Lokan sumber rezeki pandemik Covid-19 - Utusan Malaysia

Lokan sumber rezeki pandemik Covid-19

AHMAD Fakhrur Razi Rajab mencari lokan menggunakan kaedah mengores tanah dengan cangkul kecil dan cakar di paya bakau, lagun Sungai Semerak, Pasir Puteh, Kelantan.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

LOKAN atau nama saintifiknya Polimesoda expansa adalah hidupan bercengkerang dari genus Polumesoda dan keluarga Corbiculidae yang terdapat di kawasan berair di muka bumi ini.

Saiz lokan yang paling besar adalah spesies Geloina expansa. Ia tinggal dalam lumpur air payau terutama di sekitar hutan paya bakau atau rumbia. Geologi tanah berlumpur bercampur pasir adalah habitat yang sesuai untuk kehidupan ini.

Tampil dengan rupa bentuk dua cengkerang keras dan mempunyai warna putih kelabu, kekuningan, belang kehitaman bergantung kepada habitat asalnya. Saiznya adalah di antara empat hingga 15 sentimeter memiliki isi yang berwarna putih di dalam cengkerang kerasnya.

Memuatkan artikel berkaitan…

Hidupan yang tergolong dalam kumpulan moluska ini membiak secara persenyawaan luar iaitu persenyawaan antara benih jantan (sperma) dan benih betina (ovum) yang berlaku di dalam air.

Lokan jantan dan betina yang telah mempunyai organ pembiakan matang akan melepaskan sperma dan ovum ke dalam air untuk proses persenyawaan. Benih jantan dan betina yang telah bersenyawa akan mengalami beberapa proses sehingga menjadi larva.

Mengikut kajian saintifik, pada peringkat larva ini, lokan adalah haiwan yang boleh bergerak dan berenang di dalam air berbanding induknya yang bersifat statik dan memendamkan dirinya di dalam lumpur.

HIDANGAN lokan bakar dengan pencicah cili asam pedas.

Larva lokan akan mengalami proses metamorfosis untuk pada peringkat awal kelahiran. Tidak mempunyai silium dan mula membenamkan dirinya ke dalam lumpur seperti lokan dewasa apabila ia mula memiliki cengkerang.

Hidupan ini kini dijual di pasaran dengan harga yang berbeza-beza mengikut tempat selain bergantung kepada kesukaran mencarinya.

Hutan paya bakau seluas kira-kira 3,657 hektar persegi di sekitar Lagun Sungai Semerak, Pasir Puteh, Kelantan adalah destinasi tumpuan pencari lokan yang bermula sejak zaman negara belum merdeka hingga sekarang. Lokasi ini dianggap sebagai gebuk rezeki.

Penulis berkesempatan meneroka suasana paya bakau yang sejuk, redup dan indah yang dipandu masuk seorang lepasan Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), Ahmad Fakrur Razi Rajab, 25.

Beliau menjadikan aktiviti pencarian lokan sepanjang tempoh menganggur sebagai sumber pendapatan sampingan sebelum ditawarkan pekerjaan tetap sebagai guru.

Katanya, di kawasan paya bakau lagun Sungai Semerak terdapat tiga jenis lokan iaitu Geloina erosa, Geloina expansa dan Geloina bengalensis yang boleh dijual dengan harga RM4 sekilogram kepada pemborong. Ia djual di pasaran runcit dengan harga RM8 hingga RM10 sekilogram bergantung kepada saiz lokan.

“Setakat ini tiada pengusaha menternak lokan kerana hidupan ini hanya mudah membiak dan hidup subur di habitat semulajadi yang melibatkan proses pasang surut air sungai. Ia mampu hidup di dalam tanah yang berair dan lumpur bergambut terutama di sekitar banir pokok bakau.

“Ia menjadi satu makanan eksotik dalam kalangan nelayan setempat dan mengikut kajian ia mengandungi vitamin larut lemak (A, D, E, dan K), vitamin larut air (B1, B2, B6, B12) dan niasin) serta sumber utama mineral yang diperlukan oleh tubuh seperti iodium (I), besi (Fe), seng (Zn), selenium (Se), kalsium (Ca), fosfor (P), kalium (K), flour (F), dan lain-lain,” katanya.

