Mukadimah
Umat Islam umumnya amat peka dalam bab halal haram makanan. Sebab itu, apa-apa isu berkaitan halalnya makanan termasuk hal kebersihan termasuk
Terbaru, sebuah kilang pemprosesan fucuk di Simpang Ampat, Seberang Perai, kelmarin diarah tutup selepas beroperasi dalam keadaan kotor.
Ruang pemprosesan fucuk turut berbau busuk dengan najis tikus, lipas dan lalat selain lebih lima ekor anjing berkeliaran di luar premis berkenaan.
Bagaimanapun, ramai yang terlupa. Bab haram ini terbahagi dua iaitu haram lizatihi (zat itu sendiri haram) dan juga haram lighairihi.
Wartawan, MOHD. RADZI MOHD. ZIN menemu bual Panel Pakar Industri Halal negara, moderator dan juga Penganalisis MyHalal, MOHD. AMRI ABDULLAH bagi mengupas isu ini.
Isu kilang belacan yang dicemari tahi tikus selain dipijak pekerjanya dan menggunakan logo halal yang meragukan di Butterworth pada 21 Oktober lalu menunjukkan isu makanan halal ini tidak pernah habis. Sebagai pengguna, apakah pengajaran daripada kes ini?
Isu belacan yang pernah diberitakan dalam akhbar itu kita lihat sebagai tiada kesudahan. Kebanyakan kes melibatkan kebersihan berlaku di Pulau Pinang termasuk kilang kicap yang berlaku sebelum ini. Mungkin sebab ia sebuah negeri yang banyak industri.
Isunya bukan setakat logo halal tetapi penggunaan nama Melayu, sama ada secara Original Equipment Manufacturing (kontrak pengilangan). Akhirnya pengguna hilang kepercayaan pada nama Melayu. Dalam hal ini konsep yang harus ditekankan ialah toyyiban iaitu amalan kebersihan yang baik.

Ia sebagaimana firman Allah SWT yang bermaksud: Wahai manusia! Makanlah makanan daripada apa yang ada di bumi yang halal lagi baik dan janganlah kamu mengikut jejak langkah syaitan. Sesungguhnya syaitan itu ialah musuh nyata bagi kamu. (al-Baqarah: 168)
Dalam hal ini, saya melihat konteks toyyiban tidak diikuti selain penggunaan logo halal. Oleh itu, kita kena jadi pengguna halal yang bijak. Maksudnya, pengguna perlu juga guna aplikasi yang disediakan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim). Contohnya, aplikasi Smart Halal dan direktori halal di www.halal.gov.my.
Dalam hak-hak pengguna, yang pertama ialah hak untuk mendapatkan maklumat. Pengguna harus peka ke atas produk yang ada keraguan tentang itu. Jadilah pengguna halal yang bijak. Apabila ada keraguan, gunakan aplikasi dan rujuk kepada pihak berautoriti.
Logo halal yang dikeluarkan Jakim diiktiraf satu dunia. Ini mendorong segelintir pengusaha produk cuba menciplak atau membuat logo yang haram. Adakah penalti yang dilihat masih rendah menjadi punca perbuatan ini masih berlaku?
Memang benar logo halal Jakim diiktiraf seluruh dunia. Malah ada 46 negara yang ada hubungan baik dengan Jakim. Sebab Jakim juga iktiraf 84 badan halal. Memang jadi rujukan dunia.
Di sini kita lihat agak sukar kita tengok perbezaan ciri-ciri logo halal itu. Ini kerana ia boleh dicetak oleh sesiapapun sebab tak ada ciri-ciri keselamatan. Yang ada ciri-ciri keselamatan hanya pada sijil halal. Sijil itu tak boleh ditiru atau dipalsukan.
Jadi logo halal boleh dipalsukan. Kalau kita lihat industri berebut-rebut nak guna logo halal ini. Pada industri untung itu makruf dan rugi itu mungkar. Maka mereka akan berebut-rebut guna logo halal walau apa cara sekalipun.
Kadang-kadang nak mohon sijil halal memang tak lepas sebab mereka tidak penuhi standard dan prosedur halal Malaysia.
Jadi mereka akan tiru. Dalam hal ini saya melihat pemantauan dan penguatkuasaan harus diperhebat dan diperkasa. Kalau tak ada pemantauan dan penguatkuasaan mereka akan guna logo halal sewenang-wenangnya.
