Politik dan bola sepak, mana boleh campur! - Santokh Singh - Utusan Malaysia

Politik dan bola sepak, mana boleh campur! – Santokh Singh

Datuk Santokh Singh-MINGGUAN/FARIZ RUSADIO
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

DAHULU, bola sepak menjadi medan menyatukan masyarakat pelbagai kaum. Malah lebih membanggakan, ia juga melahirkan barisan wira sukan yang mengharumkan nama negara.
Misalnya, arwah Datuk Mokhtar Dahari, yang baru-baru ini dilaporkan menjaring 85 gol, sekali gus melayakkan beliau menduduki tempat ke-3 ‘All Time International Goal Scorer’.
Tapi kini, ibarat Singapura dilanggar todak, bola sepak negara menjadi sendu tak berlagu. Bagi menyelami cerita suram dunia bola sepak tanah air, wartawan Mingguan Malaysia, Roshihan Annuar Yub, Fahmi Faiz bersama jurugambar Muhammad Fariz Rusadio bertemu bekas pemain pasukan negara yang pernah membawa Malaysia ke Temasya Olimpik Munich pada 1972. Beliau yang dimaksudkan ialah Datuk Santokh Singh, 68, yang dahulu pemain pertahanan yang terkenal dengan aksi lincah atas padang.
Dalam wawancara eksklusif ini, beliau berkongsi cerita suka duka sepanjang bersama ahli pasukan, dengan hanya satu niat iaitu mengharumkan nama Malaysia.

MINGGUAN: Perkembangan terkini Datuk?
DATUK SANTOKH SINGH: Saya macam ini sahaja, sudah bersara dan kini jadi duta untuk Petaling Jaya CT Football Club (PJCT). Yang kini beraksi untuk Liga Premier. Saya menjadi duta mereka sejak empat tahun dahulu. Waktu itu namanya Malaysian Indian Football Association (MIFA).
Pemain kelab ini bukan saya yang bangunkan dan rekrut, sebaliknya mereka ambil pemain dari MIFA bermain untuk PJCT, jadi dari situ saya latih. Saya tidak terlibat dalam pemilihan semua lah.

‘SUPER MOKH’ DALAM KENANGAN

Baru-baru ini, media melaporkan arwah Mokhtar Dahari (Super Mokh) sebenarnya sudah jaringkan 85 gol, melayakkan beliau menduduki ranking ke-3 All Time International Goal Scorer. Komen Datuk?
Saya pun tak sangka yang dia berada di tempat ketiga. Ini sebenarnya satu kebanggaan untuk negara dan seluruh pemain bola sepak.

SUKAN BUKAN LAGI ELEMEN PERPADUAN?

Kenapa bola sepak sekarang tak mampu satukan masyarakat majmuk berbanding dahulu?
Itu susah saya nak jawab. Tapi kalau boleh berterus terang, kami main bola hanya untuk satu sebab. Iaitu untuk mengharumkan nama negara. Pada masa sama, kita main untuk harumkan nama negeri masing-masing.

Jadi sejauh mana langkah yang boleh diambil untuk kembalikan bola sepak sebagai medium solidariti rakyat?
Ini semua kalau hendak dicapai, ia harus digalas oleh setiap individu dan pihak atasan. Dalam konteks luas, kelab-kelab negeri serta Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) perlu duduk dan bincangkan agenda ini dengan teliti, untuk kembalikan bola sepak sebagai medium menyatukan masyarakat majmuk di Malaysia.

PENGALAMAN OLIMPIK MUNICH

Pengalaman Datuk bantu Malaysia ke Olimpik Munich 1972?
Bila kita bermain waktu itu, kita bermain sebagai satu pasukan dan satu keluarga. Bukannya macam, “oh kamu Melayu, kamu dengan kaum kamu, you Cina you dengan kaum Cina atau sebagainya”.

Apa formula boleh bersatu padu, adakah faktor jurulatih waktu itu?
Bukan jurulatih, tapi pemain-pemain waktu itu. Saya masih ingat dahulu, pagi-pagi kami bangun tidur, kami nyanyi lagu Negaraku. Dia punya semangat waktu itu memang lain sangatlah. Faktor jurulatih juga mainkan peranan macam Karl-Heinz Weigang, serta jurulatih tempatan, mereka yang nasionalis ini melatih kami.
Waktu itu kami para pemain, duduk dalam dormitari sebagai satu pasukan. Jadi kamu nampak apa yang orang lain buat, apa yang dia makan, semua itu sekali gus rapatkan hubungan kami sebagai satu keluarga.
Tapi sekarang, centralized training duduk dalam hotel! Kalau kamu duduk dalam hotel, apa kamu buat dalam itu, ahli pasukan lain tak tahu. Macam mana nak ada semangat majmuk?

