UMNO mahu 3 kerusi MCA - Utusan Malaysia

UMNO mahu 3 kerusi MCA

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MELAKA: Barisan Nasional (BN) dijangka berdepan kemelut pembahagian kerusi antara UMNO dan MCA dalam pilihan raya akan datang termasuk Pilihan Raya Negeri (PRN) Me­laka, berikutan perubahan demografi pengundi.

Beberapa kepemimpinan bahagian UMNO mula menuntut tiga kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) yang selama ini dianggap kerusi tradisi MCA selepas statistik terbaharu menunjukkan pengundi Mela­yu kini adalah pengundi majoriti di kerusi tersebut.

Tiga kerusi DUN itu ialah Bemban, Duyong dan Klebang.

Mereka mendakwa, jika formula sama masih dikekalkan, atas semangat setiakawan, kemungkinan untuk Barisan Nasional (BN) tewas sangat tinggi terutama apabila berdepan dengan calon DAP.

Bercakap kepada Utusan Malaysia, Ketua Wanita UMNO Bahagian Kota Melaka, Datuk Haryaty Hamdzah menegaskan, sudah tiba masanya DUN Duyong diberikan kepada UMNO untuk ditandingi, memandangkan MCA telah dua kali tewas di situ.

Beliau berkata, statistik terbaharu menunjukkan Melayu kini adalah majoriti dengan jumlah sebanyak 61 peratus.

“Kita mengharapkan pada kali ini, kita sasarkan dua DUN. Satu, DUN Telok Mas kita usaha untuk tebus kembali sebab sebelum ini memang kita menang tapi PRU-14 kita kalah.

“Yang keduanya iaitu DUN Duyong yang sebelum ini memang biasanya diwakili oleh MCA. Tapi pada kali ini dapatlah diwakili oleh calon UMNO. Sekarang Duyong telah mempunyai komposisi bangsa sebanyak 61 peratus Melayu, kerana itulah kita minta untuk dapatkan kerusi ini,” katanya.

Sebelum ini, Setiausaha Agung UMNO, Datuk Seri Ahmad Maslan memberi jaminan bahawa pembahagian kerusi dalam PRN Melaka, akan menjunjung konsep setiakawan dalam BN.

Beliau berkata, setakat ini belum ada sebarang keputusan muktamad kerana parti masih lagi mengadakan rundingan dengan MIC, MCA serta komponen yang lain.

Dalam pada itu, UMNO Bahagian Jasin turut membuat tindakan drastik apabila mengemukakan senarai calon untuk DUN Bemban, iaitu kerusi tradisi MCA.

Ketua Bahagiannya, Datuk Hasan Rahman berkata, keputusan itu merupakan mandat seluruh kepimpinan bahagian termasuk tiga sayap parti, diputuskan ketika Mesyuarat Persidangan Perwakilan UMNO Bahagian, Januari lalu.

Beliau menjelaskan, adalah wajar UMNO bertanding di situ, memandangkan pengundi Melayu merupakan kelompok teramai iaitu sebanyak 11,469 orang berbanding Cina (3,962) dan India (3,040).

“Bagi PRN kali ini, biarlah calon UMNO yang bertanding. Kerana kita tidak mahu kerusi ini kalah lagi kepada pembangkang seperti yang berlaku pada PRU-14. Lagipun, pengundi paling ramai di sini ialah Me­layu.

“Bagi saya, PRN tidak lama lagi amat penting untuk BN merampas kembali DUN Bemban. Saya yakin dengan mandat diberikan oleh seluruh jentera bahagian, calon UMNO mampu merampas kembali,” katanya. -UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×