SEWAKTU membentangkan Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK12) di Dewan Rakyat pada 27 September lalu, Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob menyebut beberapa kali hasrat kerajaan merancang dan melaksanakan agenda pembangunan negara yang mampan. Dalam perenggan 12 teks ucapannya yang kini boleh dibaca sepenuhnya di ruang siber, beliau menyatakan apa yang akan dilaksanakan di bawah RMK12 adalah selaras dengan Agenda 2030 bagi Pembangunan Mampan (Agenda 2030) yang dipersetujui oleh 192 negara (termasuk Malaysia) di Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) pada 25 September 2015.
Agenda 2030 mengandungi 17 matlamat (dihuraikan di bawah ini), 169 sasaran dan lebih 200 indikator, merentasi lima dimensi iaitu manusia, bumi, kemakmuran, keamanan dan perkongsian (lihat https://www.epu.gov.my/en/sustainable-development-goals). Soalnya, sejauh mana sembilan fokus utama RMK12 yang disebutkan Perdana Menteri dalam ucapannya itu boleh berhasil mewujudkan sebuah negara mampan?
PERUMAHAN RAKYAT
Dalam fokus ketiganya, Perdana Menteri berkata, selaras dengan Dasar Perumahan Negara, kerajaan menyediakan kediaman yang mencukupi, berkualiti, dan mampu milik. 500,000 unit rumah mampu milik akan dibina di bawah RMK12 bagi meningkatkan peluang kumpulan B40 dan M40 memiliki rumah.
Di samping itu, kemudahan pembiayaan termasuk Dana untuk Rumah Mampu Milik, Skim Perumahan Belia dan Program Rent-to-Own (RTO) akan ditambah baik bagi memastikan golongan B40 dan M40 tidak terbeban dengan bayaran ansuran. Bagi rakyat miskin, kerajaan memperuntukkan RM2.25 bilion untuk membina dan membaik pulih 85,500 unit rumah di bawah Program Bantuan Rumah (iaitu 75,000 unit di luar bandar dan 10,500 unit di kawasan bandar).
PENDAPATAN, BANTUAN
Dalam fokus kelimanya, Perdana Menteri berkata, usaha diteruskan untuk meningkatkan pendapatan (sambil menangani kenaikan kos sara hidup) isi rumah B40 serta kumpulan mudah terjejas. Bantuan bersasar akan diteruskan kepada mereka yang layak.
Program Pemerkasaan Ekonomi Komuniti Bandar (PEKB) dan Skim Pembangunan Kesejahteraan Rakyat (SPKR) di luar bandar akan diperkukuh bagi meningkatkan kebolehpasaran, kesejahteraan dan kuasa beli keluarga B40.
KONSEP WAKAF
Dalam fokusnya yang keenam, Perdana Menteri berkata, konsep wakaf akan diperluas lagi. Lebih banyak instrumen wakaf akan diperkenalkan termasuk mewujudkan satu dana wakaf di peringkat nasional.
Satu Pelan Induk Wakaf Nasional akan diwujudkan bagi memastikan pengurusan wakaf yang lebih cekap.
NEGARA TUA
Perdana Menteri mengingatkan, pada 2030, Malaysia bakal menjadi sebuah negara tua apabila dijangka 15 peratus rakyat akan berusia 60 tahun ke atas. Selain menambah Pusat Warga Emas di seluruh negara, kerajaan juga akan mewujudkan lebih banyak bandar mesra warga emas pada masa akan datang.
Sistem Pendaftaran Warga Emas Nasional akan ditambah baik dan liputannya diperluaskan.
PELAN PEMULIHAN FELDA
Dalam fokusnya yang ketujuh, Perdana Menteri berkata, kerajaan akan melaksanakan Pelan Pemulihan Felda. Organisasi itu akan dijadikan peneraju utama pertanian pintar dan pengeluar makanan negara.
Selain itu, kerajaan akan memperkenalkan semula model pembangunan perumahan berasaskan konsep bina sendiri oleh generasi kedua.
PELIHARA ALAM SEKITAR
Dalam fokus kelapannya, beliau menegaskan, kerajaan akan terus memelihara alam sekitar. Malaysia akan menjadi negara neutral karbon seawal-awalnya pada 2050.
Dalam usaha kerajaan melaksanakan pembangunan mampan, semua pertubuhan masyarakat sivil atau pertubuhan bukan kerajaan (NGO) akan diiktiraf sebagai rakan pembangunan. Satu Dasar Tenaga Negara akan diperkenalkan dan satu model ekonomi kitaran dilaksanakan bagi mengurangkan pencemaran, penjanaan sisa dan kebergantungan kepada sumber asli.
Menyentuh isu pembangunan bandar hijau, Perdana Menteri menyasarkan 120 bandar akan mencapai status bandar mampan. Untuk tujuan itu, satu Pelan Tindakan Bandar Hijau akan diperkenalkan.
PEMBANGUNAN MAMPAN (SD)
Istilah SD juga disebut pembangunan lestari ditakrif oleh Suruhanjaya Brundtland pada 1987 sebagai bermaksud pembangunan yang memenuhi keperluan generasi sekarang tanpa mengorbankan keperluan generasi masa depan. Ia mengandungi tiga elemen penting, iaitu pembangunan ekonomi, kesejahteraan alam sekitar dan kebajikan rakyat jelata.
Suatu pembangunan itu tidak dianggap mampan atau lestari sekiranya kerajaan atau negara memberi fokus hanya kepada pembangunan ekonomi tetapi gagal memelihara alam sekitar. Apatah lagi gagal memelihara kebajikan rakyat jelata.
Pada 2015, PBB memperkenalkan 17 matlamat SD (SDG) iaitu tiada kemiskinan, tiada kebuluran, kesihatan dan kesejahteraan, pendidikan berkualiti, hak sama rata gender, air bersih dan sanitasi, tenaga bersih dan mampu serta peluang pekerjaan dan pertumbuhan ekonomi,
Selain itu, industri, inovasi dan infrastruktur, mengurangkan ketidaksamarataan, bandar dan komuniti mampan, penggunaan dan pengeluaran yang bertanggungjawab, tindakan iklim, nyawa di bawah air, nyawa atas darat, keamanan, keadilan dan institusi kukuh serta perkongsian matlamat.
Pada 20 Disember lalu, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Ekonomi), Datuk Seri Mustapa Mohamed menyatakan Malaysia sudah menyediakan 128 indikator atau 52 peratus SDG daripada 247 indikator yang ditetapkan di peringkat global pada 2019. Pada 17 Julai lalu, beliau berkata, kerajaan akan menubuhkan Lingkaran Kemiskinan bagi membincang dan merangka strategi terbaik menangani kemiskinan khususnya ketika pandemik Covid-19.
Akibat pandemik, kadar kemiskinan meningkat daripada 5.6 peratus pada 2019 kepada 8.4 peratus pada 2020. Antara matlamat utama kempen Agenda 2030 adalah leave no one behind (jangan tinggalkan walau seorang pun).
Soalnya, mampukah Malaysia membasmi kemiskinan sepenuhnya pada 2030 seperti dijanjikan?
DATUK Salleh Buang pernah bertugas sebagai Peguam Persekutuan di Jabatan Peguam Negara dan Profesor Tamu di Universiti Teknologi Malaysia (UTM). Beliau kini konsultan bebas sepenuh masa, pengarang dan kolumnis akhbar.










