Dendam punca Melaka jatuh? - Utusan Malaysia

Dendam punca Melaka jatuh?

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Mukadimah

Belum pun sempat negara bertukar ke fasa endemik, sekali lagi rakyat kegelisahan apabila kerajaan Melaka tumbang.
Mahu dibuat Pilihan Raya Negeri (PRN), dikhuatiri mengundang malapetaka seandainya kes Covid-19 meningkat semula. Jika PRN tak dibuat pula, kerajaan ‘caretaker’ berkemungkinan digasak dari setiap sudut, kononnya memerintah secara tidak sah.
Soalnya, tidakkah kumpulan pencatur ini terfikir, kesan tindakan itu bakal menjejaskan segala usaha kerajaan baik pulih sosioekonomi dan masalah kesihatan negara? Soalan lebih menyeluruh, apakah yang mendorong konspirasi tersebut, mengapa ia berlaku dan siapakah yang terbabit?
Tekad mendapatkan penjelasan, wartawan Mingguan Malaysia, ASLINDA NASIR dan FAHMI FAIZ mendengar sendiri pandangan Timbalan Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Melaka, Datuk Seri Mohd. Ali Mohamad. Ia turut dibantu jurugambar FARIZ RUSADIO.

MINGGUAN MALAYSIA: Apa perasaan mengetahui kerajaan Melaka ditumbangkan oleh orang dalam?
MOHD. ALI: Sebagai ahli UMNO dan rakyat, saya amat kesal kerana dalam usaha kita mahu menangani Covid-19, ada pula ahli politik yang lebih mengutamakan kepentingan peribadi untuk mendapat kuasa. Akhirnya yang jadi mangsa ialah rakyat keseluruhan.

Kenapa rasa kesal?
Kerana kita tahu bahawa Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) mungkin tidak lama lagi, barangkali lagi lima bulan, atau paling lama pun lebih kurang setahun lebih saja lagi. Jadi apa salahnya dalam suasana begini, kalau kita ambil pendekatan bersama untuk membangunkan negeri, di samping yang paling utama selaku menggalas tugas sebagai ahli politik adalah bagaimana boleh merencana untuk memastikan pandemik Covid-19 dapat diurus secara bersama dalam satu pasukan kerja.

Kenapa jadi macam ini? Adakah sebab tak puas hati dengan Ketua Menteri sekarang?
Pada saya tak timbul soal puas hati atau tidak. Di mana tempat sekali pun, rasa tidak puas hati itu pasti ada. Dalam keadaan kita berada dalam sebuah organisasi, kalau seorang ketua misalnya, mungkin akan ada juga di peringkat ahli yang tak puas hati. Tapi bila kita berada dalam satu kumpulan kerja, atau seperti mana empat wakil rakyat dan tiga Exco Melaka yang lahirkan rasa tak puas hati, bagi saya ia lebih merupakan alasan.

Alasan yang macam mana?
Untuk mereka mengambil alih kuasa dalam satu keadaan, kerana kalau timbul soal tak puas hati, teguran-teguran boleh dibuat. Saya ingin bertanya kepada ADUN Sungai Udang, Datuk Seri Idris Haron, adakah beliau pernah berjumpa dan berbincang dengan Ketua Menteri Melaka untuk melahirkan rasa tak puas hati beliau? Dan adakah Ketua Menteri tak melayan beliau? Saya fikir ini tak berlaku.

SIMPTOM DAH ADA
Adakah sebelum episod ini, memang sudah nampak tanda-tanda kerajaan Melaka cuba digoncang dari dalam?
Saya secara jujur menyatakan bahawa hubungan saya selaku Ketua UMNO Bahagian Tangga Batu bersama ADUN Sungai Udang, Idris Haron serta ADUN Pantai Kundur, Nor Azman Hassan selepas pemilihan parti pada 2018, memang dingin.
Saya sebagai orang yang memenangi jawatan ketika itu, bersama dengan pasukan saya telah menjemput beliau untuk memberikan pandangan-pandangan demi parti.
Tapi saya dapat kesan bila kita mahu adakan penyerahan tugas untuk memberikan sebarang dokumen parti, termasuk juga akaun simpanan duit parti, tapi Idris tidak menyerahkan apa juga akaun kepada UMNO Tangga Batu. Malah kita sehingga hari ini langsung tak menerima sebarang akaun menunjukkan perolehan UMNO dari sudut kewangan. Di situ kita dah melihat bahawa rasa tak puas hati itu sudah bermula.

