Kaji semula SOP premis makanan - Utusan Malaysia

Kaji semula SOP premis makanan

SHARIFA EZAT WAN PUTEH
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Kerajaan perlu mengkaji semula prosedur operasi standard (SOP) khususnya di premis makanan supaya tiada pihak mengambil kesempatan atas kelonggaran kemudahan sosial dan ekonomi bagi mereka yang sudah lengkap divaksin.

Bercakap kepada Mingguan Malaysia, Pakar Kesihatan Komuniti Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Prof Dr. Sharifa Ezat Wan Puteh berkata, langkah itu bagi memastikan pelaksanaan SOP yang ditetapkan diguna pakai.

“Jelas dapat dilihat walaupun SOP untuk mereka yang sudah lengkap dua dos vaksin bagi tempoh 14 hari sudah dijelaskan, masih terdapat peniaga terutama pengusaha premis makanan tidak mengikutinya.

“Ada juga yang hanya meletakkan pengimbas MySejahtera dan pengimbas suhu sekadar syarat. Malah ada yang sekadar lepas pandang mereka yang masih tidak melengkapi dos vaksin dengan dibenarkan untuk ‘dine-in’ seperti biasa,” katanya ketika dihubungi semalam.

Terdahulu, Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin menegaskan, semua individu boleh menikmati kemudahan sosial dan ekonomi dengan syarat mereka perlu lengkap divaksin.

Perkara itu dipersetujui dalam mesyuarat Jemaah Menteri, kelmarin berdasarkan perkembangan terkini peralihan Sasa Pelan Pemulihan Ekonomi (PPN) bagi negeri-negeri di Malaysia dan mengambil kira dominasi varian Delta (94.9 peratus) dalam kalangan varian-varian baharu Covid-19 yang dikesan dalam negara.

Bagi individu yang tidak boleh divaksin atas sebab kesihatan, mereka perlu mengemukakan maklumat kesihatan yang disahkan pegawai perubatan.

Sharifa Ezat berkata, kerajaan perlu meletakkan petugas untuk mengawal dan memantau SOP itu melalui penguatkuasaan supaya tidak bercampur mereka yang belum divaksin.

“Kita perlu ingat kebanyakan mereka yang belum menerima suntikan vaksin ini termasuk golongan dewasa dan kanak-kanak yang mana virus Covid-19 ini masih ada.

“Jika pematuhan SOP diabaikan, jadi tiada gunanya kerajaan meletakkan syarat-syarat sedemikian kepada semua,” tegasnya.

Sementara itu, pakar kesihatan, Dr. Hanafiah Bashirun berkata, situasi pihak mengambil kesempatan ekoran kekurangan kakitangan dan pekerja di sesebuah premis makanan.

“Sejak beberapa bulan lepas, para pemilik premis terpaksa memberhentikan pekerjanya akibat kerugian yang ditanggung. Jadi apabila mereka dibenarkan beroperasi semula, tempoh untuk mendapatkan semula pekerja mengambil masa.

“Tetapi itu bukan alasan dan sewajarnya tanggungjawab tersebut diletakkan kepada pemilik premis dan pematuhan SOP yang betul adalah sangat diperlukan.

“Jika mematuhi SOP dengan tepat, mereka juga boleh mengelakkan daripada terkena tindakan pihak berkuasa dan sebagainya,” tegasnya. – UTUSAN ONLINE

 

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×