Terokai potensi luas di Bosnia-Herzegovina - Utusan Malaysia

Terokai potensi luas di Bosnia-Herzegovina

RAJA Saifful Ridzuwan (pegang Jalur Gemilang) bersama kakitangan Kedutaan Besar Malaysia di Bosnia-Herzegovina dan ahli keluarga masing-masing yang menjayakan Hari Sukan Negara di Sarajevo, baru-baru ini.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

HUBUNGAN istimewa Malaysia dan Bosnia-Herzegovina berada pada tahap tertinggi sejak tercetusnya perang saudara 1990-an yang telah meragut ribuan nyawa penduduk umat Islam di sana.

Kerajaan Malaysia menerusi pelbagai saluran telah menggerakkan segala jentera dan aset baik dari segi ketenteraan atau bantuan kemanusiaan kepada umat Islam di negara tersebut. Antaranya pembinaan dua buah sekolah, masjid dan jalan raya di samping bantuan dari segi kewangan.

Kini, Bosnia-Herzegovina tidak lagi berada dalam kancah peperangan bahkan ekonomi dan kehidupan warganya dilihat semakin baik.

Wartawan Utusan Malaysia, THAQIB SHAKER, menemu bual Duta Besar Malaysia di Bosnia-Herzegovina, RAJA SAIFFUL RIDZUWAN RAJA KAMARUDDIN menerusi e-mel, baru-baru ini bagi mengetahui sejauh mana hubungan kedua-dua negara dapat membuka peluang dari sektor ekonomi kepada pelabur-pelabur Malaysia.

UTUSAN: Adakah warga Bosnia-Herzegovina pada hari ini masih mengingati segala jasa-jasa kerajaan Malaysia? Apa yang diperkatakan oleh rakyat mereka jika ditanya tentang negara kita?
RAJA SAIFFUL RIDZUWAN: Hubungan dua hala yang terjalin di antara Malaysia dan Bosnia-Herzegovina sejak 1996 masih utuh dan akan terus mengukuh pada masa akan datang. Ini kerana hubungan diplomatik di antara kedua-dua negara bertunjangkan kepada isu-isu yang membawa kepentingan bersama, sama ada melalui mekanisme dua hala atau pelbagai hala. Jalinan strategik ini membolehkan Malaysia dan Bosnia-Herzegovina terus kekal menjalin hubungan diplomatik yang kukuh dan saling menyumbang di antara satu sama lain.

Kita semua sedia maklum, sumbangan dan kerjasama pelbagai negara termasuk Malaysia dan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) dan Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC) telah membawa keamanan di rantau ini sehingga membawa kepada penubuhan negara Bosnia-Herzegovina. Ini merupakan satu catatan sejarah yang penting dan tidak akan dinafikan selamanya.

Saya berasakan kepentingan strategik dan sumbangan yang telah kita lakukan meletakkan Malaysia di satu persada yang istimewa dan hubungan ini sering dimanifestasikan melalui proses diplomasi yang efisien dan diterjemahkan oleh kerajaan Bosnia-Herzegovina di dalam dasar luar dan domestik mereka. Ini belum mengambil kira populariti pemimpin kita seperti Tun Dr. Mahathir Mohamad yang kekal menjadi pemimpin tumpuan setiap kali nama Malaysia disebut.

Konflik bersenjata di Bosnia-Herzegovina sudah berakhir sejak 25 tahun lalu dan kini situasi di sana lebih stabil dan aman damai. Adakah kita masih membantu rakyat mereka?
Bosnia-Herzegovina adalah sebuah negara yang sedang melalui era kematangan politik dan mempunyai hubungan diplomasi yang positif dengan negara-negara luar sejajar dengan perkembangan progresif geopolitik dunia dan rantau Balkan. Sumbangan kepada negara ini sama ada dari Malaysia atau negara-negara lain juga melalui proses evolusi kematangan. Sumbangan yang dimaksudkan di sini tidak terhad kepada bentuk kewangan semata-mata.

Malaysia kini dilihat sebagai sebuah negara yang menyediakan peluang-peluang melalui kerjasama perdagangan, pelaburan dan latihan teknikal kepada penjawat awam dan pakar-pakar tempatan, khususnya melalui Program Kerjasama Teknikal Malaysia (MTCP). MTCP merupakan satu program kerjasama yang ditubuhkan pada 1978 semasa Mesyuarat Ketua-Ketua Kerajaan Komanwel (CHOGM) di Sydney, Australia yang bertujuan membantu negara-negara sedang membangun di bawah Kerjasama Selatan-Selatan.

