IPOH: Penduduk berdekatan Bukit Batu Putih, lokasi peserta larian Gopeng Ultra Trail di Gua Tempurung di Gopeng, Mohamad Ashraf Hasan atau Acap yang hilang pada 23 Mac 2019 mengakui turut buntu dengan kehilangan lelaki itu.
Bekas Ketua Kampung Pintu Padang, Mukhtaruddin Abdul Wahid, 64, yang merupakan antara sukarelawan bersama penduduk kampung itu yang membantu usaha mencari Acap berkata, kehilangan lelaki itu satu misteri yang sukar untuk dirungkai.
Mukhtaruddinberkata, ini kerana setelah pelbagai usaha dilakukan, Acap tidak ditemukan sehingga kini.
Katanya, ini menyebabkan ada yang mengaitkan kehilangan Acap dengan makhluk halus atau bunian.
“Semasa Acap hilang, ramai pihak yang berusaha mengesannya termasuk perubatan tradisional juga agamawan, namun semuanya gagal menemukan Acap,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini semalam.
Menurutnya, jika mahu dikatakan hilang kerana tersesat di Bukit Batu Putih, Acap sudah pasti dapat ditemukan kerana kawasan bukit itu bukan hutan tebal tetapi dikelilingi kebun kelapa sawit dan getah.
“Hendak dikatakan Acap tersesat hingga ke hutan tebal di luar kawasan Gua Tempurung, tidak mungkin kerana kawasan ini tiada hutan tebal.
“Di sini juga tiada binatang buas jika mahu mengaitkan kehilangan Acap,” katanya.
Sementara itu, Mukhtaruddin yang dilahirkan di kampung berkenaan memberitahu, Bukit Batu Putih dikenali penduduk setempat sebagai kawasan yang tidak sepatutnya dikunjungi.
Katanya, orang tua-tua di kampungnya dulu selalu berpesan supaya jangan naik ke Bukit Batu Putih.
“Saya masih ingat pesanan itu, tetapi kami tidak bertanyakan sebabnya dan kami penduduk di sini akur dengan pesanan itu, tidak berani untuk naik ke Bukit Batu Putih,” katanya.
Menurutnya, walaupun kehilangan Acap berlaku sudah lebih dua tahun, namun masih ada orang luar yang datang ke kampungnya bertanyakan tentang kejadian itu. – UTUSAN ONLINE










