Perkahwinan merupakan fitrah semulajadi manusia, setiap insan pasti ingin merasai sentuhan cinta dan kasih sayang dari orang lain. Salah satu tujuan dan matlamat perkahwinan dalam Islam ialah untuk membiakkan zuriat seperti yang tercatat dalam surah An-Nisaa ayat 41.
Selain itu, kelebihan berumah tangga ini banyak, antaranya dengan keberkatan anak soleh sebagai tiket masuk ke syurga seperti sabda Nabi saw dalam hadis riwayat Ibnu Majah dan Ahmad:
Sesungguhnya seseorang itu akan dinaikkan darjatnya di syurga kelak. Maka ia berkata: Bagaimana ini boleh terjadi? Lantas dikatakan: Itu kerana anakmu meminta keampunan untukmu.
Ternyata perkahwinan dalam Islam merupakan suatu tuntutan. Namun, bercakap dalam suasana era teknologi yang serba canggih pada masa kini, manusia dilihat semakin tidak berminat untuk membina mahligai rumah tangga, sebaliknya memilih untuk bersendirian atau paling tidak menangguh perkahwinan dalam tempoh yang lama seperti yang berlaku di negara-negara Eropah.
Lebih malang lagi apabila barah ini turut menjalar masuk ke dalam kalangan umat Islam di negara ini berdasarkan beberapa laporan yang menunjukkan peningkatan bujang terlajak sejak beberapa tahun lalu. Itu belum lagi ditambah dengan kes-kes perceraian dalam kalangan bangsa Melayu yang sangat merunsingkan.
Bulan lepas, Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob sewaktu berucap di Parlimen melaporkan sebanyak lebih 66,000 kes perceraian membabitkan pasangan Muslim sejak Mac 2020 hingga bulan Ogos lepas sementara kes perceraian membabitkan bukan Islam dicatatkan pada angka lebih 10,000 kes.
Sebenarnya, kalau diperhatikan, masalah bujang terlajak ini bukan sahaja disebabkan sikap suka memilih yang keterlaluan. Bagi mendapatkan gambaran dengan lebih jelas lagi, penulis berjaya menemuramah seorang pakar mencari jodoh di Malaysia, Joanne Ng, 37.
SEMBUNYI SEBALIK SKRIN KOMPUTER
“Masalah besar yang berlaku pada masa kini ialah kebanyakan daripada kita bersembunyi di sebalik skrin komputer dan telefon sehingga menyebabkan berlakunya kegelisahan (anxiety) ketika berhadapan dengan seseorang secara bersemuka,” kata Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Dateworks,Joanne Ng.

Dateworks, sebuah syarikat yang memfokuskan pencarian jodoh secara langsung. Ng mengambil keputusan untuk menyertai syarikat itu pada 2015 kerana merasa semakin bimbang melihatkan masalah kesepian dan bujang terlajak dalam kalangan masyarakat Malaysia yang serius. Dengan usaha ini, beliau dapat mencari penyebabnya kerana bertemu dengan pelbagai jenis pelanggan serta berusaha untuk membantu mereka berhadapan dengan kegelisahan tersebut.
“Ada pelanggan yang sama sekali tidak boleh berkomunikasi kerana perasaan malu yang keterlaluan dan kurang berpengalaman dalam interaksi bersemuka. Kami akan mengajar mereka cara untuk berkomunikasi dengan baik dan bagaimana untuk menjadi lebih berkeyakinan,” katanya.
Sejak penubuhan Dateworks pada 2017, syarikat tersebut telah menjalankan berpuluh-puluh ribu temujanji dengan sekitar beribu pasangan berjaya membina mahligai.
Menariknya, terdapat juga dalam kalangan mereka yang berkahwin campur. Kejayaan ini sudah tentu merupakan satu petanda baik dalam mengeratkan hubungan sesama kaum di Malaysia.
WANITA MELAYU TERBUKA
“Saya perhatikan wanita Melayu kini, jauh lebih terbuka, berpendidikan tinggi dan mempunyai kerjaya yang baik. Sebaliknya, sebahagian daripada lelaki Melayu, kurang bersedia menerima pasangan yang mempunyai status kerjaya yang setara atau lebih tinggi daripada mereka.
“Pemikiran seperti ini patut digantikan dengan pemikiran yang lebih luas dan progresif. Malaysia adalah sebuah negara yang membangun dan moden namun, masih menjunjung tinggi nilai dan kebudayaan masing-masing,” katanya.
Dari lebih 30,000 pelanggan, sekitar 55 peratus adalah daripada kalangan wanita. Purata umur bagi kesemua pelanggan lelaki dan wanita adalah dari 28 ke 60 tahun ke atas.
TAK LAYAN TAMBAH ISTERI
Ng bagaimanapun agak kecewa dengan permintaan segelintir lelaki Melayu berusia sekitar 40 dan 50-an yang ingin mencari isteri kedua tanpa pengetahuan isteri pertama. Malah permintaan tersebut sama sekali tidak dilayan.
Selain itu, kriteria lelaki Melayu yang turut ditolaknya termasuklah menginginkan wanita jenis menyerah (submissive) sepenuhnya.
“Kami turut mendapat pelanggan Melayu janda yang berusia dalam 20-an. Mereka berkahwin seawal usia 20 kemudian rumah tangga ditimpa masalah lalu bercerai. Realiti kita lihat di internet, sama sekali tidak sama di dunia sebenar. Jadi jangan mudah terperangkap dengan tayangan palsu perkahwinan bahagia yang dilihat di media sosial kerana ia akan membuatkan anda merasa ingin berkahwin tanpa pengetahuan yang mendalam yang mengakibatkan berlakunya banyak masalah,” kata Ng panjang lebar.
Gembira jadi pencari jodoh
Sejak menceburi bidang ini pada 2015, Ng mengakui gembira dengan perkembangan minda masyarakat yang terbuka dan lagi terkurung dek pemikiran kolot dan ketinggalan zaman.
Di mana peranan perempuan adalah sekadar untuk berkahwin, memberi cahaya zuriat dan menjaga rumahtangga sahaja. Peranan lelaki pun bukanlah sekadar untuk mencari nafkah, sebaliknya turut melibatkan diri dalam hal ehwal keluarga.
“Bagi mereka yang serius dalam mencari pasangan hidup, anda boleh mendapatkan khidmat kami. Dateworks, terdiri dari kalangan profesional yang akan melakukan penelitian terperinci terhadap diri anda terlebih dahulu sebelum mengaturkan pertemuan dengan pasangan yang bersesuaian.
“Jangan malu dan jangan segan kerana kelak anda akan hidup keseorangan seumur hidup. Setiap masalah pasti ada jawapan dan untuk mendapatkan jawapan tersebut, maka anda kena berusaha. Cinta adalah suatu perasaan yang istimewa dan bernikah adalah kemuncaknya,” katanya.