MTCP pada hemat saya merupakan satu platform terbaik untuk Malaysia sama-sama berkongsi pengalaman dan pengetahuan dalam bidang-bidang tertentu di mana kita mempunyai kepakaran dengan negara-negara sedang membangun. Bosnia-Herzegovina adalah tidak terkecuali. Berdasarkan data yang dikumpul, lebih 100 peserta dari negara ini pernah hadir dan menyertai MTCP dalam pelbagai bidang di Malaysia. Saya melihat mekanisme ini sebagai lebih memberikan nilai tambah kepada hubungan dua hala di antara Malaysia dan Bosnia-Herzeqovina.

Berapa banyak pelaburan Malaysia di Bosnia-Herzegovina? Adakah ia berjaya dan memberi pulangan kepada kedua-dua pihak?
Melalui hubungan dua hala yang erat terjalin di antara kedua-dua negara telah membuka ruang kepada aktiviti ekonomi yang berpotensi untuk membawa manfaat kepada Bosnia-Herzegovina dan juga Malaysia. Bagaimanapun, kajian mendalam harus dilaksanakan bagi mengenal pasti sektor ekonomi yang boleh membawa pulangan positif kepada kedua-dua belah pihak. Tumpuan kajian harus difokuskan kepada strategi pelaburan yang komprehensif dan berkesan.

Dalam hal ini, faktor kejayaan atau kegagalan bagi pelaburan lalu, sedia ada mahupun akan datang adalah sesuatu yang relatif. Sebagai contoh, sekiranya bidang A tidak mendapat pulangan pelaburan yang memberangsangkan, pelan pelaburan strategik mungkin perlu dikaji semula dan kajian menyeluruh perlu dilaksanakan bagi mengenal pasti bidang-bidang lain yang mempunyai potensi bagi pulangan pelaburan yang baik. Untuk sama-sama maju ke hadapan, mana-mana pihak tidak boleh berpegang kepada sesuatu contoh pelaburan yang kurang berkesan kerana ia akan memberi kesan langsung kepada kerjasama ekonomi dan pelaburan di antara kedua-dua buah negara.

Ada pihak mempersoalkan hubungan terkini Malaysia dan Bosnia-Herzegovina dari sudut ekonomi. Boleh terangkan keuntungan hubungan kita dengan Bosnia-Herzegovina dalam aspek tersebut?
Keberkesanan sesuatu hubungan diplomatik yang baik tidak boleh sekadar diukur dari aspek statistik. Kebaikan atau keuntungan yang diperoleh kedua-dua belah pihak adalah intangible (tidak ketara) dan ia harus dilihat dari sudut yang lebih luas. Potensi yang ada pada Bosnia-Herzegovina juga seharusnya diukur dari nilai tambah yang meliputi akses negara ini kepada rantau Balkan dan Eropah. Jika hendak dinilai dari aspek statistik dan nilai keuntungan semata-mata, ia harus melalui proses kajian yang lebih mendalam dan bergantung kepada pelaburan dan aktiviti ekonomi yang hendak dilaksanakan.

Apakah visi dan misi anda selaku Duta Besar Malaysia yang baharu di Bosnia-Herzegovina?
Visi saya adalah meneruskan kesinambungan duta-duta besar Malaysia terdahulu yang melihat Bosnia-Herzegovina sebagai sebuah negara yang berpotensi besar untuk maju dan menyediakan kepentingan strategik kepada hubungan dua hala Malaysia dan Bosnia-Herzegovina.

Misi saya adalah memberikan nilai tambah kepada hubungan yang erat tersebut dengan meneroka peluang-peluang baharu yang berpotensi untuk meningkatkan kerjasama Malaysia dan Bosnia-Herzegovina ke peringkat yang lebih kukuh. Saya melihat negara ini mempunyai banyak ruang dan peluang untuk pelabur-pelabur dari Malaysia meneroka potensi pelaburan berkesan yang bukan sahaja memberikan kelebihan kepada negara ini malahan kepada negara-negara di sekitarnya. Saya juga mahu rakyat Bosnia-Herzegovina dan negara-negara di rantau ini mengenali Malaysia sebagai batu loncatan bagi memasuki pasaran ASEAN yang mempunyai potensi dan menyediakan nilai tambah lebih besar.

Dan akhir sekali, saya mempunyai impian untuk melihat keakraban hubungan sosioekonomi di antara Malaysia dan Bosnia-Herzegovina. Kita di Malaysia dan di rantau ASEAN umumnya mengenali Bosnia-Herzegovina apabila negara dan rantau ini berada dalam kancah peperangan. Setelah lebih 25 tahun berlalu dan dengan keamanan yang wujud pada masa kini, sudah sampai masanya kita mengenali satu sama lain dengan lebih erat melalui kerjasama budaya dan tradisi serta saling bergandingan dalam meningkatkan pertumbuhan ekonomi negara melalui hubungan diplomatik yang lebih efektif.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×