PETALING JAYA: Kadar gaji dan elaun yang rendah dalam kalangan anggota berpangkat rendah dikatakan punca warga Polis Diraja Malaysia (PDRM) dibelenggu masalah hutang keliling pinggang sehingga dibimbangi mendedahkan mereka terhadap gejala rasuah.
Berdasarkan data 2019 yang kali terakhir dikemas kini, terdapat kira-kira 109,797 Pegawai Rendah Polis (PRP) daripada keseluruhan 123,570 dalam PDRM.
Kali terakhir semakan gaji polis dilakukan pada 2010, melibatkan kenaikan antara RM45 hingga RM208.10 mengikut gred jawatan di samping pertambahan beberapa elaun lain.
Bercakap kepada Utusan Malaysia, Presiden Persatuan Bekas Polis Malaysia (PBPM), Hussin Awang Ngah berkata, sudah tiba masanya kerajaan mengkaji semula gaji anggota polis memandangkan perkara itu kali terakhir dilaksanakan 11 tahun lalu.
Katanya, keperluan logistik seperti elaun pakaian dan tempat tinggal perlu ditambah memandangkan kos sara hidup kini meningkat 100 peratus berbanding 2010.
“Kita tidak nafikan masalah kos sara hidup membebankan anggota polis khususnya berpangkat rendah termasuk di kawasan bandar. Jadi kerajaan wajar memperhalusi semula perkara ini.
“Hutang mungkin disebabkan mahu hidup selesa seperti orang lain, tetapi kos sara hidup juga boleh jadi sebab anggota polis berhutang,” katanya.
Dalam pada itu, jika dibuat perbandingan, gaji konstabel dilihat masih tinggi jika dibandingkan dengan Pembantu Tadbir N19 iaitu RM1,352 sebulan
Selain gaji, anggota berpangkat konstabel turut menerima elaun perumahan (RM300), elaun kos sara hidup (RM100-RM350), elaun khidmat awam (RM115), elaun khas PDRM (RM200) dan bayaran intensif wilayah dengan berdasarkan peratusan gaji diterima.
Sementara itu, bekas Ketua Polis Negara, Tan Sri Musa Hassan berkata, beliau tidak menolak masalah hutang boleh mendedahkan pegawai dan anggota polis terjerumus kepada amalan rasuah.
Katanya, sudah masanya pengurusan PDRM mewajibkan setiap anggota dan pegawai untuk meminta kebenaran ketua jabatan masing-masing sebelum memohon pinjaman sebagai syarat kelulusan pengeluaran surat pengesahan jawatan dan salinan gaji.
Katanya, ketua jabatan boleh menolak permohonan tersebut sekiranya anggota dan pegawai memohon memiliki beban tanggungan dan hutang yang banyak.
“Ketika zaman saya menjadi Ketua Polis Negara, semua anggota dan pegawai PDRM diminta mengisytiharkan aset masing-masing. Dengan amalan sebegini, kita boleh tahu bagaimana aset-aset itu diperoleh sama ada melalui pinjaman atau sebaliknya” katanya.
Kelmarin Timbalan Ketua Polis Negara, Datuk Seri Mazlan Lazim berkata, pihaknya memandang serius tentang isu anggota polis ‘asnaf’ yang dibelenggu dengan masalah hutang keliling pinggang kerana dikhuatiri melakukan perkara menyalahi integriti.
Dalam pada itu, menurut Musa, sikap boros berbelanja lebih daripada pendapatan menjadi punca mereka membuat pinjaman meskipun kerajaan menaikkan gaji anggota setiap tahun.
“Kalau gaji meningkat sekalipun, jika tidak pandai urus berbelanja akhirnya mereka juga akan dibebani hutang. Jadi pengurusan kewangan wajar ditekankan dalam kalangan warga polis,” katanya. – UTUSAN










