PILIHAN raya negeri (PRN) Melaka adalah satu eksperimen. Begitulah pendapat penganalisis politik, Profesor Dr. Sivamurugan Pandian. Saya setuju. Sama-samalah kita lihat sama ada eksperimen pada Sabtu ini akan membuahkan hasil yang baik seperti diimpikan.
Saiz Melaka kecil sahaja. Ia tidak sama saiz dengan Kedah. Kedua-dua negeri sama-sama jadi sebutan dalam buku sejarah tetapi bagi pelancong luar negara, Melaka lebih popular, lebih terkenal.
Di Melaka dahulu ada sawah padi seperti Kedah, tapi kini dah tak banyak yang tinggal. Menariknya, Melaka masih ada beca (sama seperti Pulau Pinang) tapi di Kedah, ia tidak kelihatan lagi.
Di Kedah, Menteri Besarnya kebelakangan ini sering kali bertukar, akibat fenomena ‘katak lompat’ dan tempias ‘Langkah Sheraton’ (ada pak tua di sini menggelarnya ‘Langkah Setan.’) Di Melaka pun kita lihat sendiri ada tiga Ketua Menteri dalam tempoh tiga tahun lalu.
Soalnya, apakah selepas 20 November ini, kerajaan baharu Melaka akan menjadi lebih stabil? Seorang sahabat berkata, tidak ada jaminan satu parti politik akan mendominasi Dewan Undangan Negeri (DUN) Melaka pada masa depan. Sekiranya ada gabungan antara dua atau tiga parti untuk membentuk kerajaan negeri, tidak mustahil kerajaan yang memerintah akan tumbang (atau ditumbangkan) pada masa depan disebabkan negara belum ada lagi undang-undang antilompat pada masa ini.
Kita difahamkan, pengundi berdaftar di negeri itu hanyalah 495,196 orang, di mana 51 peratus adalah wanita. Malangnya, daripada jumlah calon yang bertanding (112 orang), 96 adalah lelaki. Apakah pemimpin-pemimpin parti kita masih berpendirian calon wanita tidak sehebat calon lelaki? Apabila proses pilihan raya ini nanti selesai, berapa ramaikah calon wanita yang akan menduduki 28 kerusi dipertandingkan?
Kita pernah ada Hakim Besar wanita, Peguam Negara wanita, kini kita ada Ketua Hakim Negara wanita dan Gabenor Bank Negara wanita, tapi masih belum ada Menteri Besar atau Ketua Menteri wanita.
BN BERTANDING SOLO
Menarik sekali, Pengarah Pilihan Raya Barisan Nasional (BN) Melaka, Datuk Seri Mohamad Hasan memberitahu media, BN bertanding solo (tanpa bergabung dengan mana-mana parti lain) dan menggunakan logo sendiri. Beliau menegaskan: “Tidak ada lagi persoalan sama ada nak bersama dengan siapa-siapa.”
Oleh yang demikian, UMNO meletakkan 20 calon, MCA tujuh calon dan MIC satu calon untuk merebut semua 28 kerusi DUN dipertandingkan.
PN BERTANDING SEMUA 28 KERUSI
Bercakap kepada orang ramai di Tangkak, Johor pada 22 Oktober lalu, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, Perikatan Nasional (PN) mengenal pasti calon di kesemua 28 kerusi DUN termasuk calon Ketua Menteri dalam PRN Melaka. Calon-calon tersebut melibatkan wakil daripada Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Pas dan Gerakan.
Beliau menjelaskan, keputusan itu dibuat setelah mendengar keputusan UMNO yang enggan bekerjasama dengan PN. Tambahnya: “Kita bersedia hadapi apa sahaja bentuk pertandingan sama ada secara dua, tiga atau empat penjuru. Ia tidak menjadi masalah bagi kita.”
Mengikut sebuah portal berita, Bersatu meletakkan 15 calon manakala Pas lapan calon dan Gerakan lima calon. Hampir separuh (43 peratus) terdiri daripada mereka yang berusia 40 tahun ke bawah, sebahagian besarnya golongan profesional dan berpendidikan tinggi.
PARTI BUNUH DIRI?
Antara komen paling menarik mengenai PRN Melaka yang saya temui di alam maya adalah pandangan Khairuddin Othman: “UMNO bakal bunuh diri di PRN Melaka” yang disiarkan dalam sebuah portal berita. Menurut bekas wartawan itu lagi, PRN Melaka tidak perlu (selain menyusahkan rakyat Melaka) kerana yang menumbangkan kerajaan negeri adalah pemimpin UMNO sendiri dengan bantuan Pakatan Harapan (PH).
Tambahnya lagi, jika UMNO mahu menang dalam PRN ini dan kembali memerintah, ia tidak boleh bertanding sendirian tanpa kerjasama Pas dan Bersatu. Keengganan UMNO bekerjasama dengan Bersatu dan Pas pada PRN Melaka ini akan memberi peluang kepada PH memenanginya. Beliau menasihatkan pemimpin UMNO tidak boleh lagi salah langkah. Jika tersungkur di DUN Melaka, ia menjadi petanda terkuburnya UMNO pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15).
PROSPEK MENANG PH
Bagi Liew Chin Tong (bekas Timbalan Menteri Pertahanan), PRN Melaka merupakan satu cabaran besar untuk PH yang terpaksa berdepan dengan isu duri dalam daging, iaitu menentukan logo mana yang digunakan. Langkah terbaik adalah menggunakan logo PH, tetapi tidak mustahil PKR mahu menguji penggunaan logonya sendiri.
Tambahnya lagi, sekiranya gabungan PH bersatu di bawah logo PH, pengundi Melaka akan melihatnya sebagai satu pasukan yang bersatu padu, berkesinambungan dan meyakinkan sehingga PRU-15.
PEJUANG TIDAK BERTANDING
Ramai sahabat tertanya-tanya, kenapa Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang) tidak bertanding dalam PRN Melaka ini? Mengikut sebuah portal berita, Pengerusi Pejuang, Tun Dr. Mahathir Mohamad menyifatkan PRN Melaka sebagai satu mainan politik pihak tertentu.
Selain itu, beliau juga mengambil kira faktor keselamatan kerana negara masih berdepan pandemik Covid-19 dan oleh yang demikian, sekarang bukan masa terbaik mengadakan pilihan raya.
Kepada rakyat Melaka, saya ucapkan selamat mengundi. Pilihlah pemimpin yang jujur, ikhlas dan komited memelihara kepentingan rakyat negeri anda.
DATUK Salleh Buang pernah bertugas sebagai Peguam Persekutuan di Jabatan Peguam Negara dan Profesor Tamu di Universiti Teknologi Malaysia (UTM). Beliau kini konsultan bebas sepenuh masa, pengarang dan kolumnis akhbar.