Apa lagi simptom yang menjurus ke arah itu?
Kemudian siri-siri lanjutan, seperti apabila kita buat perjumpaan yang mana kita panggil Presiden UMNO, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi dan Timbalan, Datuk Seri Datuk Seri Mohamad Hasan serta pimpinan UMNO ketika itu mengadakan program di kawasan Tangga Batu, beliau (Idris) telah memulaukan semua program termasuk yang dibuat UMNO bahagian itu sendiri.
Ini termasuk program sejak 2018 lagi dan seterusnya sehingga yang dibuat hari ini.

PUNCA MENJARAKKAN DIRI
Apa mendorong kumpulan yang melompat ini menjarakkan diri?
Mereka ini adalah mereka yang berkepentingan dalam politik. Walaupun mereka kata mereka tidak berada dalam politik untuk mencari dan meraih apa juga laba, tapi sebenarnya mereka adalah pemimpin yang tamak haloba untuk kepentingan diri, untuk mengejar jawatan.

Boleh beri contoh?
Ambil contoh, bila kita kalah dalam satu pemilihan secara demokrasi dan kita sering bercakap, misalnya dalam dalam banyak ucapan sering sebut “Toreh tangan saya dan lihat bahawa darah yang mengalir ini darah UMNO”. Juga bagaimana beliau ada berkata kononnya biduk lalu, kiambang bertaut dan sebagainya. Tapi ini hanya satu retorik.
Manusia ini, hanya terpamer sikap sebenar jika mereka menerima musibah, sama ada mereka reda atau tidak.
Inilah yang Allah SWT tunjukkan apabila mereka kalah dalam pemilihan parti, mereka memulaukan segala aktiviti parti dan tidak bersama dengan kepimpinan parti atas sifat ego, sombong dan tak dapat menerima kekalahan.

KONSPIRASI BERSAMA PEMBANGKANG?
Adakah Pakatan Harapan (PH) terlibat dalam percaturan bersama sosok-sosok yang Datuk Seri sebutkan? Berapa kali mereka buat pertemuan bersama?
Maklumat yang saya dengar, memang ada pertemuan sebelum ADUN Sungai Udang serta ADUN Pantai Kundur membuat sidang akhbar baru-baru ini, mereka telah berjumpa dengan Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk melakukan gerakan. Tapi, bila kita tanya tentang gerakan yang telah dilakukan ini, mereka menafikan pula. Jadi, kenapa dalam satu keluarga politik, perlu buat sebegini mengadakan rundingan dengan pembangkang?

Tapi bukankah Idris sebut masih bersama UMNO?
Ini sekadar mahu mengambil simpati, kerana mereka berdua tahu bahawa Parlimen Tangga Batu ini, walaupun kita kalah pada pilihan raya lepas, tapi kita tak kalah semua.
Dua DUN kita menang. Malah dahulu sewaktu PRU-14, kalah pun sebab faktor luaran, faktor nasional dulu akibat fitnah mengakibatkan kita kalah di peringkat Parlimen dan dua DUN di situ.
Tapi hari ini beliau tahu bahawa asas kekuatan politik dan sokongan pengundi, memang UMNO yang kuat di Parlimen Tangga Batu.

Adakah parti pernah berunding dengan kumpulan melompat, dan cuba pujuk agar sabar sampai PRU-15?
Saya bersama rakan-rakan, sebenarnya telah mengadakan sesi untuk kita bertukar pendapat dengan wakil rakyat yang melompat ini. Malah perbincangan ini juga dibuat dengan mengetepikan saya. Jujurnya, saya rela saya tak bersama, sebab saya tahu kalau saya hadir pun, nanti lagi mereka marah sebab tak puas hati, mereka kalah dalam pemilihan parti dan beranggapan saya ini dulu cuma ahli jawatankuasa biasa, tiba-tiba saya diangkat oleh ahli parti.

