Gara-gara pandemik, Narong berkarya di perantauan - Utusan Malaysia

Gara-gara pandemik, Narong berkarya di perantauan

Narong Daun bergambar dengan hasil batik suteranya yang bermotif lukisan burung enggang. – UTUSAN/COWEN LINCH
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Terkandas di Jerman dan tidak dapat kembali ke Malaysia susulan sekatan perjalanan berikutan pandemik Covid-19 tidak menghalang seorang pelukis kelahiran Sarawak, Narong Daun aktif berkarya di sana.

Pelukis berusia 51 tahun itu berkata, sejak tiba di Hamberg, Jerman pada Februari tahun lalu bersama suaminya warga negara Jerman, beliau telahpun menyiapkan beberapa keping lukisan batik sutera yang ingin dibawa balik ke Kuching apabila sekatan perjalanan antarabangsa dibenarkan.

Wanita suku kaum Bidayuh dari Kampung Garung di daerah Padawan, 45 kilometer dari bandaraya Kuching memang sudah terkenal dengan hasil lukisan batik suteranya dan melalui lukisannya juga dia bertemu jodoh dengan peminat seni dari Jerman.

“Suami saya merupakan salah seorang peminat dan pembeli hasil lukisan saya. Kami mula berkenalan ketika dia datang ke galeri saya di Kuching beberapa tahun lalu,” kata Narong kepada Utusan Malaysia menerusi panggilan video.

Selepas perkahwinan mereka pada awal tahun lalu, Narong mengikut suaminya pulang ke Hamberg, Jerman tanpa mengetahui bahawa dia akan terkandas di sana kerana wabak Covid-19.

“Nasib baik saya membawa beberapa helaian kain sutera dan peralatan menulis dari Kuching serta beberapa peralatan lain yang saya beli di sini (Hamburg) yang membolehkan saya selama lebih daripada satu tahun di Jerman menyiapkan beberapa keping lukisan batik kain sutera dan setakat ini saya telah menyelesaikan 15 helaian yang saya akan bawa pulang ke Kuching untuk dijual nanti,” tambah Narong.

LUKISAN BATIK
Menurut Narong, beliau dapat menyiapkan setiap helai lukisan batik kain sutera dalam masa tiga atau empat minggu, bergantung pada ukurannya.

“Saya biasanya suka berjalan-jalan melihat pemandangan persekitaran yang indah, mendaki gunung, mengunjungi galeri seni dan tempat-tempat menarik seperti muzium di sini, tetapi disebabkan wabak Covid-19 saya mempunyai lebih banyak masa di rumah untuk membuat lukisan batik kain sutera, selain kerja rumah biasa,” katanya.

Dua jenis lukisan bermotif Sarawak ini amat mengagumkan.

Narong berkata, beliau mendapat inspirasi daripada flora dan fauna hutan hujan Borneo yang menakjubkan, menggunakan seni sebagai alat untuk berkongsi cintanya terhadap alam semula jadi dan menyokong pemuliharaannya.

Gaya unik menjadikannya salah seorang pelukis Sarawak yang paling produktif apabila pameran solo dan gabungannya mendapat sambutan yang sangat baik dan karya-karyanya telah dipamerkan di banyak galeri dan kediaman di Malaysia, Thailand, India, Australia dan Hawaii.

Narong berkata minatnya terhadap seni dan alam dapat dilihat dalam karyanya di mana dia telah mengembangkan tekniknya sendiri dan telah mencipta karya yang indah dan rumit.

Beliau juga mempunyai teknik yang indah ketika menyatukan warna dan mahu karyanya dilihat positif dan cerah.

Karya seninya memperlihatkan pelbagai tekstur, garis, bentuk dan warna. Dia juga cenderung menghasilkan karya media campuran.

Subjeknya berkisar dari heliconias, burung enggang, dan anggrek yang padat dengan artefak Borneo seperti motif asli Orang Ulu.

“Saya bersyukur kerana Tuhan telah memberikan saya bakat sebagai pelukis,” katanya.
Setelah menamatkan pendidikan Tingkatan 6, Narong melakukan pekerjaan-am di tempat yang berbeza dari tahun 1992 hingga 1996 dan pada masa yang sama aktif melukis dari rumah pada waktu lapang dan pada waktu malam.

DAPAT PERHATIAN
Katanya dari tahun 1997 hingga 1998 beliau bekerja dengan sebuah kedai membekal peralatan lukisan di Kuching, iaitu Syarikat Fabriko sebagai pembantu kedai dan pada waktu malam dia aktif melakukan lukisan batik dari rumah dan mulai menjualnya kepada rakan dan kedai di sekitar Kuching.

Karya-karyanya mendapat perhatian beberapa wartawan di Kuching dan tulisan mereka yang menampilkan lukisan batiknya menarik perhatian syarikat yang menawarkan Narong untuk bergabung dengan mereka sebagai pelukis batik.

“Selama 18 bulan bersama Fabriko, saya menghabiskan lebih banyak masa untuk membuat lukisan untuk dijual di kedai berkenaan,” katanya.

Pada tahun 1998 dia diperkenalkan kepada Ramsay Ong, seorang pelukis terkenal Malaysia dan pemilik
Galeri seni ARTrageously Ramsay Ong oleh seorang wanita Amerika Maxine Forringer yang mengagumi lukisannya.

“Saya mula bekerja di ARTrageously Ramsay Ong Gallery sebagai artis residen pada bulan Jun 2000 dan dengan Ramsay Ong sebagai mentor saya, beliau membantu menggilap bakat saya, meningkatkan kemahiran dan teknik melukis saya dan juga membina keyakinan saya.

“Selepas satu tahun di Galeri ARTrageously Ramsay Ong, saya berjaya menghasilkan beberapa lukisan mengenai budaya dan alam Sarawak (flora dan fauna) yang dibeli oleh Thomas Molnit dari Singapura dan Hugo Widnes dari Switzerland semasa pameran solo pertama saya Silk Dreams di Galeri ARTrageously Ramsay Ong, Kuching pada 2001,” kata Narong.

Sukar mengingati angka tepat, tetapi ratusan karya lukisan batik suteranya kebanyakkannya dibeli oleh orang ternama, individu dan organisasi dari Malaysia dan luar negara.

Antara insan kenamaan pernah membeli catannya ialah Datin Seri Endon Mohmood, iaitu isteri bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi, Datin Seri Judith Ling dan Puan Seri Tiara Jacquelina.

Pembelinya juga datang dari seantero dunia, antaranya Jerman, Amerika Syarikat dan Brunei.
Lukisan indah Narong, dijual pada harga antara RM1,200 hingga RM25,000 bergantung pada saiz.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×