JOHOR BAHRU: Pengurusan Felda digesa melanjutkan tempoh bayaran pinjaman para peneroka dan bukannya menjadikan pembiayaan semula itu dikategorikan sebagai tertunggak.
Pengerusi Pertubuhan Kami Anak Felda (KAF) Wilayah Johor Bahru, Nasaruddin Ahmad berkata, isu pemotongan gaji sehingga terdapat peneroka hanya menerima baki RM50 berpunca daripada bayaran tertunggak ekoran penangguhan bayaran beberapa pinjaman.
“Sebelum ini,mereka dapat moratorium pinjaman dan sepatutnya tempoh bayaran semula perlu dilanjutkan lagi. Seperti contoh, jika peneroka mempunyai baki tempoh enam bulan tetapi penangguhan sejak Mac lalu, maka tempoh itu menjadi 12 bulan dengan mengambil kira tempoh moratorium.
“Sebaliknya, terdapat para peneroka merungut bayaran itu dipotong sekali gus dalam gaji. Kalau jumlah penanggungan pinjaman ada RM950 dan mereka dapat hasil bulanan berjumlah RM1,000 maka hanya tinggal RM50 seperti mana yang dilaporkan dalam Mingguan Malaysia kelmarin,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini semalam.
Mingguan Malaysia sebelum ini melaporkan keluh-kesah para peneroka yang gaji mereka dipotong sehingga memperoleh bayaran bersih sebanyak RM50 sahaja.
Nasaruddin berkata, pihaknya telah mengadakan pertemuan dengan pengurusan tertinggi Felda dan menteri bertanggungjawab untuk membangkitkan beberapa pandangan dan masalah yang membelenggu para peneroka selama ini.
Katanya, ia berkaitan cadangan penambahbaikan terutama membabitkan isu berkaitan pendapatan, pengurusan ladang dan penyediaan penyata hutang peneroka yang berlarutan sejak lama.
“Khabarnya semua ini terutama penyata hutang peneroka dijanjikan bakal disiapkan Felda menjelang akhir bulan ini dan mula diserahkan kepada peneroka secara berperingkat,” katanya. – UTUSAN










