SUDAH tiba masanya Malaysia mempraktikkan politik ilmu , bukannya ‘politik ampu’. Politik hikmah, bukannya politik fitnah. Dan politik bakti, bukan pula politik undi.
Nah! kalau begitu sudah datangnya hajat murni itu ayuh sahaja jadikan Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka 20 November depan gelanggang permulaannya.
Kata orang gelanggang ini ada Si Kitol dan Raja Mendeliarnya. Tidak kurang kelibat Hang Tuah dan Hang Jebat, dengan Hang Lekiu, Hang Lekir dan Hang Kasturinya.
Ketika gelanggang pilihan raya mega akan dibuka tidak beberapa lama lagi, Melaka inilah akan menjadi teladan kepada antara yang hak dengan yang bathil, antara yang benar dengan yang mendustakan. Realiti dan fantasi bercampur baur antara realistik dan berpijak di bumi nyata impian setiap calon dan parti yang bertanding kali ini.
Istilah calon-calon bakal bertanding bertaraf underdog, heavyweight atau giant killer sudah berkembang di panggung pergaulan dunia politik. Jadi, kepada setiap 495,196 pengundi di Melaka renunglah, tataplah dan nilailah wajah-wajah yang serahkan borang penamaan calon 8 November nanti.
Barangkali jentera pilihan raya parti-parti yang berkampung nanti sekadar menyegarkan kembali dondang sayang yang sudah kian lenyap – kerana kita percaya dalam fikiran pengundi sudah ada siapa pilihan mereka.
Melilau
Maka pilih salah satu andai mahu diletakkan rating seseorang calon. Yang pertama, underdog nampaknya lebih realistik untuk dipegang mana-mana calon. Sejak awalnya, underdog memang ditujukan sebagai ungkapan rasa simpati terhadap suatu kelompok kecil yang didera diskriminasi, pejuang hak asasi dan memberontak terhadap penguasa. Lalu istilah ini berkembang pemakaiannya sebagai kiasan simpati terhadap seseorang atau kelompok dalam suatu kumpulan politik dan olahraga, lalu muncul dan hadir sebagai pemenang.
Dalam konsep Dunia Barat, underdog dikenali selewat masa Perang Dunia Kedua. Contoh klasik, zaman diskriminasi kulit hitam-putih atau apartheid, disebut sebagai
gelanggang golongan underdog yang menang. Lalu selepas itu, kata yang mengandungi unsur “dog” kian terpakai di mana pun, termasuk di lapangan bola sepak dunia.
Yang kedua dan ketiga, giant killer atau heavyweight kelihatannya tidak praktikal. Dalam situasi hari ini, kalau seseorang calon atau pasukan jenteranya bekerja keras untuk penduduk setempat dan rakyat kawasannya, insya-Allah, jasa mereka akan dikenang. Tetapi kalau melilau atau melolong dengan tiba-tiba muncul menawarkan diri untuk dipilih semula, jadi ‘kacau’ pula.
Seingat saya Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU13) agak ketara menyaksikan tewasnya beberapa heavyweight di arena politik di tangan calon tidak ternama.
Antara yang tewas ialah calon Barisan Nasional Lembah Pantai, Datuk Raja Nong Chik Raja Zainal Abidin; Menteri Besar Johor, Datuk Abdul Ghani Othman dan Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Mohd. Ali Rustam.
Raja Nong Chik tewas kepada Nurul Izzah Anwar daripada PKR dengan majoriti 1,847 di Lembah Pantai. Abdul Ghani pula kalah di kerusi Parlimen Gelang Patah kepada pendatang baharu Johor, Penasihat DAP, Lim Kit Siang dengan majoriti besar 14,672 undi.
Mohd. Ali yang bertanding kerusi Parlimen Bukit Katil tewas dengan 5,447 undi kepada Ketua AMK PKR, Shamsul Iskandar Mohd. Akin.
Pas turut memperoleh nasib yang hampir sama apabila beberapa pimpinan tertinggi parti itu tewas, termasuklah Timbalan Presiden Pas, Mohamad Sabu, dua Naib Presidennya, Datuk Husam Musa dan Salahuddin Ayub. PKR menyaksikan Setiausaha Agungnya, Datuk Saifuddin Nasution Ismail tewas. Itu secebis kisah pemimpin ternama yang tewas dan banyak lagi apabila digoogle pada PRU14 tempoh hari.
Kebaikan diri
Namun kepada calon-calon bakal bertanding di Melaka, tidak kiralah Deris atau Rauf pun, jangan ikut sangat rentak Kit Siang kerana beliau kategori lain. Sebelum masuk gelanggang, dia sudah tahu hujung pangkal angka undi bakal diperolehnya. Big Data di tangannya.
Kit Siang sahaja sejak tahun 1969 lagi hingga sekarang telah bertanding banyak kawasan berbeza dalam pilihan raya. Lima negeri, lapan kerusi Parlimen dan beberapa kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) sudah dijelajahi veteran DAP berusia 80 tahun ini. Setiap kali masuk musim pilihan raya umum, ‘kebiasaannya’ Kit Siang mula sibuklah menjengah kawasan baharu untuk ditandinginya.
Apa pun, mempolitikkan banyak perkara dan isu-isu adalah perkara biasa sebagai seorang ahli politik atau calon dalam usaha untuk menyampaikan sesuatu perkara. Ini demi kebaikan rakyat dan sudah tentu untuk kebaikan politik diri. Ada di antara calon lebih kelihatan sifat-sifat politik dan lebih lantang daripada yang lain. Ada yang mempunyai bakat semula jadi, sementara yang lain seolah-olah tidak sesuai dengan bidang mereka.
Ada kalangannya mempunyai personaliti yang hebat dan tarikan fizikal. Yang lain pula berperibadi lemah, tidak meyakinkan. Apapun kategori calon, yang penting apabila telah menjadi ahli politik, ia akan kekal sebagai ahli politik. Caranya melambai semasa keluar kereta, gaya berucap atau bercakap – semua ini dan beberapa ciri lain membentuk keperibadian politik seorang ahli politik.
Tidak kiralah anda calon underdog, heavyweight, giant killer waima si payung terjun sekali pun, menangkis tohmahan, propaganda dan psywar adalah cabaran yang perlu dilalui oleh mana-mana ahli politik. Hujah-hujah yang diterampilkan mesti dekat di hati.
Dan Sejarah Melayu sering menggunakan pantun untuk menggambarkan ciri-ciri utama seorang pemimpin yang baik:
Kalau mencari tempat mandi
Pertama teluk kedua pantai
Kalau mencari pemimpin negeri
Pertama elok, kedua pandai.