KESELAMATAN TETAP DIUTAMA

Ahmad Fakrur Razi berkata, aspek keselamatan diri perlu diberi keutamaan kerana lokasi ini bukan hanya dihuni lokan tetapi menjadi habitat ular, ikan dengan duri berbisa selain tebuan dan lebah yang turut bersarang.

Seorang lagi pencari lokan, Anuar Salleh, 47, berkata, pencarian lokan bermula seusai air sungai menyusur surut atau sebahagian kawasan paya bakau jadi kering namun pencari yang masuk ke paya bakau perlu peka untuk keluar segera dan naik ke daratan apabila air sungai pasang.

“Dengan kata lain, jangan sesekali mencari lokan di kawasan jerlus di tepi lagun kalau tidak memiliki kemahiran berenang. Cukup sekadar mencakar tanah lumpur di sekitar batang dan banir pokok bakau.

ANUAR Salleh menunjukkan sebahagian hasil lokan yang diperolehnya di hutan bakau lagun Sungai Semerak yang menjadi sumber pendapatan hariannya.

“Saya mula berjinak-jinak mencari lokan apabila perniagaan barangan lusuh yang diusahakan terjejas teruk kerana semua pasar karat di negeri ini lumpuh sepanjang pandemik Covid-19.

“Lokan bagaikan penyelamat untuk meneruskan kelangsungan hidup yang menuntut saya mencari sumber pendapatan baru dan belajar berjimat-cermat,” katanya ketika ditemui Utusan Malaysia, baru-baru ini.

Anuar berkata, hutan bakau lagun Sungai Semerak bukan sahaja indah pemandangannya yang boleh diselusuri menerusi anak sungai. Malah berpotensi untuk agro pelancongan jika pihak berkuasa tempatan (PBT) membangunkan lokasi ini.

“Apa pun, hutan dara paya bakau ini memberi rezeki kepada saya lima hingga 10 kilogram sehari untuk tempoh pencarian tiga ke empat jam. Saya jual lokan ini RM4 sekilogram kepada pemborong.

“Mencari lokan di kawasan ini sebenarnya adalah warisan turun temurun sejak belum merdeka lagi. Zaman sukar dapat makan di bawah penjajahan British dan Jepun, inilah gebuk makanan yang menjadi tumpuan penduduk,” katanya.

Adiknya, Salimi Salleh, 40, berkata, keluarganya gemar menikmati lokan yang boleh diperolehi secara percuma dalam paya bakau ini dengan memerah keringat menggunakan peralatan cakar dan sabit untuk mendapatkan khazanah makanan eksotik yang hidup dalam lumpur.

Menurutnya, isi putih yang terkandung di dalam cengkerang itu enak dimasak tiga rasa, tumis atau dibakar sahaja yang sesuai dimakan dengan pencicah pedas manis.

“Rasanya memang enak. kalau dimakan begitu sahaja ia terasa lemak manis dan sedikit beraroma,” katanya.

Bagi Afiq Akram, 23, lokan perlu dibersihkan untuk membuang lumpur pada cengkerangnya dan ia boleh tahan sehingga lima hari jika disimpan dalam periuk berisi air yang dicampurkan dengan sedikit garam.

AFIQ Akram menggunakan golok untuk mengesan cengkerang lokan yang tersembunyi dalam lumpur di sekitar Lagun Sungai Semerak, Pasir Putih, Kelantan.

“Pencarian lokan di celah akar pokok bakau memang menyeronokkan cuma serangan nyamuk sering mengganggu fokus mencakar tanah. Kami gunakan minyak khas yang disapu ke badan untuk menghindari gigitan.

“Paling sedikit saya dapat lokan ialah lima kilogram dalam tempoh satu ke dua jam. Lokan yang bersaiz besar sahaja diambil dan ianya mudah ditemui di lokasi yang belum dijejaki pencari lain,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini