Sejak muncul watak kucing dalam siri kartun, hanya beberapa watak sahaja popular dan digemari ramai seperti Felix.
Dengan bulu berwarna hitam dan putih, bermata besar serta diiringi senyuman lebar, Felix the Cat adalah antara watak kartun yang paling terkenal dalam sejarah filem dan televisyen sekitar era 50-an hingga 60-an lalu.
Mengabadikan watak ikonik itu, Levi’s X Felix the Cat memberikan penghormatan pada kisah Felix menerusi gaya pelajar di kolej atau Felix the Graduate dalam himpunan Musim Luruh Dingin 2021.
Ia menyuntik gaya klasik pada persalinan comel dan bergaya ini.
Koleksi ini menampilkan kucing ikonik itu mengembalikan semula memori di Universiti Felix, dengan mengenakan helaian kontemporari pada rekaan klasik serta gaya varsity antaranya baju panas, kemeja ragbi, hoodie, jaket, seluar dan kemeja-T.
Naib Presiden Kanan dan Pengurus Besar, Gaya Hidup Global, Universal Brand Development, Marc Low, berkata koleksi itu adalah pertembungan antara penampilan kemas di kolej dengan gaya jalanan era 90-an.
“Bentuk serta siluet moden ini dizahirkan dalam gabungan koleksi terbaik masa lalu dan zaman kini. Kami inginkan menghidangkan kolaborasi yang sama sekali tidak dijangka oleh semua orang,” katanya.
PELBAGAI
Gaya pelajar kolej ini dilihat relevan ketika ini kerana ia kemas dan segak bagi pemakainya, namun masih kekal dengan potongan ringkas dan santai.
Kemeja berkolar separuh, jaluran ragbi pada satu bahagian sementara sulaman grafik Felix pada bahagian sebelahnya memperlihatkan penghasilan yang begitu kemas dan teliti.
“Cetusan gaya ini tampak comel, lucu dan sedikit nakal, sebagaimana mana watak Felix dalam siri kartun.
“Begitupun, kami seronok menghasilkan koleksi ini dengan pelbagai elemen, menjadikan setiap helaian segar dan tidak menjemukan,” katanya.
Yang nyata, kaedah suaipadan dan boleh digayakan lelaki atau wanita itulah yang menjadi kekuatan dalam himpunan kali ini.
Selain baju dan celana, ada aksesori beg, topi dan tali pinggang yang comel.










