Kemahiran digital dalam pemasaran era IoT - Utusan Malaysia

Kemahiran digital dalam pemasaran era IoT

PERALIHAN era internet kebendaan (IoT) turut dikenali sebagai era lambakan maklumat. - GAMBAR HIASAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PERKEMBANGAN teknologi digital yang semakin berubah pantas sememangnya telah memberi pengaruh besar kepada trend gaya hidup kini. Ia turut mengubah budaya kerja, pemikiran serta tindakan sebahagian besar masyarakat serta membentuk pola peralihan pasaran yang meluas dalam memanfaatkan kelebihan digital sebagai platform penting untuk pelbagai urusan kehidupan.

Peralihan ini juga telah memberi kesan terhadap sektor perniagaan dan pasaran pekerjaan. Pelbagai kemahiran baharu kini semakin diperlukan oleh industri dalam mendepani cabaran persaingan arus digitalisasi. Peralihan era Internet Kebendaan (IoT) ini juga turut dikenali sebagai era lambakan maklumat atau information overloaded dan digital noise.

Ini menjelaskan keperluan terhadap kemahiran mengurus segala maklumat secara lebih terancang dan efektif. Atas faktor tersebut, terdapat beberapa kemahiran yang perlu dikuasai sebahagian besar perniagaan dan industri. Ia secara tidak langsung membuka peluang kepada bakat-bakat berkelayakan dalam menerobos pasaran pekerjaan dan keusahawanan era baharu.

Analisis Data Raya
Analisis Data Raya merupakan kemahiran mengurus, menganalisa dan menterjemah pelbagai data berskala besar. Pengumpulan data diperolehi daripada pelbagai sumber sama ada berstruktur atau tidak berstruktur, antaranya seperti blog, media sosial dan kaji selidik digital. Para penganalisa data juga perlu sentiasa cakna terhadap perubahan trend berdasarkan maklumat yang diperoleh. Ia menjadi aset dalam memahami realiti pasaran serta menyokong pengukuhan strategi-strategi baharu dalam persaingan digital.

Kepintaran Perniagaan
Mengurus Kepintaran Perniagaan (Business Intelligence) memerlukan kemahiran dalam memanfaatkan penggunaan perisian tertentu dan memahami algoritma untuk menganalisa realiti pasaran merangkumi analisis pelanggan, kecekapan operasi dan mengesan permasalahan perniagaan. Pengetahuan ini menyokong penambahbaikan dalam meningkatkan  produktiviti, nilai daya saing serta memacu pendapatan yang lebih baik melalui strategi pemasaran yang lebih efektif.

Pemasaran Kandungan
Elemen pemasaran kandungan sudah menjadi asas keperluan dalam memperkukuh kredibiliti penjenamaan serta hubungan pasaran. Kreativiti terus menjadi faktor terpenting dalam membina kandungan yang strategik sama ada dalam format penulisan, reka gra k dan video untuk pelbagai landasan digital bagi meluaskan capaian audiens dan membina pelanggan  setia. Kemahiran mengurus pemasaran kandungan terus menjadi keperluan kepada sektor perniagaan masa kini.

Periklanan Digital
Kemahiran mencipta dan mengurus strategi periklanan berbayar atau Paid Ads juga menjadi landasan penting kebanyakkan organisasi perniagaan. Dengan kadar persaingan digital  yang semakin meningkat, strategi perikanan berbayar seperti periklanan Google dan media sosial memerlukan pendekatan yang lebih taktikal dalam menarik lebih ramai audiens dan  prospek pelanggan yang tepat.

Pengalaman Pengguna
Aset penting penjenamaan dan kredibiliti perniagaan turut bergantung kepada pengalaman pengguna. Dalam perspektif digital, perniagaan kini perlu lebih prihatin dalam memahami pengalaman pengguna dalam urusan digital seperti laman sesawang, e-dagang dan media sosial. Kemahiran ini membantu motivasi pelanggan untuk urusniaga digital yang efisien dan  kos efektif.

Pengurusan Platform Digital
Kini terdapat pelbagai tawaran pekerjaan yang terkait dengan pengurusan platform digital seperti eksekutif media sosial dan seumpamanya bagi memperkukuh kelancaran jabatan pemasaran sesebuah perniagaan. Fokus kemahiran ini bukan sekadar berkongsi informasi kepada audiens tetapi membantu dalam memahami landasan digital yang bersesuaian dalam  menjana pelanggan (lead & conversion). Ia juga membantu menjana pengukuhan hubungan pelanggan setia dan membina kepercayaan jenama dengan impak yang lebih personal.

Justeru itu, kemahiran ini mampu meningkatkan lagi nilai daya saing sesebuah perniagaan disamping cakna terhadap keperluan pasaran. Memahami pola pasaran serta hubungan  komunikasi yang efektif menjadi faktor penting dalam pemasaran berorientasikan kepuasan pengguna kini dan masa hadapan.

PENULIS adalah perunding pemasaran bertauliah dan pakar pemasaran digital.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×