Apa lagi dalam musim PKP ni kadang-kadang kurang pemantauan. Lepas ini perlu dipergiatkan pemantauan dan penguatkuasaan. Sama ada Jakim, Jabatan Agama Islam Negeri (JAIN) atau
Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP).
Penalti yang ada di bawah Akta Perihal Dagangan 2011, secara khususnya di bawah Perintah Perihal Dagangan (Takrif Halal) 2011 meperuntukkan penalti hingga RM 5 juta jika guna logo halal tetapi produk tidak halal, tidak selamat atau merbahaya.
Penalti memang tinggi tetapi ada juga Perintah Perihal Dagangan (Perakuan dan. Penandaan Halal) 2011. Ia bagi penggunaan logo halal tanpa sijil halal sah.
Belacan itu mungkin halal dari hukum syarak tapi ia guna logo halal yang palsu. Denda RM200,000, penalti ini sudah tinggi tetapi pandangan saya berasas analisis dan kajian adalah penting kekuatan buat pemantauan dan bawa kes ke mahkamah seterusnya sabitkan denda itu.
Selama ini penguatkuasaan adalah lebih kepada kompaun, pengguna tak tahu berapa jumlah kompaun. Pengguna tahu tentang operasi yang dibuat tetapi pengguna tak tau apa kesudahan kes.
Dalam hal ini undang-undang dah ada dan mantap. Cuma pemantauan perlu dipergiatkan lagi untuk menjaga pengguna.
Pengguna akan harap pihak berautortiti dalam hal ini Jakim, Jaipp dan KPDNHEP. Dalam hal ini perlu ada kesepaduan dalam pemantauan dan penguatkuasaan.

Ada juga yang mahu logo halal hanya diwajibkan kepada pengeluar produk yang bukan Islam. Dengan kata lain, apa perlunya logo halal kalau pengeluarnya orang Islam?
Ini pemikiran yang perlu diubah terhadap logo dan sijil halal. Logo halal bukan hanya untuk orang Islam bahkan untuk semua. Ia sebagaimana dalam ayat 168 al-Baqarah tadi.
Jadi, halal adalah untuk semua termasuk termasuk bukan Islam. Sebab itu saya lebih cenderung kepada utamakan beli produk halal.
Yang penting pastikan produk halal, baru kita beli. Kalau orang Islam jual barang yang tak halal, kita tak akan beli. Jika orang bukan Islam jual barang halal kita akan beli. Hari ini kesan daripada teknologi dan perubahan bahan ramuan, kita agak sukar nak tahu sama ada sumber itu produk itu halal atau tidak.
Hari ni orang dah cakap tentang imulsifier, stabilizer, color, gelatin, meat without animal dan makanan palsu. Perkembangan teknologi ini menyebabkan kita agak sukar untuk kesan dan agama menyuruh kita makan benda yang halal.
Ia sebagaimana firman Allah yang bermaksud: Wahai orang-orang yang beriman! Makanlah dari benda-benda yang baik (yang halal) yang telah Kami berikan kepada kamu, dan bersyukurlah kepada Allah, jika betul kamu hanya beribadat kepadanya. (al-Baqarah: 172)
Dalam hal ini, orang Islam kena ambil peluang dan ruang. Halal bukan hanya dilihat dari sudut agama tetapi dilihat daripada perspektif perniagaan sebagai alat pemasaran. Ia ada nilai pasaran yang cukup besar. Dalam 2024 dijangka pasaran World Halal Market mencecah RM10 trilion.
Mengikut Unit Perancangan Ekonomi (EPU), JPM segmen pasaran halal berdasarkan perkembangan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) adalah sebanyak 8.1 peratus dan menjana RM56 bilion pendapatan pada 2025. Ia sebagai satu ekonomi. Jadi jika orang Islam tidak ambil peluang bagaimana nak perkasa ekonomi umat dan juga umat Islam.
Bukan hanya dalam industri halal tetapi juga pelancongan halal dan pelancongan perubatan halal yang kini jadi rebutan.
Jika tak ambil peluang, kita akan terus bergantung kepada orang bukan Islam. Memang pun hari ini 70 peratus sijil haram Jakim diberi kepada bukan Islam. Yang Islam dan Bumiputera hanya 30 peratus.