Ada yang dakwa, beliau tak puas hati sebab tak dilantik semula jadi Ketua Menteri?
Kalau tanya di Melaka, siapa mahu pergi rumah Ketua Menteri masa zaman beliau, semua kena buat temujanji.
Sedangkan zaman yang ditunjukkan oleh Ketua Menteri sebelum beliau iaitu Tun Ali Rustam, rumah beliau terbuka kepada rakyat untuk hadir. Beliau juga selalu turun ke bawah menyantuni rakyat.
Maknanya Ali Rustam telah melakukan kerja yang menunjukkan sifat yang baik bagi seorang Ketua Menteri yang mesra rakyat.
Tapi selepas jawatan itu dijawat oleh Idris, akhirnya beliau telah melakukan perkara yang rakyat tak boleh terima. Rumahnya ditutup, ada orang kena tunggu berjam-jam, susah mahu jumpa, dan tak turun ke bawah.
Inilah sebab-sebab yang mengakibatkan rakyat marah, dan kemarahan itu ditunjukkan dalam kertas undi pada PRU-14.

KENA ‘MAIN’ SD OLEH PH
Ada berpandangan, isu di Melaka ini sebenarnya umpama ‘tikus makmal’, maksudnya mahu jadikan kes di sini sebagai simulasi eksperimen pilihan raya. Kalau dalam PRN Melaka, UMNO boleh menang, maksudnya parti boleh menang juga peringkat nasional, komen?
Saya menolak kemungkinan ini kerana pada saya, keadaan di Melaka ini adalah satu keadaan yang mana berlaku pengambilan kuasa. Tapi oleh kerana kepantasan pimpinan UMNO Melaka telah memintas apa yang berlaku.
Itu sebab kalau kita tengok, bila pihak Yang di-Pertua Melaka memutuskan untuk membubarkan DUN, saya tengok selepas itu sidang media yang dibuat oleh Idris, dah macam orang tak sedar diri.
Kalau kita dalam keadaan marah, namun bila berdepan dengan pemberita, kita mesti tenang. Tapi jawapan dia yang saya tengok pun, saya tak faham.

Kenapa jadi macam itu?
Itu sebabnya pada saya, mungkin beliau sudah kena ‘main’ dalam hal ini. Ada juga sumber yang saya terima bahawa, memang pada awalnya Idris ada akuan bersumpah (SD) yang menunjukkan beliau akan dinamakan sebagai Ketua Menteri yang ke-13.
Tapi pihak PH kemudian tak berikan SD mereka kepada beliau, maka hanya ada empat SD.
Dan pada pagi semalam (5 Oktober), melalui sumber saya difahamkan bahawa SD daripada PH hanya meletakkan wakil rakyat DUN Bukit Katil, iaitu bekas Ketua Menteri Melaka zaman PH sebagai Ketua Menteri yang dinamakan dalam SD mereka (PH). Itu sebab, Idris rasa macam kena ‘game’, dan sebab itu dia jadi emosi.

Jadi boleh rumuskan, siapakah penyebab kejatuhan kerajaan Melaka?
Penyebab sebenarnya memang bermula dari Idris sendiri. Sebab bila kita mahu ambil alih kerajaan selepas kejatuhan PH tempoh hari, memang kita dalam keadaan yang amat tertekan. Kerana Idris bermati-matian mahu jadi Ketua Menteri ketika itu.
Pada awal pun, dia tak beri sokongan kepada kita, kerana dia buat tuntutan yang dia mahu jadi Ketua Menteri.
Jadi setelah kita olah pelbagai cara, akhirnya Datuk Seri Sulaiman berjaya kita nobatkan sebagai Ketua Menteri. Tapi sebelum dinobatkan itu, banyak episod yang kita lalui bagaimana kita mahu sekat kehendak Idris ketika itu yang mahu jadi Ketua Menteri, dapat kita tolak.
Jadi bila benda itu berlaku, saya fikir mungkin dendam itu yang mendorong apa yang berlaku hari ini untuk dia bersama dengan Anwar, dan dia minta supaya dia yang jadi Ketua Menteri dekat PH. Tapi dia kena game dalam isu SD, akhirnya.
FAKTOR PENGERUSI PERHUBUNGAN UMNO MELAKA
Ada berpendapat, Pengerusi Perhubungan UMNO Melaka, Datuk Seri Ab Rauf Yusof juga jadi faktor kejatuhan kerajaan, sebab terlalu campur tangan dalam urusan kerajaan negeri sehingga akibatkan rasa tak puas hati dalam kalangan yang melompat?
Dalam hal ini, saya meletakkan bahawa apa yang diperkatakan dari pihak luar ini adalah tidak benar. Kerana kita meletakkan bahawa parti menguasai kerajaan.
Bila kata begitu, bukan bermakna parti nak melakukan sewenang-wenangnya, tapi mahu memastikan kerajaan Melaka dapat melakukan kerja-kerja yang membawa faedah kepada rakyat.
Ini supaya apa yang dilakukan oleh kerajaan, kalau rakyat mendapat manfaat, akhirnya parti yang mendapat kesan baik daripadanya.
Jadi kita mahu tunjukkan bahawa, dalam keadaan ini apa juga yang mahu diputuskan oleh kerajaan, mestilah berbincang bersama dan akhirnya kita mendapat kata sepakat. Pasal kita tahu kita ambil alih tak lama, lepas ini sudah pilihan raya.
Kalau kerajaan negeri hari ini tak buat betul-betul, tak membina dasar yang baik untuk rakyat, kesannya kepada UMNO nanti.

