Dahulu ikan laga banyak ditemui di kawasan parit terbiar atau bendang di kampung. Biasanya kanak-kanak suka menangkapnya untuk dijadikan mainan atau dibela sebagai haiwan peliharaan.
Botol plastik kosong jadi pilihan untuk menyimpan ikan laga ini.
Kini ikan laga bukan lagi ikan ‘biasa-biasa’ kerana ia sudah jadi hobi mahal. Pengumpulnya juga sanggup berhabisan wang untuk mendapatkan pelbagai spesies ikan laga yang cantik dan jarang ditemui.
Muhammad Azhar Nordin, 29, antara pencinta ikan laga. Kecintaannya itu baharu saja berputik pada sejak Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 2.0 lalu. Walaupun kediamannya tidak seluas mana tetapi itu bukanlah alasan memelihara ikan laga. Balang kaca dan plastik serta laci yang diubah fungsi ini antara dekorasi menghiasi ruang.
Bercakap kepada Utusan Malaysia, Muhammad Azhar berkata pada mulanya dia meragui keputusan membela ikan laga sebagai hobi lantaran ruang di kediaman flat kos rendahnya hanya berkeluasan 689 kaki persegi.
“Kemudian saya terfikir, apa guna minat saya dalam seni reka bentuk dalaman tidak digunakan dalam merealisasikan hobi baru ini. Saya mengambil peluang menggabungkan hobi membela ikan laga dan seni reka bentuk dalaman. Keputusan itu amat tepat kerana saya mampu mewujudkan hiasan dalaman yang memberikan keselesaan kepada saya,” katanya.
Ikan laga bersaiz sederhana diletakkan di dalam balang kaca, ikan bersaiz besar pula dipelihara di dalam balang plastik manakala anak ikan pula ditempatkan di dalam laci kanak-kanak yang diubah fungsi.
200 ekor ikan induk
Pegawai Penguatkuasa di salah sebuah syarikat badan berkanun di Johor Bahru mengakui hobi itu adalah ilmu dan pengalaman baru untuk dirinya.
“Ikan ini menjadi trend semasa. Namun saya suka sebab ia memberikan impak positif pada mood dan terapi buat diri saya,” katanya.
Mengulas mengenai pencetus hobi itu, katanya ia bermula daripada rakan serumah yang membeli seekor ikan laga ini sebagai ikan hiasan. Lama kelamaan hobi itu menjangkiti dirinya.

Sehingga kini beliau telah memiliki lebih kurang 200 ikan laga dewasa atau induk. Ini tidak termasuk anak-anak ikan laga yang dibiakkan sendiri. Antara spesis ikan laga dimiliki ialah crown tail, super gold 24k dan dumbo halfmoon. Ikan dibeli pada harga antara RM5 hingga RM150 seekor.
Memandangkan ikan laga yang dibela Azhar banyak, dia hanya memanggil semua ikan berkenaan dengan nama baby saja.
Timba ilmu daripada penjual ikan laga
Azhar memperuntukkan lebih kurang RM60 per kilogram untuk kos makanan bagi ikan dewasa. Makanan berbentuk palet itu boleh bertahan hingga empat bulan memandangkan ikan laga ini tidak makan banyak.
Bagi ikan laga yang berumur tiga hingga 30 hari pula, makanan yang diberi adalah berbentuk Baby Brine Shrimp (BBS). Ia turut dikenali sebagai telur Artemia. Harga makanan itu dalam lingkungan RM7.00 per 10 gram dan ia boleh bertahan sehingga sebulan.

Azhar banyak belajar sebelum membela ikan laga. Sejak mula berkecimpung dan meminati hobi ini ada beberapa penjual ikan laga yang sering beliau rujuk bagi mendapatkan info dan tips berguna.
“Mereka tidak kedekut dalam berkongsi ilmu. Selain menimba ilmu daripada penjual ikan laga sekitar Johor Bahru, medium lain seperti YouTube juga menjadi pilihan saya untuk mempelajari cara memelihara dan membiakkan ikan ini,” katanya.
Bagi mereka yang baru atau ingin berkecimpung dalam hobi yang semakin popular ini, nasihat Azhar mereka haruslah sedikit sebanyak menimba ilmu berkaitan ikan laga terlebih dahulu.
“Belajarlah ilmu ini samada daripada orang yang lebih berpengalaman atau secara online kerana setiap apa yang ingin kita ceburi itu perlu mempunyai ilmu bersama selain minat dan kesungguhan,” katanya.
Dropsy penyakit maut
“Lebih kurang 30 ekor ikan laga saya mati dan antara penyakit yang selalu menjangkiti ikan ini adalah dropsy. Penyakit ini sering disebut sebagai penyakit maut bagi ikan laga kerana penyakit ini susah untuk diubati,” katanya mengulas mengenai cabaran.
Menjelaskan lebih lanjut katanya antara simptom jangkitan ialah perut ikan menggembung dan sisiknya terbuka atau kembang seakan kulit nanas.
“Dropsy mungkin juga berpunca daripada samada kualiti air yang kotor atau kandungan ammonia yang tinggi dalam air. Malah sisa makanan hidup seperti cacing, kutu air dan jentik-jentik, yang diberikan kepada ikan laga yang tidak dibersihkan pun, antara dikenali sebagai punca penyakit ini,” katanya.









