MUKADIMAH
TELAHAN Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang) bahawa Memorandum Persefahaman (MoU) Transformasi dan Kestabilan Politik antara kerajaan dan Pakatan Harapan (PH) tidak memberi manfaat kepada rakyat mungkin ada benarnya.
Ketika pejabat Ketua Pembangkang semakin hebat apabila dinaik taraf status setara dengan pejabat menteri, penduduk Melaka menghadapi nasib sebaliknya kerana kemungkinan besar mereka terpaksa mempertaruhkan nyawa untuk mengundi dalam keadaan belum selamat sepenuhnya daripada Covid-19.
Dalam wawancara dengan wartawan Utusan Malaysia, NIZAM YATIM secara dalam talian kelmarin, Timbalan Presiden Pejuang, DATUK MARZUKI YAHYA berpendapat MoU itu tidak membawa kestabilan politik seperti disangka kerana tidak mengikat ahli-ahli politik di peringkat bawahan.
UTUSAN: Boleh komen tindakan empat Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) di Melaka yang menarik balik sokongan kepada Ketua Menteri?
MARZUKI: Saya lihat kemelut politik yang berlaku di Melaka telah menjadi macam satu trend. Bila ada ketidakpuasan atau berlaku perselisihan faham, maka jalan penyelesaiannya adalah dengan melompat atau menjatuhkan kerajaan sedia ada.
Ini bukan sahaja berlaku di Melaka tetapi juga terjadi di peringkat nasional yang mana tidak pernah berlaku sebelum ini.
Jadi, ia adalah satu masalah dihadapi oleh negara kita yang mana ahli politik waima ahli Parlimen ataupun ADUN sudah tidak lagi memikirkan soal permasalahan yang kita hadapi sebaliknya diutamakan hanya kuasa dan kedudukan mereka sendiri.
Ini tidak sepatutnya berlaku pada saat rakyat menghadapi pelbagai masalah. Antara masalah paling besar adalah bagaimana rakyat ingin memulakan kehidupan setelah melalui pelbagai cabaran dan masalah Covid-19 selama hampir dua tahun.
Ramai dalam kalangan kita yang terkesan terutama dari segi ekonomi dan sosial. Hari ini kita lihat lebih 27,000 orang meninggal dunia membuatkan ramai yang terpaksa menjadi anak yatim dan mengharungi hidup dengan pelbagai permasalahan.
Kita tahu pandemik ini banyak menjejaskan ekonomi, maka dengan itu saya rasa walaupun (bergiat dalam) parti politik, kita tidak boleh berpolitik sepanjang masa.
Kita gunakan politik untuk menjamin kehidupan dan masa depan rakyat tetapi hari ini kita nak jadikan platform parti ataupun politik sebagai kuasa ataupun mata pencarian, maka saya rasa ini patut kita hindarkan.
Apa yang berlaku pada masa ini (di Melaka) adalah satu daripada tindakan yang saya dapat katakan di sini ia lebih berbau politik daripada penyelesaian masalah.
Perkara ini berlaku setelah MoU ditandatangani antara kerajaan dan PH?
Saya tidak faham juga sebenarnya apa yang telah berlaku. Ini bererti MoU itu hanya lebih kepada kepentingan peribadi seseorang, bukan menyeluruh tentang soal keputusan ahli-ahli politik di peringkat bawahan.
Apa yang kita tahu, MoU ini juga lebih kepada Perjanjian Keyakinan dan Perbekalan (CSA) yang mana Pejuang memang berpendirian ia berbentuk rasuah.
Kita tahu Tun (Dr. Mahathir Mohamad) sendiri telah mengeluarkan kenyataan bahawa CSA ini adalah sebahagian daripada rasuah. Diberi sedikit peruntukan untuk menyokong kerajaan. Ini berlawanan dengan prinsip perjuangan parti.
Baru-baru ini Presiden Pejuang, Datuk Seri Mukhriz Tun Mahathir menolak tindakan UMNO untuk mengadakan Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka?
Ya, sebab kita beranggapan jalan penyelesaian untuk mengadakan PRN ini bukan masanya lagi pada saat rakyat baru nak memulakan kehidupan.
Kita ambil iktibar apa yang berlaku di Sabah. Pada waktu itu, saya rasa kes Covid-19 hanya tiga angka tetapi selepas berlakunya pilihan raya di negeri itu, kita lihat bagaimana penularan pandemik merebak ke seluruh Semenanjung yang mana kes meningkat sehingga empat angka dan berterusan puluhan ribu.
Kita takut perkara sama berulang. Bukan bererti kalau kita mengambil dua dos vaksin ini kita terlepas daripada dijangkiti.
Kita takut virus-virus baharu ini boleh menular sewaktu berkempen. Ini akan menjejaskan lagi kedudukan kesihatan dalam negara kita dan mungkin boleh berlarutan sehingga kita terpaksa membuat penutupan lagi dan mungkin akan menyebabkan lebih banyak terkesan.
Sebab itu, pendirian Presiden Pejuang selari dengan keputusan parti bahawa kita tidak bersetuju dengan cadangan yang telah dibuat oleh UMNO untuk membubarkan Dewan Negeri Negeri (DUN) Melaka.
Keputusan ini dibuat tanpa menghiraukan kepentingan rakyat. Ini amat tidak patut dilakukan dan saya melihat UMNO lebih menumpukan kepada kuasa dan jawatan, bukan masalah rakyat.
Bekas Timbalan Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), Datuk Seri Wan Ahmad Wan Omar menyatakan PRN boleh diadakan kerana badan itu kini lebih bersedia dan Melaka hanya mempunyai 28 DUN?
Pada PRN Sabah, persoalan sama berbangkit dan jawapan sama juga oleh SPR. Covid-19 bukan berkaitan 28 DUN atau lima DUN tetapi berkenaan kontak rapat. Bila berlaku PRN, sudah pasti akan ada kempen dan perjalanan dari rumah ke rumah. Ini boleh membawa kesan untuk merebaknya lagi jangkitan.
Jangkitan Covid-19 ini bukanlah bergantung kepada jumlah DUN, sebaliknya ia lebih bergantung kepada jumlah orang yang berkeliaran di sekeliling kita. Ini masalah sebenar.
Adakah Pejuang akan meletakkan calon jika PRN Melaka tetap diadakan?
Sepertimana saya kata, memang kita tidak menyokong pembubaran DUN dan kemungkinan besar kita tidak akan menyertai PRN ini.
Walaupun parti belum lagi membuat keputusan tetapi dari segi pandangan peribadi, saya melihat ini akan menjadi kesan yang lebih buruk kepada kedudukan rakyat terutama penduduk Melaka.
Kita berpolitik ada masanya dan bagi saya ini bukan masa untuk berpolitik. Ini juga sejajar dengan keputusan yang kita ambil untuk tidak memihak mana-mana.
Dari segi naratif, kita lebih menumpukan kepada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) kerana bagi kita PRN ini mungkin akan membawa bencana kepada rakyat.
Terdapat dakwaan Pejuang cuba menarik empat ADUN di Melaka itu untuk menyertai parti?
Untuk pengetahuan, kita ada berjumpa dengan bekas Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Idris Haron dan Datuk Norhizam Hassan Baktee (Bebas-Pengkalan Batu) tetapi tidak ada sebarang tawar-menawar untuk menyertai Pejuang. Kita hanya mendengar apa yang sebenarnya berlaku di Melaka.
Buat masa ini, Pejuang tidak ada sebarang keputusan untuk menerima mana-mana ADUN yang melompat baru-baru ini.










