Dr. Radzi: Guru enggan terima vaksin beri kesan dalam pengajaran sekolah - Utusan Malaysia

Dr. Radzi: Guru enggan terima vaksin beri kesan dalam pengajaran sekolah

PELAJAR tingkatan 5 mengikuti hari pertama pengajaran secara bersemuka di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Tunku Kurshiah, Kuala Pilah, semalam. – UTUSAN/MOHD. SHAHJEHAN MAAMIN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA PILAH: Keputusan sebilangan kecil guru yang masih enggan menerima suntikan vaksin Covid-19 diakui memberi kesan dalam konteks pe­ngajaran di sekolah.

Menteri Kanan Pendidikan, Datuk Dr. Radzi Jidin berkata, walaupun jumlah guru yang belum menerima vaksin itu kecil iaitu sekitar 2,000 orang berbanding seramai 415,000 guru secara keseluruhan di seluruh negara, kesannya dalam pengajaran di sekolah tetap ada.

“Jika dibahagikan jumlah sekolah iaitu sebanyak 10,000 buah, jumlah itu terlalu kecil, tetapi beri kesan dalam konteks pengajaran.

“Sebab ada sekolah yang guru tidak mahu divaksin ini kadangkala keadaannya mereka mengajar subjek yang sama, satu sekolah semua daripada subjek sama.

“Bagaimana kita nak me­ngajar, ada juga guru yang satu-satunya yang mengajar subjek tersebut yang tidak mahu divaksin, jadi sekolah itu tiada orang. Mengambil kira jumlah guru dan jumlah sekolah ia tidak menyeluruh, namun kesannya kepada pengurusan pe­ngajaran di sekolah,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas me­ngadakan lawatan ke Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Tunku Kurshiah di sini semalam.

Tambah Radzi, oleh sebab itu pihaknya mengambil keputusan kepada mana-mana guru yang enggan menerima vaksin, mereka perlu ditukarkan.

“Sebab itu kami maklumkan sebelum ini, kalau perlu ditukarkan, kita tukarkan. Ini bukan soal mengugut atau sebagainya, ini soal pentadbiran.

“Ia seperti juga kenyataan Jabatan Perkhidmatan Awam bahawa semua kakitangan awam termasuk guru mesti divaksinkan sebelum 1 November ini,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×