Ujian pertama UMNO - Utusan Malaysia

Ujian pertama UMNO

ADAKAH UMNO masih berpeluang membentuk kerajaan negeri Melaka jika berlaku pilihan raya negeri (PRN) nanti? – UTUSAN/RASUL AZLI SAMAD
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

RAMAI masih tertanya-tanya dengan isu pembubaran Dewan Undangan Negeri (DUN) Melaka. Adakah UMNO masih berpeluang membentuk kerajaan jika berlaku pilihan raya negeri (PRN) nanti?

Jika diamati, Melaka merupakan kubu kuat UMNO sebelum Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14). Tetapi selepas PRU-14, UMNO hanya berjaya merampas 13 kerusi DUN berbanding 18 dalam PRU-13.

Ini bermakna Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) berjaya merebut kerusi DUN di Paya Rumput dan Telok Mas. Perpecahan ahli UMNO pula menyebabkan PKR berjaya merebut kerusi DUN Rembia. Kerusi DUN Bukit Katil dan kerusi DUN Durian Tunggal dimiliki Parti Amanah Negara (Amanah).

Di sini nampaknya MCA terlalu lemah untuk berlawan dengan DAP dan kesemua lapan kerusi DUN tewas kepada Pakatan Harapan (PH). Natijahnya, kekuatan Barisan Nasional (BN) adalah amat bergantung kepada kekuatan UMNO.

Kini UMNO hanya mempunyai kekuatan di 10 kerusi DUN dan situasi mampu menang di tiga kerusi iaitu DUN Ayer Limau, DUN Lendu dan DUN Asahan. Sebaliknya jika UMNO benar-benar tidak berminat untuk bergabung dengan Perikatan Nasional (PN) mahupun Muafakat Nasional (MN), ini akan menjurus kepada kemungkinan Pas dan Bersatu bakal memiliki sekurang-kurangnya lima hingga tujuh kerusi DUN.

PH pula masih mampu mengekalkan lapan kerusi DUN disebabkan sokongan masyarakat Cina yang masih tidak beralih daripada DAP.

Mahu tidak mahu, UMNO berkemungkinan gagal membentuk kerajaan kerana kekurangan 14 kerusi DUN daripada 28 keseluruhan. Seterusnya, politik Melayu bakal berpecah dan lemah berbanding politik Cina yang masih utuh dan bersatu.

Ini menampakkan strategi beberapa Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) UMNO adalah sangat terburu-buru untuk menarik sokongan ke atas kepimpinan Menteri Besar Melaka yang dipimpin oleh UMNO. Malahan boleh dikatakan tindakan pembubaran DUN juga merugikan UMNO dalam keadaan keterpaksaan dan terburu-buru.

Dalam dunia politik, berunding dan tawar menawar merupakan kunci utama walaupun kesalahan tersebut memperlihatkan kelemahan beberapa ADUN UMNO.

Sebenarnya, krisis politik Melaka merupakan ujian pertama ke atas kepimpinan UMNO Pusat dalam mengendalikan tingkah laku ADUN supaya tidak berlaku dengan satu tindakan yang akhirnya merugikan peluang untuk parti itu memerintah semula. Manusia selalunya lemah dan mudah termakan dengan janji manis yang tidak pasti keberhasilannya.

Sebagai pemimpin pusat, pemulihan dan rawatan amat penting buat masa ini supaya tidak berlaku pembubaran DUN. Walaupun di peringkat pusat sudah terbentuk satu Perjanjian Keyakinan dan Perbekalan (CSA) tetapi situasi peringkat negeri tidak sama seperti yang berlaku di peringkat pusat.

Kebarangkalian UMNO perlu menghidupkan semula MN. Tetapi adakah Pas sanggup meninggalkan Bersatu dalam PN? Ini akhirnya menjadikan UMNO berada dalam situasi antara ditelannya bapa, diluahkan adalah emak.

MUSANG

Keputusan sebegini juga perlu melihat persepsi dan mood rakyat Melaka ke atas situasi politik yang berlaku di negeri itu. Bukan semua rakyat yang memilih UMNO dalam PRU-14 akan memilih semula UMNO untuk menjadi kerajaan. Bukan mudah tetapi tidak mustahil berlaku jika wujudnya pemboikotan ke atas PRN Melaka oleh ahli-ahli UMNO.

Jika pemboikotan berlaku, sudah pasti UMNO akan hanya memiliki sebahagian kecil kerusi DUN Melaka dan akhirnya berkemungkinan PH membentuk kerajaan negeri semula. Adalah lebih baik UMNO bergabung dengan Pas dan Bersatu demi kelangsungan politik kepartian UMNO.

Rakyat kini sentiasa melihat UMNO dibingkaikan dengan sifat gila kuasa, rasuah dan musang berbulu ayam. Walaupun pandangan dan persepsi ke atas UMNO masih belum terlewat untuk diperbaiki tetapi memerlukan keberanian kepimpinan pusat untuk merangka satu strategi keluar daripada pembingkaian negatif dalam media sosial.

Tidak ada cara lain kecuali UMNO sendiri menentukan hala tuju untuk pemulihan imej dan persepsi rakyat ke atasnya.

Kuasa saling silih berganti tetapi kaedah permainan politik di negara ini masih tidak berubah. Pas kini dilihat sebagai sebuah parti yang sudah diarus perdanakan berbanding sebelum ini yang melihat Pas adalah parti negeri Pantai Timur.

Tidak mustahil berkemungkinan Ahli Dewan Undangan Pas akan dipilih menjadi Ketua Menteri Melaka jika MN dan PN dihidupkan serentak mengikut situasi yang berlaku.

Bagi pandangan UMNO, sukar untuk memperbaiki imej dan persepsi rakyat jika parti itu masih mengutamakan kepentingan perut daripada kepentingan rohani dan akal.

Melalui pelaksanaan undi 18 tahun (Undi18) secara automatik bakal memberikan satu lagi cabaran baharu ke atas UMNO. Berkemungkinan UMNO akan dilihat sebagai sebuah parti lama yang masih berkiblatkan ketuanan Melayu dan bukannya ketuanan rakyat.

Kira-kira 30 peratus pertambahan pengundi ke atas sistem pendaftaran Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) Melaka. Pertambahan anak-anak muda hari ini yang lebih peka ke atas separuh isu yang sentiasa panas dan mempunyai pendidikan sekurang-kurangnya Sijil Pelajaran Malaysia (SPM).

Kebangkitan sokongan anak-anak muda yang melihat sebuah parti perlu ditubuhkan untuk menggantikan kelas sedia ada ini tidak mengira generasi X dan Y yang juga bakal mengundi turut mempunyai satu persepsi kurang baik ke atas UMNO. UMNO bukan lagi dilihat sebagai penyelamat masyarakat Melayu.

Sebaliknya UMNO dilihat lebih mengutamakan kepentingan agenda beberapa kepimpinannya daripada kepentingan agenda rakyat. Situasi inilah yang bakal menyebabkan UMNO dilihat kurang berupaya mempertahankan kerusi yang dimenanginya dalam PRU-14 lalu. Melainkan dengan sokongan beberapa parti dalam komponen PN yang mampu memberikan kekuatan kepada UMNO dalam membentuk kerajaan semula.

Tetapi mampukah UMNO bekerjasama dengan Bersatu jika berlakunya PRN Melaka nanti?

PROFESOR Dr. Mohd. Ridhuan Tee Abdullah ialah Pensyarah di Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA) dan Dr. Iskandar Hasan Tan Abdullah ialah Pensyarah di Universiti Teknologi Mara (UiTM).

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×