MEMPERKASA agenda bumiputera adalah salah satu daripada sembilan fokus dalam Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK12) yang dibentangkan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob pada 27 September lalu. Agenda bumiputera adalah satu persoalan penting dan sangat wajar dijadikan salah satu daripada fokus utama.
Ini sebagaimana termaktub dalam Perkara 153 Perlembagaan Persekutuan yang memberi hak dan keistimewaan kepada orang Melayu dan anak negeri, iaitu pribumi Sabah dan Sarawak dan kepentingan sah kaum lain. Hasrat kerajaan adalah untuk mencapai pembangunan sosioekonomi yang lebih adil, saksama dan inklusif selaras dengan semangat Keluarga Malaysia.
Kenapa Perkara 153 ini penting bagi kestabilan dan pembangunan negara? Kenapa peruntukan tentang hak dan kedudukan istimewa orang Melayu dan bumiputera Sabah dan Sarawak tidak boleh dipertikaikan oleh mana-mana pihak serta mempunyai hubungan serta sebahagian daripada kontrak sosial?
Semua yang disentuh dalam Perkara 153 berkaitan keistimewaan orang Melayu dan bumiputera Sabah dan Sarawak mempunyai makna besar kepada kumpulan majoriti dan penduduk asal negara. Kita ambil sahaja satu contoh mudah tentang biasiswa dan danasiswa serta kemudahan pelajaran kepada orang Melayu dan bumiputera.
Ini sangat penting bagi kemajuan masa depan seseorang. Pemberian biasiswa kepada mahasiswa Melayu dan bumiputera adalah hak mereka untuk meneruskan pengajian selepas peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM). Perkara ini diamalkan secara meluas sejak zaman selepas merdeka dan paling jelas zaman pentadbiran Perdana Menteri kedua, Tun Abdul Razak Hussein.
Ia berlanjutan kepada beberapa Perdana Menteri selepasnya sehinggalah di saat akhir ini, ia tidak begitu meluas dan digantikan dengan Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) dan bantuan kewangan yang tidak bersifat biasiswa seperti sebelumnya. Bahkan di zaman pentadbiran Abdul Razak, semua dasar kerajaan hendaklah merujuk kepada Perkara 153 dan dijadikan sebagai asas penilaian dan perkiraan dalam membuat keputusan.
Kenapa dasar ini tidak berterusan dan dijadikan rujukan utama sebelum membuat keputusan sesuatu dasar? Ini dipengaruhi oleh banyak faktor yang mungkin boleh dikaitkan dengan sejauh manakah pemahaman yang benar-benar mendalam tentang peri pentingnya peruntukan Perkara 153 ini.
Saya percaya ia bukan semata-mata disebabkan oleh faktor kewangan tetapi lebih kepada pemahaman falsafah undang-undang dan natijah pemahaman falsafah ekonomi-politik serta hubungannya dengan Perkara 153 dan kestabilan negara. Saya katakan bukan masalah kewangan sebagai faktor utama kerana banyak peruntukan lain yang lebih besar daripada persoalan biasiswa kepada pelajar Melayu dan bumiputera dapat dilaksanakan.
Persoalan biasiswa kepada mahasiswa Melayu dan bumiputera mempunyai impak yang besar kepada masa depan serta kestabilan individu dan negara. Dalam zaman pentadbiran Abdul Razak, Tun Hussein Onn dan Tun Dr. Mahathir Mohamad, jumlah biasiswa yang besar diberikan kepada pelajar Melayu dan bumiputera sama ada bagi pengajian dalam atau luar negara.
Kecemerlangan akademik kita melonjak dan pada masa sama, ekonomi dan kestabilan politik kita berada di kemuncak kemakmuran dan kestabilan. Membantu memberi biasiswa kepada insan mahu belajar adalah tuntutan dan mempunyai kesan positif dan nilai pengganda besar maknanya yang tidak perlu dipertikaikan.
Kita semua perlu menyambut baik dan memuji pimpinan Ismail Sabri yang meletakkan memperkasakan agenda bumiputera sebagai salah satu fokus utama RMK12. Saya yakin, Ismail Sabri sebagai lulusan undang-undang mempunyai fahaman dan falsafah mendalam tentang Perkara 153 dan agenda bumiputera.
Pemahaman yang benar-benar tepat tentang Perkara 153 perlu diperhalusi semula dengan mendalam oleh semua pihak di pelbagai peringkat. Ia tidak dilihat sebagai suatu yang hanya membawa kebaikan kepada bangsa Melayu dan bumiputera Sabah dan Sarawak semata-mata tetapi seluruh rakyat dan bagi kebaikan seluruhnya.
Pada masa sama, definisi Melayu perlu juga diperincikan dengan benar-benar tepat yang bukan merujuk kepada seorang yang ibu bapanya keturunan Melayu tetapi mengikut tafsiran Perkara 160 Perlembagaan Persekutuan, iaitu beragama Islam, bercakap Melayu dan berbudaya Melayu. Tafsiran ini juga perlu difahami dan dikaitkan dengan falsafah one state, one nation dan bukan definisi sempit Melayu berasaskan biologi semata-mata (ibu bapa Melayu, maka anak Melayu).
Kita mahu melihat Malaysia sebagai sebuah negara berbilang kaum, bangsa dan agama terus maju dan stabil. Kita hidup bersama dalam satu negara, berpayungkan satu perlembagaan, mengambil yang hak dan memberi kepada yang berhak. Merampas hak tidak sesekali, berkongsi adalah sentiasa. Semoga rakyat hidupnya sentiasa berkat, negara kita berdaulat dan terus kuat.
PROFESOR Madya Dr. Mohd. Noor Yazid ialah Pensyarah di Fakulti Sains Sosial & Kemanusiaan, Universiti Malaysia Sabah. Pernah menjadi profesor pelawat di Universiti Antarabangsa Balkan, Skopje, Macedonia dan pernah mengajar di Universiti Antarabangsa Sarajevo, Bosnia-Herzegovina.










