Cari penyelesaian, bukan kemenangan - Utusan Malaysia

Cari penyelesaian, bukan kemenangan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MENCARI kata sepakat atau konsensus bukan bermakna mencari kemenangan berpihak kepada sesiapa. Bukan juga untuk membuktikan siapa yang lebih berhak atau berkuasa. Sebaliknya, kata sepakat terhasil daripada perbincangan secara jujur dan berlapang dada untuk melerai sebarang masalah dan kekusutan. Penghujungnya, kata sepakat merupakan penemuan titik penyelesaian seimbang demi kebaikan bersama.

Lalu ada yang menyebut, “Harga bagi sebarang alasan untuk mewajarkan tindakan sehingga jatuhnya sebuah kerajaan seperti di Melaka adalah terlalu murah.” Seolah-olah memberi gambaran tiada lagi jalan perbincangan untuk mencari kata sepakat menghasilkan penyelesaian yang wajar dan terbaik.

Istilah ‘wajar’ dikaitkan dengan aspirasi umum yang mahu melihat perjalanan tadbir urus kerajaan berjalan lancar tanpa gangguan. Masyarakat mempunyai sebab untuk menyatakan demikian.

Pertama, memandangkan tempoh penggal pemerintahan Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) tidak lama lagi akan berakhir, elok kalau dapat bersabar. Juga, masyarakat menganggap krisis yang timbul hanya berlegar dalam kalangan sesama sendiri, yakni sesama parti dan sesama pendukung kerajaan. Lagipun beberapa personaliti yang terbabit adalah dalam kalangan mereka yang sudah dianggap masak dalam aspek kepimpinan parti dan kerajaan. Sukar sangatkah untuk berkompromi?

Secara lebih jauh, masyarakat memandang Melaka sebuah negeri kecil molek dan pesat membangun. Melaka, negeri bersejarah dan mempunyai daya tarikan pelancong yang tersendiri. Ekoran kelonggaran merentas negeri berikutan pandemik Covid-19 yang baru diumumkan kerajaan, Melaka sepatutnya berada dalam suasana pemerintahan yang segar dan stabil untuk dikunjungi pelancong dari luar.

Sedia maklum, krisis Melaka bermula selepas empat bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Barisan Nasional (BN), Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) dan Bebas menarik sokongan daripada kerajaan negeri di bawah pentadbiran Ketua Menterinya, Datuk Seri Sulaiman Md. Ali.

Berikutan kehilangan majoriti, Dewan Undangan Negeri (DUN) Melaka dibubarkan oleh Yang Dipertua Negeri Melaka, Tun Mohd. Ali Rustam pada 4 Oktober lalu.

Tegasnya, sebahagian proses amalan demokrasi sudah terlaksana. Namun, umum masih tertanya-tanya, “Perlukah diadakan Pilihan Raya Negeri (PRN)” dalam masa terdekat?

Persoalan itu timbul apabila ramai yang masih melihat isu penularan pandemik Covid-19 masih belum pulih sepenuhnya, di samping hal-hal lain yang berkaitan. Ini termasuk soal penumpuan rakyat untuk memulihkan kehidupan pasca wabak Covid-19, bukan untuk berserabut dengan pemilihan calon dan parti atau memikirkan pembentukan sebuah kerajaan baharu.

AKUR

Malah ada rakyat Melaka sendiri yang bertanya, “Kerajaan baharu yang bakal dibentuk ini apakah akan menepati kehendak kita atau benar-benar dapat memadamkan segala krisis yang berbangkit?” Selain itu ada yang mempersoalkan tentang pembabitan kos yang terpaksa ditanggung kerajaan bagi membiayai PRN. Kata mereka, lebih baik peruntukan yang bukan sedikit itu dibelanjakan untuk kesejahteraan rakyat selepas dilanda wabak Covid-19.

Apa pun, rakyat Melaka tentunya tetap akur sekiranya PRN merupakan jalan penyelesaian terbaik meredakan kemelut yang timbul. Fokus mereka tentu akan beralih haluan, iaitu untuk melihat terbentuknya sebuah kerajaan yang tegap kukuh, yang terus berupaya menjana kemajuan dan yang membawa kesejahteraan kepada rakyat.

Apa yang berlaku di Melaka dikhuatiri menular ke negeri-negeri lain terutama yang mempunyai bilangan kerusi tidak jauh berbeza di DUN. Jika demikian berlaku, episod permainan politik sukar berakhir. Yang rugi adalah negara dan rakyat.

Apabila berlaku sebarang perpecahan atau pertelagahan terbuka terutama melibatkan kelompok yang sama, sukar untuk mengelak daripada reputasi di mana masyarakat umum boleh mempersoalkan tahap semangat setiakawan, keupayaan bersabar menghadapi cabaran atau kemampuan mengelak daripada dilihat terlalu mementingkan diri.

Sepatutnya Melaka dan negara pada umumnya berada pada situasi kestabilan sosial, politik dan ekonomi yang mantap dan meyakinkan. Selain daripada menjadi daya tarikan para pelabur luar, suasana begini akan memberi makna sebenar kepada nikmat kemakmuran untuk rakyat dan negara.

Situasi kestabilan yang sebegini diharap menjadi landasan sokongan bagi kalangan anak-anak muda yang mencecah usia 18 tahun dan layak mengundi pada pilihan raya umum tidak lama lagi.

Jangan memberi ruang kepada mana-mana pihak untuk menyelinap masuk bagi menjayakan sebarang niat memecah-rintah bangsa. Sebarang keterlanjuran mungkin hanya berakhir dengan penyesalan. Dan harganya terlalu mahal untuk menebus kealpaan.

DATUK SAYUTI MUKHTAR ialah penganalisis sosiopolitik tanah air.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×