Berdepan era keruntuhan tamadun - Utusan Malaysia

Berdepan era keruntuhan tamadun

KITA tidak boleh mempercayai sepenuhnya Pandora Papers mengenai kekayaan tersembunyi tokoh- tokoh dunia tetapi jika laporannya dapat dibuktikan betul, ia bukan sesuatu yang mengejutkan. – GAMBAR HIASAN/AFP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PENDEDAHAN Pandora Papers mengenai kekayaan tersembunyi tokoh-tokoh ternama seluruh dunia mencetuskan kegemparan sekali gus menimbulkan banyak persoalan.

Ini kerana kekayaan itu tidak pernah mendatangkan masalah dan perlu disembunyikan daripada pengetahuan umum.

Banyak bilionair dunia tidak berbuat demikian malah majalah seperti Forbes misalnya bebas menyiarkan kekayaan bilionair dunia termasuk dari negara ini.

Apabila Pandora Papers mendakwa beberapa pemimpin tertinggi dunia menyembunyikan kekayaan dengan menubuhkan syarikat di luar pesisir, tentulah menimbulkan banyak persoalan. Kenapa dan mengapa mereka berbuat demikian?

Inilah yang khalayak cuba untuk memahami keadaan sebenarnya. Bagaimanapun, makna di sebalik pendedahan berbilion dolar Amerika ini terarah pada pendapatan diperoleh daripada jalan yang menyalahi undang-undang negara masing-masing.

Perlu difahami, syarikat di luar pesisir seperti di Virgin Island dan Cayman Island kebal dan sukar malah mustahil boleh diakses oleh pihak berkuasa.

Bagaimanapun, setakat ini kita tidak boleh mempercayai sepenuhnya Pandora Papers. Tetapi sekiranya dibuktikan betul, perkara ini bukan suatu yang mengejutkan.

Semua yang berlaku itu adalah simptom yang menunjukkan dunia berdepan era keruntuhan tamadun. Sebelum ini pun sudah banyak berlaku skandal kewangan di luar negara yang menggugatkan kedudukan ekonomi di Barat.

Maka Pandora Papers yang membocorkan hampir 12 juta dokumen sekali gus mendedahkan kekayaan yang disembunyi adalah rentetan daripada skandal-skandal sebelum ini.

Bagaimanapun, tulisan pendek ini bukanlah mengenai benar atau tidak Pandora Papers, tetapi sekadar memetik situasi dan ruang-ruang kosong yang berkemungkinan menjadi pemangkin berlakunya pelanggaran akhlak dan moral.

Sebenarnya, bukanlah suatu yang baharu bahawa sesetengah syarikat di luar pesisir adalah pelindung kekayaan yang diperoleh daripada kegiatan ekonomi hitam (black economy).

Hal ini bukan rahsia lagi. Tetapi semacam diberi kekebalan kepada syarikat berkenaan untuk menyelamatkan harta yang diperoleh dengan cara yang bertentangan akhlak dan moral.

Ekonomi hitam tidak menyumbang pada pembangunan dan kelestarian ekonomi, sebaliknya untuk kepentingan individu atau kelompok tertentu.

Bagaimanapun, bagi yang hilang akhlak dan moral, ekonomi hitam adalah lubuk emas untuk mengaut kekayaan luar biasa dalam masa singkat.

Dalam berdepan simptom era keruntuhan tamadun, manusia menjadi begitu haloba dan materialistik.

Mereka mengumpul kekayaan tidak kira putih atau hitam seolah-olah seperti kata penyair Indonesia, Chairil Anwar, “Aku ingin hidup seribu tahun lagi.”

Berlakunya skandal melibatkan jumlah wang begitu besar memperlihatkan wujudnya pelanggaran moral dan akhlak dalam kalangan pemimpin dan elitis ekonomi politik.

Maka hilangnya kedudukan akhlak dan moral itu menjadi petanda kehidupan kita memasuki era keruntuhan tamadun dunia moden.