GAJI PEMAIN BOLA DULU

Dulu berapa gaji dan elaun pemain bola sepak?
Kita main bukan sebab gaji, kita main sebab semangat. Saya kerja PKNS waktu itu, kita main bola dan kerja. Bukan macam sekarang, sekarang punya pemain semuanya profesional sepenuh masa.
Ada beza, memang kalau pemain bola sepenuh masa, pagi kamu ada latihan, petang ada latihan.

Bagaimana pemain dahulu bahagi masa kerja dan berlatih, sebab dahulu pemain bola bukan karier sepenuh masa?
Waktu itu disiplin memang dititikberatkan. Kita ada time off, macam saya kerja PKNS, orang lain kerja MCIS tetapi waktu training kita diberikan pelepasan, lepas latihan kita balik semula tempat kerja, lepas itu dalam pukul 3 atau 4 petang, kita pergi padang latihan semula.

POLITIK DAN BOLA KENA PISAH?

Bila Datuk mula perasan industri bola kita merudum?
Saya ingat, industri bola kita merosot sejak 1985 dan 1986. Faktornya saya tak begitu pasti, susah nak cakap. Tapi macam saya cakap tadi, kelabu mata akibat wang ringgit serta faktor disiplin.

Isu campur tangan politik dalam bola sepak?
Sepatutnya politik dan bola sepak tak boleh dicampur satu sama lain. Namun dalam konteks pihak istana dan orang politik, dia boleh jadi presiden sebab kita nak mudahkan urusan penajaan (sponsorship). Tetapi untuk look after the team, saya rasa seeloknya orang yang memang arif dengan bola sepak

Isu kapitalis dan oportunis kawal bola sepak?
Itu pasal saya cakap tadi, kalau mereka langsung tidak tahu apa-apa tentang bola sepak, kita tidak boleh benarkan mereka kuasai industri! Mereka boleh terlibat dalam urusan penajaan, tapi jangan kawal industri atau tentukan kaedah bagaimana nak menguruskan pasukan.

Isu gaji tertangguh?
Gaji sepatutnya jadi keutamaan. Jika kamu tidak bayar gaji pemain, memang lah pemain akan ‘masuk’kan (duit) ikut cara lain. Mereka akan sell the game, rasuah akan bermaharajalela. Kalau tak dapat gaji, nak bayar duit rumah macam mana?
Zaman saya dahulu memang ada isu, tetapi boleh diselesaikan. Misalnya, saya kerja di PKNS. Setiap bulan saya ada gaji, elaun sahaja yang dapat tambahan. Kalau ada kutipan tiket yang tinggi, mereka beri elaun serta bonus. Waktu itu bolehlah dapat RM30 sehingga RM200. Amaun itu berpatutan, tidak besar. Tapi sekarang dia punya bonus RM1,000 sampai RM3,000. Adakala mencecah RM30,000.

KEMEWAHAN JEJASKAN PRESTASI?

Kenapa pemain luar negara boleh berprestasi cemerlang dan tak hanyut oleh imbuhan dan gaji?
Mereka tahu cara nak simpan duit. Saya tengok pemain kita, kalau dapat gaji RM50,000 benda pertama yang dibeli adalah kereta mewah. Lepas itu, cari teman wanita kelas tinggi, berfoya-foya. Tapi apa jadi bila kamu sudah tak dapat gaji? Mereka akan hadapi masalah kewangan dan jejaskan prestasi permainan.
Apa salahnya beli kereta kecil, kamu cuma nak bergerak dari point A ke point B sahaja, tapi sebaliknya kamu nak tunjuk pada orang lain, “oh saya bawa kereta mewah”, buat apa?
Kalau saya sendiri, saya nak beli rumah. Kalau boleh saya beli dua, tiga rumah. Sebab saya tahu, lepas saya tak boleh bermain bola lagi, saya tetap akan ada tempat untuk duduk berteduh. Kena ingat, jangka hayat pemain dalam industri bola sepak tidak lama. Lebih kurang 10 tahun sahaja jangka hayat dalam industri.

