Rupanya masih ada masyarakat Melayu yang masih percaya kepada hal karut marut termasuk mempercayai bomoh dalam era zaman moden dan teknologi maklumat dan komunikasi (ICT).
Ia apabila hal itu disebut dalam penghakiman kes menyebabkan kematian tanpa niat Pegawai Kadet Laut Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM), Zulfarhan Osman Zulkarnain, empat tahun lalu di Mahkamah Tinggi, Selasa lalu.
Hakim Datuk Azman Abdullah dalam penghakimannya turut menyentuh rentetan kejadian sebelum Zulfarhan meninggal dunia yang bermula dengan kehilangan komputer riba tertuduh pertama yang kemudiannya membawa kepada ramalan seorang bomoh bahawa mangsa yang mencurinya.
Dengan kata lain, percayakan ramalan bomoh tersebut ‘membawa’ kepada kematian Zulfarhan akibat dibuli.
Ketika membacakan keputusannya beliau menyatakan, tiada siapa dapat membuktikan bahawa Zulfarhan mencuri komputer riba tersebut ketika mangsa dipukul beramai-ramai.
Mengikut Kamus Dewan Bahasa dan Pustaka, bomoh adalah perubatan secara tradisional atau cara kampung dan jampi-jampi. Berbomoh pula adalah menggunakan khidmat bomoh, pawang atau dukun untuk berubat, menyihir atau mencelakakan orang.
Apa yang mendukacitakan masih terdapat dalam kalangan masyarakat Islam, apabila menghadapi sesuatu masalah atau sesuatu penyakit ganjil akan pergi berjumpa bomoh yang kononnya boleh merawat penyakit berkenaan dengan cara jampi-jampian.
Amalan perbomohan dianggap dapat membantu menyelesaikan pelbagai masalah kehidupan seperti merawat penyakit, mendapatkan barang hilang, inginkan pangkat dan kedudukan, digeruni dan nampak hebat, nampak cantik, ilmu penunduk isteri atau suami dan bermacam-macam lagi.
Sedarkah kita, semua itu adalah perbuatan yang dilarang dan boleh menyebabkan syirik yang tidak diampun Allah SWT.
Sabda Rasulullah SAW yang bermaksud: Dari Abdullah bin Mas’ud katanya: Saya telah mendengar Rasulullah SAW bersabda: Sesungguhnya jampi, tangkal dan ilmu pengasih adalah syirik. (Riwayat Ibnu Majah)
Selain itu, sihir juga adalah satu daripada perbuatan dosa besar.
Daripada Abu Hurairah r.a, Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: Jauhilah tujuh jenis dosa besar yang membinasakan. Sahabat bertanya: “Wahai Rasulullah, apakah dosa-dosa itu? Sabda Baginda: Menyekutukan Allah, sihir, membunuh jiwa yang diharamkan melainkan dengan alasan yang benar, makan riba, makan harta anak yatim, lari daripada perang dan menuduh wanita muhsan beriman yang tidak bersalah dengan tuduhan zina. (Riwayat al-Bukhari)
Adapun berjumpa tukang sihir termasuk bomoh bertujuan memintanya mengubati sihir adalah haram. Ini kerana apabila seseorang pergi menemui tukang sihir untuk mengubati sihir yang dihadapi, perbuatan tersebut membawa kepada pergantungan kepada selain Allah SWT. Ia boleh membawa kepada syirik kepada-Nya. (Irsyad Al-Fatwa #249: Hukum jumpa tukang sihir untuk ubati sihir, 11 Okt. 2018)
HARAM JUMPA TUKANG SIHIR
Menurut Dr. Wahbah al-Zuhaili, diharamkan pergi kepada tukang sihir sama ada untuk melakukan sihir atau pengubatan sihir.
Maka semua itu sebagaimana yang disebutkan dalam hadis Nabawi adalah salah satu daripada syirik kepada Allah SWT. Sebabnya, ia adalah keyakinan dengan mengetahui yang ghaib atau pengubatan penyakit melalui perantaraan selain Allah SWT. (Lihat al-Fatawa al-Mu’asirah, hlm. 319)
Lebih bahaya lagi, sesiapa yang menemui tukang sihir hanya untuk bertanya dan tidak mempercayainya pun solatnya tidak akan diterima selama 40 malam.
Ini ditegaskan oleh Nabi SAW dalam hadis yang bermaksud: Sesiapa yang mendatangi tukang ramal (dukun) dan bertanya kepadanya tentang sesuatu, maka tidak diterima solatnya selama 40 malam. (Riwayat Muslim)
Umumnya, Islam tidak melarang sesuatu ilmu atau amalan termasuk jampi jika ia tidak bercanggah dengan prinsip ajaran Islam dan tidak melanggar batas-batas yang telah digariskannya.
Namun, sekiranya sesuatu ilmu atau amalan itu bercanggah dengan apa yang digariskan oleh syariat Islam, maka kita ditegah daripada mengikuti dan mengamalkannya.
Ini sebagaimana firman Allah SWT yang bermaksud: Dan apabila dikatakan kepada mereka: “Marilah menurut kepada apa yang telah diturunkan oleh Allah (Al-Quran), dan kepada Rasul-Nya (yang menyampaikannya)”, mereka menjawab: “Cukuplah bagi kami apa yang kami dapati datuk nenek kami mengerjakannya”. Adakah (mereka akan menurut juga) sekalipun datuk nenek mereka tidak mengetahui apa-apa dan tidak pula mendapat hidayah petunjuk? (al-Maidah: 104)
Apa yang dilakukan terhadap Allahyarham Zulfarhan Osman adalah perbuatan buli yang tidak dapat diterima oleh orang yang waras. Mereka yang bersalah sudah pun dihukum walaupun terlepas hukuman gantung.
Mahkamah Tinggi menjatuhi hukuman penjara 18 tahun selepas didapati bersalah menyebabkan kecederaan tanpa niat membunuh terhadap Pegawai Kadet Laut UPNM, Zulfarhan Osman.
Semua tertuduh kecuali Mohamad Shobirin juga bersama 12 lagi turut dijatuhi hukuman penjara tiga tahun selepas didapati bersalah menyebabkan kecederaan terhadap Zulfarhan untuk mendapatkan pengakuan bahawa mangsa mencuri komputer riba.
Apa yang patut dipuji adalah sikap bapa Allahyarham iaitu Zulkarnain Idros yang bersedia memaafkan tertuduh walaupun berat untuk menyatakannya. Jika diikutkan hari, timbul rasa tidak puas hati dengan apa yang berlaku.
“Secara jujurnya, saya maafkan tertuduh yang buat anak saya. Bila saya maafkan, mungkin ada kelegaan di hati,” kata beliau.
Memanglah bukan mudah untuk melupakan insiden menyayat hati yang menimpa. Lebih-lebih lagi Allahyarham adalah anak sulung yang menjadi harapan keluarga untuk membantu ibu bapa pada masa depan.
Semestinya ibu bapa yang ada anak-anak remaja terkesan dengan insiden ini. Ia juga menimbulkan kebimbangan untuk melepaskan anak-anak tinggal di asrama selagi insiden buli tidak diatasi.
Selain pihak-pihak berkenaan berusaha memastikan persekitaran sekolah termasuk asrama di universiti selamat dan bebas daripada budaya buli, marilah kita berdoa supaya anak-anak sentiasa dipelihara keselamatan mereka walau di mana juga berada.