Kalau tak mahu hijrah halal sebagai entiti bisnes, usahawan kita akan ketinggalan. Nak jual produk di pasar raya, mereka akan utamakan yang ada sijil halal. Kalau tak mohon sijil halal, syarikat yang tersenarai dalam Smart Halal dan direktori halal hanya syarikat bukan Islam.
Apabila pelancong luar negara datang mereka akan cari produk dan senarai dalam direktori halal dan Smart Halal, syarikat Muslim tak ada. Hanya akan dapati syarikat bukan Islam dalam direktori itu.
Pengusaha Muslim akan kerugian. Ini yang perlu diubah, mohon sijil halal bukan kerana isu halal haram tetapi sebagai alat pemasaran. Peniaga beras pun mohon sijil halal, air mineral pun mohon untuk pemasaran.
Jadi kalau kita masih berpandangan halal untuk orang bukan Islam kita akan kerugian, Semua dunia ungkapkan soal halal sebagai ekonomi ini.
Bagaimana nak jana zakat yang banyak dan bantu orang Islam yang lain dengan konsep taawun ini. Halal itu satu bisnes.
Ada pengusaha orang Islam yang rasa proses memperolehi logo halal Jakim ini amat rumit disebabkan syarat-syarat yang ketat. Ini dikatakan punca produk mereka tidak dapat masuk pasar raya atau pusat beli-belah terkemuka. Benarkah demikian?
Ini perkara yang jadi mitos kepada pengusaha Islam. Kalau kata sukar mengapa ada 8,000 pemegang sijil halal yang dapat hatta industri mikro pun boleh dapat selain IKS.
Perkara ini bagi saya yang sudah 18 tahun dalam industri halal, benda yang kerap diungkitkan sukar, susah, sedangkan Jakim dan Jain sudah upgrade prosedur termasuk bimbing dan bantu termasuk juga pembimbing lain seperti FAMA, Mara, Risda kepada pemohon sijil halal.
Tetapi apa guna peruntukan dan program oleh Jakim, Jain dan pembimbing lain jika usaha dan komitmen, keupayaan yang gagal ditunjukkan oleh pengusaha Islam. Dalam hal ini, kita perlu melihat kembali siapa yang perlu dibangunkan.
Ada yang berpendapat standard halal Jakim ini sangat tinggi. Ya, standard kita diiktiraf antarabangsa. Jadi, adakah kita nak rendahkan standard kepada industri Muslim. Supaya ia tak ada standard.
Seharusnya industri yang perlu berubah dan berhijrah kepada lebih baik.

Peranan lebih besar adalah oleh agensi pembimbing. Jakim dan Jain tidak boleh jadi pembimbing, nak ajar sampai kita kena pergi ke pihak syarikat. Itu melanggar etika persijilan.
Seharusnya, agensi inilah yang bangunkan industri mereka agar mencapai standard dengan prosedur ditetapkan. Kalau kita ikut perkara yang betul, sijil ini senang dapat. Pengalaman saya dalam beri tunjuk ajar kepada usahawan kecil, di peringkat awal memang rasa cabaran tetapi untuk kali kedua dan ketiga sudah rasa mudah.
Permohonan kali pertama mesti ada kesungguhan apalagi kalau buat dalam rumah memang tidak boleh. Jadi kena hijrah, asalkan asing daripada rumah. Perubahan itu perlu kepada industri.
Jangan salahkan Jakim, Jain jika kita gagal dapatkan sijil halal.
Ada juga yang saya lihat strategi pesaing perniagaan. Sebab rasa susah dengan harapan dia sahaja yang ada sijil halal jadi hanya dia yang boleh jual produk. Hotel yang tak ada sijil halal, kerajaan tak akan buat program di situ. Banyak perkara lain yang turut dilihat, bukan hanya sijil halal.
Mencari yang halal itu wajib. Namun kelihatan frasa ini hanya terpakai dalam bab makan minum. Apakah punca mereka tidak melihat kaitan bekerja itu sebagai ibadat yang mesti juga mematuhi ‘piawaian’ halal dan bagaimana mengatasinya?
Mencari yang halal itu kefarduan selepas mencari kefarduan yang lain. Memang benar sebagai penjawat awam atau swasta mereka tak rasa mencuri masa itu haram.
Jadi apabila bincang bab haram ia ada dua. Haram Lizatihi (zat itu sendiri haram) cth makan babi, arak, berzina itu haram .
