Jangan lengah Undi18 - Utusan Malaysia

Jangan lengah Undi18

Seorang ahli parti Pejuang memegang plakad menyokong usul ‘Undi 18’ pada Himpunan Tuntut Undi 18 di hadapan Bangunan Parlimen Malaysia, Mac lalu. - UTUSAN/MUHAMAD IQBAL ROSLI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Senarai nama 5.8 juta bakal pemilih muda (Undi18) sudah berada dalam semakan Pra-Pendaftaran Pemilih Automatik (SPPA) berserta dengan lokaliti mengundi, namun persoalannya mengapa tidak boleh dilaksanakan.

Jika Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka menjadi medan pertama untuk menguji pelaksanaan Undi18, Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) sepatutnya menggerakkan pro­ses itu setelah Rang Undang-Undang (RUU) Perlembagaan (Pindaan) yang menyaksikan had umur pengundi diturunkan kepada 18 tahun diluluskan sebulat surat di Parlimen, sejak tiga tahun lalu.

Sehingga kini isu teknikal dan perundangan sering menjadi alasan melengahkan Undi18 meskipun kerajaan memaklumkan menggunakan sistem berkaitan had usia kelayakan mengundi 18 tahun bermula Februari 2022. Namun pelaksanaan perlu disegerakan memandangkan pilihan raya mengejut boleh berlaku bila-bila masa seperti di Melaka.

Bercakap kepada Utusan Malaysia, Pengasas Bersama Gerakan Undi18, Nur Qyira Yusri berkata, Undi18 tidak wajar dilengahkan, dengan SPR perlu mempercepatkan proses kemaskini data remaja ber­usia 18 tahun dan memasukkan mereka di dalam pendaftaran pengundi.

“Pilihan raya boleh berlaku pada bila-bila masa seperti mana PRN Melaka. Jadi semua ini merupakan kuasa dan bidang SPR dengan mereka boleh menyegerakan perkara ini agar memberi peluang pengundi berumur 18 tahun untuk memangkah kertas undi.

“Mereka boleh membuat pendaftaran sebelum pilihan raya berlangsung, jadi ini tidak wajar tunggu masa dan dilengahkan lagi,” katanya.

Sebelum ini Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang), Datuk Seri Dr. Wan Junaidi Tuanku Jaafar memaklumkan SPR akan memastikan perkara membabitkan peraturan dan perundangan bagi pelaksanaan dua perkara itu selesai menje­lang 31 Disember tahun ini, dan ia sedia digunakan awal tahun depan.

Katanya, SPR ketika ini sedang mempersiapkan pindaan Perkara 119 Perlembagaan Persekutuan berhubung usia kelayakan mengundi 18 tahun dan pendaftaran pemilih secara automatik, seperti yang diluluskan Parlimen pada Mesyuarat Kedua Penggal Ke­dua Parlimen Ke-14.

Sekiranya Undi18 dapat dilaksanakan dalam terdekat, kemungkinan mereka akan menjadi penentu kepada masa depan kerajaan negeri Melaka selepas Dewan Undangan Negeri (DUN) dibubarkan sekali gus memberi laluan kepada PRN dalam tempoh 60 hari. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×