PETALING JAYA: Pemeriksaan akan dipertingkatkan pasukan pematuhan prosedur operasi standard (SOP) Polis Diraja Malaysia (PDRM) di seluruh lokasi tumpuan awam termasuk kawasan Rehat dan Rawat (RnR).
Memberitahu Utusan Malaysia, Pengarah Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam (KDNKA), Datuk Hazani Ghazali berkata, sebaik sahaja sekatan jalan raya (SJR) ditutup, kekuatan pasukan pematuhan SOP akan ditambah selaras dengan penugasan berikutan perjalanan merentas negeri dibenarkan bermula semalam.
Menurut beliau, pemeriksaan secara rawak akan dilakukan pasukan pematuhan dan sekiranya orang ramai yang dilihat tidak mematuhi SOP termasuk tidak lengkap vaksin boleh dikenakan kompaun.,
“Setakat ini, kita akan tempatkan pasukan pemantau di setiap lokasi awam seperti pusat beli belah, kawasan riadah termasuk RnR.
“Kekuatan tim pematuhan akan diuruskan oleh Ibu Pejabat Polis Kontinjen setiap negeri selain operasi bersepadu dan juga harian akan dipertingkatkan bagi memastikan semua rakyat mematuhi SOP yang ditetapkan,” katanya di sini semalam.
Sementara itu, Pengarah Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT), Datuk Wira Mat Kasim Karim berkata, aliran trafik di lebuh raya seluruh negara dijangka meningkat ekoran pertambahan kenderaan untuk merentas negeri.
Bagaimanapun, ujar beliau, jumlah sebenar kenderaan yang kelua sukar diramal memandangkan kelonggaran rentas negeri dibenarkan bermula hari bekerja bukan hujung minggu.
“Penugasan pasukan JSPT adalah seperti biasa dan pasukan peronda akan ditempatkan di sepanjang lebuh raya dan jalan utama bagi memantau aliran trafik lancar.
“Cuma, pihak kita berharap bagi pengguna jalan raya yang mahu memulakan perjalanan jauh dengan kenderaan sendiri melalui lebuh raya perlulah sentiasa berhati-hati dan jangan abaikan peraturan jalan raya serta patuhi had kelajuan yang ditetapkan,” jelasnya. – UTUSAN