Ada juga haram lighairi. Haram sebab perkara yang lain. Contoh, kita beli beras tetapi harta atau duit itu duit haram, maka beras itu jadi haram. Sebab harta itu diperoleh daripada curi tulang, tidak amanah dan tidak berintegriti dalam pekerjaan.
Adalah penting untuk faham dalam bab rezeki, anda bergantung kepada apa yang anda makan. Kalau makan benda yang haram akan keluar akhlak yang tak sepatutnya, sifat mazmumah.
Sebab itu, Imam al-Qurtubi berkata, walaupun jika kamu melakukan sesuatu dalam tembok batu, tak ada pintu atau tingkap pun nescaya keluar amalan itu kepada manusia. Walaupun semua orang tidak nampak kita buat apa, orang boleh tahu kita buat perkara yang baik.
Sebab itu kita jangan kata halal haram hanya makanan tetapi turut melibatkan perbuatan. Apa yang beri kesan ialah doa kita.
Prasyarat doa diterima Allah adalah sebagaimana hadis Nabi SAW yang antara lain bermaksud: Sesungguhnya Allah itu baik, tidak menerima kecuali yang baik-baik saja…Kemudian Rasul mengisahkan tentang seorang laki-laki yang banyak melakukan perjalanan jauh, memiliki rambut kusut dan berdebu. Orang itu menadahkan tangannya ke langit seraya berdoa: “Oh Tuhan … oh Tuhan!” Sedangkan makanannya haram, pakaiannya haram, dan dikenyangkan dengan barang yang haram, maka bagaimana akan dikabulkan doanya?” (Riwayat Imam Muslim).
Doa adalah senjata kita. Bagaimana nak dikabulkan doa kita jika abaikan bab halal haram ini. Yang kita risau haram itu kerana punca rezeki kita, curi tulang, ambil hak orang lain, ambil pen dan kertas di pejabat dan beri pula kepada anak-anak. Ia akan bawa kepada bab barakah atau tidak rezeki kita?
Makanan yang lazat belum tentu berzat dan berzat itu belum tentu berkat.
Yang paling kita takut, Allah tak terima doa kita kerana ambil perkara yang haram tadi. Mereka tidak lihat pekerjaan itu sebagai ibadat. Kalau niat pergi kerja sebagai ibadat, ia juga satu ibadat.
Kalau tidak ambil berat isu integriti dalam pekerjaan, ia akan beri impak kepada generasi anak-anak. Ia bergantung kepada apa makanan yang diberi ayahnya.
Kata Imam Ghazali, jika kita ingin anak-anak menjadi soleh, bijaksana dan berguna, berilah mereka makan daripada rezeki yang halal sejak dilahirkan. Makanan yang halal selain menjadikan anak kita berguna, boleh menjadikan fikiran mereka cerdas danpintar. Sebaliknya, anak akan menjadi derhaka kepada kita jika diberikanan makanan yang kotor. (Ihya’ Ulumuddin)
Golongan yang terlibat rasuah juga macam tak yakin dengan sabda Nabi SAW bahawa makanan daripada sumber yang haram itu, neraka lebih utama baginya. (riwayat Ahmad). Bagaimana mahu menyedarkan golongan ini?
Memang benar, orang yang terima rasuah ini tidak rasa ia sangat besar dosanya. Dalam hadis lain, Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: Pasti akan datang suatu zaman di mana manusia tidak lagi mempedulikan dari mana hartanya diperoleh, apakah dari jalan yang halal atau haram? (Riwayat Bukhari)
Sebab itu kita lihat banyak kes dikait dengan rasuah. Tidak kira melibatkan orang biasa, ulama atau ustaz. Pada pandangan saya, kesalahan itu jika dilakukan ada ruang untuk bertaubat.
Sebagai seorang ayah dan ibu, kita harus beri contoh terbaik kepada anak-anak. Yang penting, pastikan kita tidak terlibat rasuah. Ia dosa besar.
Kepada yang melakukan kesalahan ini, ambillah pengajaran daripada hadis Nabi SAW yang bermaksud: Kesemua anak Adam itu melakukan kesilapan, dan sebaik-baik orang yang melakukan kesilapan itu adalah mereka yang bertaubat. (Riwayat Ibn Majah)
Bertaubatlah atas kesalahan.










