PETALING JAYA: Malaysia boleh melupakan usaha mendapatkan hak Pulau Batu Puteh kerana peluang terakhir negara menuntut kepulauan itu menerusi semakan undang-undang di Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ) telah tamat sejak 2018.
Bercakap kepada Utusan Malaysia, pakar undang-undang maritim antarabangsa Universiti Sains Islam Malaysia (USIM), Prof Madya Dr. Mohd. Hazmi Mohd. Rusli berkata, semakan terhadap keputusan ICJ sepatutnya dilakukan dalam tempoh 10 tahun dan proses berkenaan tidak lagi boleh dilakukan sekarang meskipun negara mempunyai bukti baharu dan kukuh.
Menurut beliau, segala langkah terbaharu kerajaan termasuk merancang melakukan semakan undang-undang bakal sia-sia, apatah lagi Pulau Batu Puteh kini menjadi milik Singapura.
“Kita patut melakukan semakan dalam tempoh 10 tahun selepas keputusan ICJ pada 2008. Tetapi ketika proses membuat semakan, kerajaan menarik semula pada 2018, jadi sekarang sudah 2021 iaitu sudah lebih 10 tahun.
“Walaupun kita ada bukti baharu, tetapi mengapa kita tidak meneruskan semakan segera? Sekarang sudah terlambat, kerana tempoh 10 tahun telah berakhir empat tahun lalu. Bukan sahaja sia-sia tetapi amat memalukan,” katanya ketika dihubungi semalam.
Kelmarin bekas Peguam Negara, Tan Sri Mohamed Apandi Ali mendakwa beliau mempunyai fakta dan asas kukuh bahawa Pulau Batu Puteh adalah milik Malaysia.
Apandi turut melahirkan kekecewaan setelah kerajaan Pakatan Harapan (PH) pimpinan Tun Dr Mahathir Mohamad didakwa menarik balik semakan dan pentafsiran penghakiman berhubung kepulauan itu pada 2018.
Terdahulu, Kabinet menubuhkan sebuah pasukan petugas khas bagi tujuan semakan semula undang-undang berkenaan isu pulau tersebut yang dipengerusikan oleh Apandi.
Pertikaian mengenai kedaulatan ke atas Pulau Batu Puteh bermula pada 1979 dan hanya berakhir pada 23 Mei 2008 apabila ICJ memutuskan berdasarkan bukti yang dikemukakan mendapati kedaulatan ke atas batu maritim itu sudah berpindah ke Singapura pada 1980.
Dalam pada itu, Mohd Hazmi menambah, kerajaan Malaysia seharusnya memfokuskan bagi mendapatkan pemilikan hak Tubir Selatan berhampiran Batu Puteh kerana langkah tersebut dilihat lebih strategik demi menjaga dan memelihara kedaulatan negara di wilayah pertikaian.
Katanya, Malaysia tidak boleh mengulangi kesilapan lama dengan kehilangan Pulau Batu Puteh apabila tidak membuat tuntutan terhadap pemilikan Tubir Selatan yang masih menjadi persoalan sehingga sekarang.
“Bak peribahasa yang dikejar tak dapat, yang dikendong berciciran. Kehilangan Batu Puteh adalah suatu pengajaran besar bagi Malaysia. Janganlah selepas ini kita alpa sehingga kehilangan Tubir Selatan pula.
“Sungguhpun kedudukan Tubir Selatan terletak lebih dekat dengan Batuan Tengah iaitu dalam lingkungan perairan Malaysia sekali gus kita berhak memilikinya mengikut undang-undang namun kita tidak boleh terlalu selesa.
“Daripada kita mengejar proses semakan undang-undang Batu Puteh, adalah lebih baik kita mendapatkan hak terhadap Tubir Selatan yang belum diketahui siapakah pemiliknya,” katanya.
Pensyarah Kanan Jabatan Pengajian Kenegaraan dan Ketamadunan Fakulti Ekologi Manusia Universiti Putra Malaysia (UPM), Prof. Dr. Zaid Ahmad berkata, isu Pulau Batu Puteh adalah satu perkara serius kerana membabitkan soal kedaulatan dan maruah negara yang tidak boleh dikompromi oleh mana-mana pihak.
Menurut beliau, meskipun ramai menyifatkan ia sekadar kepulauan kecil, tetapi pulau tersebut mempunyai signifikan kepada tanah air khususnya membabitkan konteks persempadanan maritim.
“Ia menjadi asas setakat mana keluasan perairan negara sekali gus memberi ruang kepada mana-mana pihak maka sekalipun nelayan untuk mencari hasil tangkapan ikan.
“Kita tidak boleh alpa dan sewenang-wenangnya membiarkan isu kedaulatan semakin lama terhakis sehingga melepaskan semakan Pulau Batu Puteh. Jika pihak atasan tidak mempunyai semangat patriotik, bagaimana kita hendak mengajar rakyat sikap ini,” katanya.
Sebelum ini, Apandi dilaporkan berkata, Malaysia sudah terlepas peluang untuk mendapatkan semula Pulau Batu Puteh selepas Dr. Mahathir membuat keputusan untuk menarik balik semakan dan pentafsiran penghakiman berhubung kes kedaulatan pulau itu serta Batuan Tengah dan Tubir Selatan pada 2018.- UTUSAN










