KOTA KINABALU: Tiada seorang pun wakil rakyat Parti Warisan Sabah (Warisan) akan terkecuali daripada tindakan undang-undang jika mereka mengkhianati ikrar taat setia terhadap parti.
Justeru, semua tindakan yang diambil terhadap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) yang keluar daripada Warisan sebelum ini akan turut dikenakan, termasuk Ahli Parlimen Lahad Datu, Mohamaddin Ketapi.
Bercakap kepada Utusan Malaysia, Setiausaha Agung Warisan, Datuk Loretto S Padua berkata, tindakan perundangan yang diambil tidak kira sama ada cepat mahukan lambat.
Apa yang pasti jelasnya, Warisan akan mengambil tindakan undang-undang terhadap wakil rakyat yang keluar dari parti.
“Keputusan Mohamaddin yang juga ADUN Segama ini sudah dijangka dan pengumumannya keluar parti hari ini bukanlah satu kejutan. Untuk itu, kita akan mengambil tindakan undang-undang yang sama terhadapnya seperti dilakukan terhadap dua ADUN sebelum ini.
“Sekiranya mereka menafikan surat ikrar setia yang ditandatangani semasa Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah pada September tahun lalu, kita mempunyai bukti yang kukuh berserta rakaman video.
“Mereka boleh menyatakan surat itu kurang berkesan namun, video yang dirakam cukup jelas menunjukkan mereka bersumpah atas nama Allah SWT dan itu cukup untuk menjatuhkan reputasi mereka sebagai ahli politik,” katanya.
Tindakan saman terhadap Mohamaddin akan diteruskan jika beliau tidak meletak jawatan sebagai wakil rakyat seperti syarat dalam ikrar taat setia calon Warisan pada PRN Ke-16 lalu.
Mengulas lanjut katanya, kedudukan Warisan di bahagian Lahad Datu tidak goyah biarpun selepas ketua bahagian itu keluar parti.
“Perlu diingat Warisan bukan tentang dia (Mohamaddin) seorang sahaja sebaliknya, ia melibatkan keseluruhan ahli-ahli parti yang kini masih teguh bersama kepimpinan Presiden Warisan, Datuk Mohd. Shafie Apdal.
“Saya sudah berhubung dengan Naib Ketua Bahagian iaitu ADUN Tungku, Assafal P. Alian untuk memangku tugas Ketua Bahagian dan setakat ini ahli-ahli di peringkat bahagian masih bersama Warisan,” katanya.
Sebelum ini, writ saman terhadap ADUN Sebatik, Hassan A Gani Pg Amir sudah dikemukakan kepada mahkamah setelah wakil rakyat itu keluar parti dan enggan mengosongkan kerusi DUN yang dimenangi atas tiket Warisan dalam PRN Sabah.
Malah, tindakan yang sama akan menyusul terhadap Mohamaddin dan ADUN Sindumin, Datuk Dr Yusof Yacob yang mengumumkan keluar daripada Warisan pada 8 Oktober lalu.