Walaupun secara munasabahnya jauh lebih banyak orang berakhlak berbanding tidak berakhlak.

KECIL

Bagaimanapun, sekiranya tidak berakhlak itu dalam kalangan pembuat dasar atau pemimpin utama, kerosakan berlaku adalah besar dan memberi kesan yang merosakkan kepada masyarakat dan negara.

Hal ini belum pernah berlaku sebelum dekad-dekad terakhir abad ke-20 hingga dua dekad awal abad ke-21.

Pada dekad terakhir abad ke-20, Barat memperkenalkan globalisasi dan dijaja sebagai zaman pembaharuan dan kemodenan yang belum pernah wujud sebelumnya. Dunia menjadi semakin ‘kecil’ apabila pergerakan komunikasi dan maklumat pantas.

Bagaimanapun, globalisasi tidak hanya membawa kemajuan komunikasi dan maklumat. Datang bersama-sama globalisasi ialah nilai-nilai materialisme yang menjadi teras penting kehidupan moden.

Globalisasi menjadikan dunia ini sebuah perkampungan besar yang mengamalkan nilai hidup materialisme dan modenisme.

Antaranya nilai materialisme yang keterlaluan dan sekali gus menolak pertimbangan akhlak dan moral dalam hampir semua bidang kehidupan.

Globalisasi yang dicanangkan sebagai zaman pembaharuan sebenarnya adalah pembudayaan sekular Barat yang membentuk nilai-nilai baharu tanpa akhlak dan moral.

Hal demikian ditambah lagi dengan sistem kapitalisme yang tidak terpimpin, manusia menjadi begitu pelahap serta kemaruk kekayaan.

Pada masa sama, berkiblatkan materialisme sebagai tanda aras kehidupan moden abad ke-21.

Maka kalau benar sekalipun pendedahan Pandora Papers, ini hanya satu daripada sekian banyak yang mungkin muncul selepas ini.

Bagaimanapun, dalam kalangan elit yang mengawal ekonomi dan politik di dunia, pendedahan seperti ini tidak memberikan kesan besar kepada kehidupan mereka.

Undang-undang sukar ditegakkan. Mereka licik mempergunakan undang-undang. Malah masyarakat di seluruh dunia juga telah dinormalisasi bahawa pelanggaran akhlak sebuah mercu tanda pembaharuan.

Keruntuhan tamadun dalam bidang ekonomi ini ditunjukkan dengan berleluasanya amalan penipuan, penyelewengan serta riba yang sangat menindas dalam sistem perekonomian dan perniagaan.

Tidak cukup setakat itu dan ditambah dengan lebarnya jurang antara yang kaya dengan miskin.

Bidang ekonomi dan politik sentiasa terdedah dan mendedahkan pelanggaran akhlak dan moral seterusya menjurus pada berlakunya skandal demi skandal.

Sekali lagi jurang kaya dan miskin melebar – rakyat biasa tidak teranjak kedudukan sosioekonomi tetapi elit ekonomi politik bertambah-tambah kekayaan.

Negara kita juga tidak terlepas daripada dipengaruhi oleh racun ideologi materialisme yang membawa kepada keruntuhan tamadun.

Di sekitar kehidupan kita hari ini, hampir setiap hari dilingkari oleh news feed daripada segenap media mengenai berlakunya penipuan, penyelewengan dan rasuah yang melibatkan kelompok elit ekonomi politik.

Daripada yang terpapar itu, kesimpulannya ialah kita tidak terlepas daripada turut menyumbang kepada keruntuhan tamadun moden dunia.

Elit ekonomi politik yang banyak beretorik pasal akhlak dan moral, semakin galak menjadi tidak berakhlak. Inilah sebuah keruntuhan yang sangat sukar untuk dibendung.

PENULIS ialah Editor Kuseman.com.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×