PETALING JAYA: Pemimpin veteran DAP, Lim Kit Siang menggesa Pakatan Harapan (PH) supaya turut menolak tiga bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) sebagai calon Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka.
Beliau mengalu-alukan keputusan Majlis Presiden PH yang menolak ADUN Pengkalan Batu, Datuk Norhizam Hassan Baktee, namun perkara yang sama perlu dilakukan kepada ADUN Sungai Udang, Datuk Seri Idris Haron, ADUN Telok Emas, Datuk Noor Effandi Ahmad dan ADUN Pantai Kundor, Datuk Nor Azman Hassan.
“Saya berpendapat bahawa mereka adalah ADUN Melaka yang tidak bermoral hingga menyebabkan berlakunya PRN Melaka, mereka tidak seharusnya menjadi calon PH,” katanya dalam kenyataan.
Beliau yang juga Ahli Parlimen Iskandar Puteri turut mengeluarkan kenyataan berani apabila sanggup menerima kekalahan dalam PRN, asalkan PH terus berpegang kepada prinsip menolak wakil rakyat yang bertindak melompat parti dan menjatuhkan kerajaan negeri.
“Dikatakan bahawa untuk mencapai kemenangan di Melaka, kita mesti bergabung dengan sesiapa sahaja yang boleh memberikan kemenangan kepada PH.
“Sekiranya diberi pilihan, antara kemenangan hasil bekerjasama dengan kleptokrat, oportunis dan penjahat atau kalah kerana konsisten dengan prinsip dan integriti politik, saya akan memilih pilihan yang terakhir.
“PH tidak boleh kehilangan pegangan moralnya dengan membiarkan tiga ADUN bertanding sebagai calon PH dalam PRN Melaka,” katanya.
PRN Melaka akan mengadakan hari penamaan calon pada 8 November disusuli dengan hari mengundi pada 20 November. – UTUSAN