Pemain dulu pula macam mana?
Pemain dulu, mana pernah dapat gaji tinggi macam sekarang. Tapi, boleh hidup sebulan dengan pendapatan RM180 pada 1972. Itu gaji pertama saya di PKNS. Waktu itu naik bas, tambangnya 5 sen, ada yang 10 sen. Sekarang RM 1, ada yang RM2. Tapi sekarang, gajinya besar. Pokoknya, kita kena pandai uruskan kewangan.
Sepatutnya semua kena tahu lah. Ini kemahiran paling asas dalam hidup. Ada kahwin artis, kalau nak kahwini artis boleh. Tapi kena jaga artis itu, bukan artis itu yang jaga kamu. Kamu nak pergi makan, nanti jangan isteri cakap, “eh, saya nak makan di hotel”. Kamu pergi kedai tepi jalan sudah lah. Kena pandai cari pasangan hidup juga.
Bermewah itu boleh, tapi jangan sampai satu hari, langsung tiada duit. Nasihat saya kepada pemain-pemain, pertama sekali kena beli rumah, jangan beli kereta dan lain-lain. Jurulatih perlu nasihat, tapi kadang-kadang mereka pun nak bermewah macam mana?

GAJI SILING PEMAIN

Isu FAM syorkan gaji siling untuk pemain-pemain bola?
Mesti kena ada gaji siling, tetapi kadang-kadang di belakang mereka bagi lebih. Namun gaji siling ini memang patut dilaksanakan. Tapi kalau nak bayar lebih, itu hak masing-masing. Semua bergantung kepada prestasi. Tapi ada juga kes, pemain sendiri buat masalah. Dan saya ingat isu memberi kewarganegaraan kepada pemain luar di Malaysia ini kena pantau rapi. Kerajaan tak boleh semudah itu beri kewarganegaraan. Kita masih ada pemain tempatan yang bagus-bagus.

HUBUNGAN DENGAN PASUKAN LAMA

Hubungan dengan rakan lama dalam bola sepak?
Kami masih berhubung, sebab kami ada satu organisasi yang dikenali sebagai Malaysian Ex-International. Kita ada satu persatuan, Presiden ialah Datuk Soh Chin Aun, lepas itu ada Thanabalan (Datuk Thanabalan Nadarajah), semua pemain lama lah.
Tiada gerak kerja korporat (CSR) bagi persatuan ini, cuma kadang-kadang macam Sabah panggil kita main, kita pergi. Sarawak panggil, kita sertai. Veteran punya team. Saya tak main, tapi saya galas tugas sebagai pengurus.
Saya dah hampir 14, 15 tahun tak main bola sepak. Langsung tak turun padang. Bukan sebab apa, tapi saya takut jejaskan kesihatan. Saya kini 68 tahun, dan macam kamu tanya kenapa saya masih nampak tegap, sebab sudah berhenti minum alkohol.

Cerita belakang tabir di bilik persalinan dulu? Ada kena maki hamun dengan jurulatih?
Kalau kalah, kena marah dengan jurulatih itu perkara biasa. Tetapi yang lebih banyak kena marah sesama pemain dalam pasukan dulu lah. Soh Chin Aun, Arumugam, Mokhtar Dahari, mereka marah atas kesalahan dan sebab yang mengakibatkan kita kalah. Tapi tidak lah bergaduh, lepas keluar dari bilik (persalinan), semua habis. Ini cerita kesalahan atas padang, cerita dalam dressing room lah. Bila keluar, kita semua kawan.

MINYAK BABI DI TIANG GOL

Kenapa pemain kita tak boleh bertahan lama di luar negara?
Antara faktor adalah makanan, budaya dan persahabatan. Kita dah biasa makan nasi lemak, roti canai kari kambing. Dulu kami ada juga makan benda-benda ini, tapi latihan kami lain. Dulu mana ada dietitian, mana ada weight training.
Latihan dulu, kami angkat orang lain, kemudian lari keliling padang. Dulu mana ada latihan fisio, gym semua? You injured, you pergi jumpa bomoh. Dia urutkan.
Dulu kami pernah lawan satu negeri, ambil minyak babi (tertawa) kemudian letak pada tiang gol. Waktu itu ada orang syorkan, kita pun ikut sahaja. Tapi bukan orang Melayu yang pergi taruh, tapi yang taruh saya dengan Arumugam. Kalau menang waktu itu, kita mengaku taruh minyak itu, kalau kalah semua diam lah.

KELUARGA

Ada ahli keluarga main bola?
Tiada, langsung tiada. Mereka tak minat. Kedua-dua anak saya tak minat sukan. Saya juga tidak desak dan paksa mereka untuk minat sukan.

Harapan Datuk?
Kalau boleh, saya harap kerajaan dapat mengenang jasa pemain-pemain dahulu, terutama yang pernah harumkan negara ke persada dunia.
Ini khususnya kepada pemain tanah air yang bawa pasukan kita ke Olimpik di Munich 1972. FAM atau mana-mana pihak berwajib, boleh beri insentif kepada pemain skuad Olimpik waktu itu. Kalau sudah meninggal dunia, salurkan ia kepada ahli keluarga lain. – Mingguan Malaysia

 

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×