaduan yang dibina.
Keadaan bertambah panas apabila Datuk Seri Ahmad Said (BN-Kijal) bangun mengungkit sejarah Pas ‘menyembelih’ parti sendiri menerusi undi tidak percaya semasa menerajui pentadbiran negeri pada 1961.
Bagaimanapun, keadaan kembali reda apabila Yang Dipertua DUN, Datuk Yahaya Ali meminta semua ADUN bertenang dan mengikut perintah-perintah tetap dewan. -UTUSAN ONLINE











