Maritim Malaysia banteras jenayah rentas sempadan - Utusan Malaysia

Maritim Malaysia banteras jenayah rentas sempadan

Anggota APMM Kuala Kedah sentiasa bersiap siaga melakukan rondaan dan operasi bagi membanteras kegiatan penyeludupan. -UTUSAN/SHAHIR NOORDIN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PERAIRAN Kuala Kedah yang terletak tidak jauh dari sempadan Thailand menjadi pilihan dalam kalangan penyeludup melakukan aktiviti jenayah rentas sempadan melalui laut.

Antara aktiviti jenayah rentas sempadan yang dilakukan di kawasan perairan itu melibatkan penyeludupan dadah, daun ketum dan pendatang asing tanpa izin (PATI).

Bagaimanapun, aktiviti tersebut didapati semakin terkawal di perairan tersebut. Ia berikutan pengawasan ketat yang dilakukan oleh pasukan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia).

Timbalan Pengarah Operasi Zon Maritim Kuala Kedah, Leftenan Maritim Zool Hilmi Mohd. Nadzir memberitahu, kawasan tanggungjawab Maritim Malaysia di Zon Kuala Kedah berkeluasan 164 batu nautika bermula dari Kuala Sanglang hingga ke Kuala Muda, Kedah.

Menurutnya, kawasan tersebut dikawal sepenuhnya tujuh pegawai dan 69 anggota Zon Maritim Kuala Kedah 24 jam sehari.

ZOOL HILMI MOHD. NADZIR

“Kami sentiasa dalam keadaan bersiap siaga dalam apa jua keadaan bagi mengekang kemasukan PATI dan segala bentuk jenayah rentas sempadan di perairan negara.

“Penjenayah terutamanya penyeludup menjadikan laluan laut di perairan Kuala Kedah sebagai pilihan menjalankan aktiviti tersebut berikutan sekatan jalan raya (SJR) di jalan darat yang dilaksanakan oleh Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Angkatan Tentera Malaysia (ATM),” katanya ketika ditemui di pejabatnya di Kampung Berjaya, Alor Setar baru-baru ini.

Tahun ini, Zool Hilmi berkata, aktiviti penyeludupan keluar daun ketum dari dalam negara melalui laut didapati berleluasa berbanding barangan lain.

Malah, katanya, keputusan kerajaan Thailand membenarkan pengambilan dan penjualan daun ketum dilakukan di negara tersebut dijangka meningkatkan lagi aktiviti menyeludup ‘emas hijau’ itu ke negara jiran berkenaan melalui laut.

Jelasnya, Zon Maritim Kuala Kedah telah melakukan 10 rampasan daun ketum dengan jumlah nilai rampasan hampir RM1.4 juta dari Januari hingga Ogos lalu.

Katanya, dalam tempoh sama, pihaknya juga berjaya melakukan hampir 70 tangkapan dan rampasan dengan pelbagai jenis kesalahan.

“Rampasan terbaharu melibatkan daun ketum sebanyak dua tan di kedudukan 0.2 batu nautika dari muara Kuala Sanglang pada 6 Ogos lalu,” ujarnya.

Anggota Maritim Malaysia Kuala Kedah di atas bot kelas Perkasa yang menjadi salah satu aset penting APMM.

Dalam pada itu, beliau tidak dinafikan menafikan terdapatnya tonto dalam kalangan komuniti nelayan di sini yang menjadi ejen atau pemberi maklumat kepada anggota sindiket penyeludupan.

“Pergerakan anggota dan pegawai Maritim Malaysia sentiasa berkemungkinan dipantau oleh tonto apabila keluar melakukan operasi di perairan Kuala Kedah dan maklumat ini disampaikan kepada rangkaian anggota sindiket bagi untuk mengelakkan aktiviti sindiket terbabit dapat dikesan,” katanya.

Beliau berkata, antara tugas dan fungsi Maritim Malaysia juga menguatkuasa undang-undang dan ketenteraman berdasarkan undang-undang Persekutuan di Zon Maritim Malaysia serta melaksanakan tugas mencari dan menyelamat (CARILAMAT) di lautan.

Zon Maritim Kuala Kedah mematahkan cubaan menyeludup daun ketum melalui jalan laut di Zon Kuala Kedah.

Menurut Zool Hilmi, Maritim Malaysia juga melakukan tugas mengawal kawasan laut bersama Pasukan Polis Marin (PPM) di kawasan yang dilaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) yang terutamanya melibatkan kawasan perkampungan nelayan seperti di lokaliti dua zon di mukim Kuala Kedah, Alor setar baru-baru ini.

Sementara itu, Bintara Muda Maritim Mohd. Syam Selamat pernah terlibat menyerbu dan mengejar penyeludup daun ketum dalam suasana gelap di Kuala Sanglang sekitar pukul 11 malam, baru-baru ini.

Katanya, operasi mengesan dan mengejar bot fiber itu dilakukan setelah mendapat maklumat daripada unit risikan berkaitan kedudukan serta status suspek.

MOHD. SYAM SELAMAT

“Bagaimanapun, dua penyeludup yang menaiki bot tersebut berjaya meloloskan diri dengan terjun ke laut yang surut dan meninggalkan daun ketum kira-kira dua tan yang memenuhi bot tersebut,” katanya yang menyertai Maritim Malaysia sejak 16 tahun lalu.

Laskar Kanan Maritim Nor Fazilah Zainol pula berkata, walaupun sebagai anggota wanita, namun tugasan yang dilakukan adalah sama seperti anggota lelaki.

Menurutnya, sejak menyertai Maritim Malaysia pada tahun 2007, beliau mengakui banyak pengalaman yang ditempuhi selepas bertugas di Johor Bahru, Pelabuhan Klang, Lumut serta Kuala Kedah.

NOR FAZILAH ZAINOL

“Ketika menjalani latihan sambil bekerja di Johor Bahru, saya telah terlibat dalam tugas mencabar termasuk terlibat mengejar penyeludup di perairan Johor.

“Saya akui tugas anggota Maritim Malaysia mencabar, namun saya menyahut cabaran dengan dengan hati yang berani,” ujarnya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×