Ahli Bersatu Arau sedia keluar parti beramai-ramai - Utusan Malaysia

Ahli Bersatu Arau sedia keluar parti beramai-ramai

MD. SHARIF ABDUL RAZAK
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ARAU: Krisis kepemimpinan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Bahagian Arau meletus apabila 18 ketua-ketua cawangan termasuk sayap parti itu membantah keras pelantikan timbalan ketua bahagiannya, Megat Hashirat Hassan memangku jawatan ketua.

Malah, mereka juga memberi amaran akan meninggalkan parti secara beramai-ramai jika Megat Hashirat masih dikekalkan mengemudi Bersatu bahagian itu.

Justeru, pemimpin Bersatu bahagian itu meminta kepemimpinan pusat dapat memberi pertimbangan terhadap gesaan tersebut.

Naib Ketua Bersatu Bahagian Arau, Md. Sharif Abdul Razak yang mewakili ketua-ketua cawangan itu berkata, mereka membantah keras pelantikan Megat Hashirat bagi memangku jawatan tersebut.

“Kami berharap kepemimpinan pusat dapat memberi pertimbangan atas permintaan kami ini. Andai permintaan kami ini tidak dipertimbangkan, kami tidak ada jalan lain melainkan meninggalkan parti secara beramai-ramai,” katanya ketika ditemui di sini.

Baru-baru ini, Ketua Bersatu Bahagian Arau merangkap Timbalan Ketua Badan Perhubungan negeri, Ameir Hassan meletakkan semua jawatan serta keluar parti.

Ameir yang juga pengasas Bersatu Perlis sejak September 2016 mengambil langkah tersebut kerana kesal dan menyifatkan parti itu sudah hilang roh serta tersasar daripada matlamat asal perjuangannya.

Ekoran itu, Megat Hashirat yang sebelum ini Timbalan Ketua Bahagian Bersatu Arau diberi mandat memangku jawatan ketua bahagian itu setelah diputuskan oleh pucuk pimpinan tertinggi menerusi surat yang dikeluarkan pada 22 Oktober lalu.

Tambah Md. Sharif, mereka memberi tempoh dua minggu agar tuntutan tersebut diberikan perhatian oleh kepemimpinan pusat.

Katanya, majoriti kepemimpinan Bersatu Arau jelas menolak keras pelantikan Megat Hashirat yang disifatkan tidak layak memimpin parti di bahagian tersebut.

“Kami tidak kisah siapa memangku jawatan Ketua Bersatu Bahagian Arau asal bukan Megat Hashirat. Malah, jika pemimpin dari pusat memangku jawatan tersebut juga kami tidak membantah,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×