Kaji Selidik Kesihatan dan Morbiditi Kebangsaan melaporkan peningkatan dalam prevalen diabetes, menjejaskan satu daripada lima orang dewasa di negara ini.
Ketua Pengarah Kesihatan, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), Tan Sri Dr. Noor Hisham Abdullah, berkata pendekatan holistik dalam pencegahan dan pengurusan penyakit untuk membanteras diabetes perlu menjadi penekanan.
Katanya, kerajaan peka mengenai isu ini, dan merangka strategi dalam Rancangan Malaysia Ke-12 bagi meningkatkan usaha memerangi penyakit tidak berjangkit seperti diabetes, serangan jantung dan kanser.
“Dengan membangunkan program kesedaran serta usaha saringan di samping inisiatif dan dasar peringkat makro, kementerian berharap dasar lain seperti lanjutan cukai gula diumumkan dalam Bajet 2022 dapat membantu rakyat menguruskan pengambilan tinggi minuman manis buat masa ini dengan lebih baik, ” katanya.
Beliau berkata demikian dalam ucapan Forum Media sempena Hari Diabetes Sedunia 2021 baru-baru ini.
Forum bertemakan ‘Akses kepada Penjagaan Diabetes Seabad Sejak Penemuan Insulin’ dianjurkan oleh Novo Nordisk bersama Unit Penyakit Tidak Berjangkit (NCD) dari Jabatan Kawalan Penyakit, KKM.
Sementara itu Timbalan Pengarah (Penyakit Tidak Berjangkit) KKM, Dr. Feisul Idzwan Mustapha, berkata kerjasama daripada pelbagai pihak, penting untuk mengurangkan risiko penyakit tidak berjangkit dalam kalangan rakyat tempatan.
Katanya, kerajaan akan terus menggiatkan usaha membangunkan program untuk mendidik orang ramai mengenai pencegahan, penjagaan dan pengurusan diabetes.
“Bagi mencapai matlamat ini, kami juga berusaha untuk membangun dan menerapkan kesihatan digital sebagai pemangkin perubahan tingkah laku untuk mengurangkan pendedahan populasi berisiko kepada faktor-faktor risiko penyakit tidak berjangkit. Kami akan terus menggiatkan usaha membangunkan program mendidik orang ramai mengenai pencegahan, penjagaan dan pengurusan diabetes,” katanya.
Menyentuh tentang masa hadapan pengurusan diabetes, Pakar Perunding dan Ketua Perkhidmatan Sub-Kepakaran Endokrinologi KKM Datuk Dr. Zanariah berkata, beliau teruja untuk melihat perkembangan membolehkan doktor memberi penjagaan lebih baik kepada pesakit diabetes.
“Kita telah melangkah jauh sejak penemuan insulin tetapi rawatan dan pengurusan diabetes akan menghadapi cabaran berbeza, terutamanya dalam dunia pasca pandemik ini.
“Dengan pendekatan bersepadu dalam penjagaan, serta peningkatan dalam penggunaan teknologi digital dalam konsultasi dengan pesakit, diharapkan lebih banyak perkembangan dapat dilihat,” katanya.