Pilihan raya
Kalau diadakan Pilihan Raya Negeri (PRN), tak risaukah jika sejarah PRN Sabah berulang yang mengakibatkan kes Covid-19 meningkat semula?
Kalau Majlis Keselamatan Negara (MKN) dan Kementerian Kesihatan, mungkin ada juga perbincangan dengan Suruhanjaya Pilihan Raya, kalau dibenarkan diadakan PRN, kita ikut.
Kalau diminta tangguhkan pun, kita masih ikut juga. Tapi pada kita, sebaiknya memandangkan hari ini pun majoriti dah divaksin, jadi saya ingat mungkin SPR ada SOP bagi membolehkan pilihan raya negeri diadakan. Mungkin dulu sewaktu hari mengundi, berlaku kesesakan kerana buat undi dalam satu hari. Kali ini, mungkin boleh buat lima hari, misalnya.

Apa tindakan parti terhadap wakil rakyat UMNO yang melompat ini?
Pihak UMNO Pusat telah mengeluarkan surat pengguguran keahlian kepada ADUN Sungai Undang dan Pantai Kundur.

Adakah ahli-ahli lain ikut sama keluar parti?
Saya difahamkan tiada ahli UMNO dalam cawangan tersebut yang keluar bersama mereka. Ahli bawahan tetap setia bersama UMNO.

Wakil rakyat UMNO yang lompat ini cukup berpengaruh di kawasan masing-masing. Tak risaukah jika kerusi itu sukar dirampas kembali?
Ahli UMNO lebih setia kepada parti berbanding individu. Sebab itu dulu bila kita kalah, ada juga pemimpin terutama di Sabah, ada kita lihat bahawa ketua-ketua bahagian dan ahli Parlimen ketika itu keluar parti.
Tapi UMNO di Sabah, terutama di peringkat bahagian masih kekal kerana yang melompat ini, kita tahu adalah mereka yang berkepentingan. Ahli parti nampak semua ini.

KESAN BERANTAI
Tak terfikirkah UMNO, senario di Melaka mungkin boleh berjangkit ke negeri-negeri lain juga?
Setakat hari ini, saya lihat bahawa perkembangan UMNO di negeri lain, saya tak nampak. Sebenarnya untuk makluman, barah yang terdapat dalam UMNO Melaka ini memang daripada awal pun disebabkan oleh kedua-dua wakil rakyat ini.
Idris sendiri membuat bermacam-macam onak dan duri dalam parti, tapi demi untuk memelihara keharmonian dan kestabilan UMNO terutama di Tangga Batu, saya sendiri rasa kalau saya tak cukup semangat dan kekuatan, saya pun putus asa terhadap tindakan mereka.
Tapi saya ini seorang pejuang, tak ada rasa mahu berundur. Kerana kalau lagi banyak cabaran, saya akan lebih kuat lagi untuk meneruskan perjuangan.

PRESTASI KOMPONEN DI MELAKA
Macam mana kekuatan rakan komponen terutama MCA, MIC menarik sokongan Cina dan India berbanding parti liberal seperti DAP dan PKR?
Kita bukan zaman yang dahulu, yang mana BN ada kekuatan di Melaka. BN telah kalah pada PRU-14.
Jadi satu pendekatan baru perlu diambil, maknanya pihak komponen perlu akur bahawa dalam membentuk kerajaan akan datang, satu perbincangan yang lebih telus perlu dilakukan.
Semua pemimpin komponen perlu berbincang secara kekeluargaan, untuk cari pendekatan yang boleh kita lakukan, dan apakah pengorbanan yang boleh kita lakukan. Yang penting, supaya BN di Melaka akan menang pada pilihan raya akan datang.

 

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×